Second Voyage tanda kematangan SOG, sedia bergerak lebih jauh - Utusan Malaysia

Second Voyage tanda kematangan SOG, sedia bergerak lebih jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALBUM penuh ketiga Sekumpulan Orang Gila (SOG), Second Voyage akhirnya dilancarkan. Pada 25 September lalu, album 12 trek dilancarkan sepenuhnya di platform digital dan album fizikal mereka mula dijual bersama kotak cenderamata.

Mengenali SOG, agak mengejutkan juga seluruh album dilancarkan di platform digital. Saya kenal mereka sebagai kugiran yang menjaga eksklusiviti. Dua single dalam album ini juga, Sailors of Sorrow dan Tugu Ugut hanya dilancarkan bersama muzik video di Youtube, tiada trek audio di platform digital sebelum ini.

Jadi saya tanya Raja Nazrin, kenapa lancar di platform digital?

Nikmat fizikal
Anda tidak akan dapat menikmati sepenuhnya album ini melalui platform digital semata-mata, itu jawapannya. Masih ada nilai besar yang hanya dapat dikecap jika anda membeli album fizikal.

Menurut Raja Nazrin, melalui platform digital anda dapat dengar lagu manakala dengan album fizikal, seluruh usaha seni mereka dapat dinikmati dengan penuh. Dari kerja seni pada kulit album, reka dalam album sehinggalah trek-trek tersembunyi.

Lebih menarik lagi, salah satu lagu dalam album ini iaitu Shanti hanya disediakan dalam bentuk ‘terkunci’ secara digital. Dalam album fizikal, Shanti yang disajikan ialah versi yang sudah terbuka kunci.

Tak cukup dengan itu, jualan album fizikal yang eksklusif bersama kotak cenderamata juga menawarkan pelbagai barangan eksklusif termasuk pasport SOG yang memberi peluang kepada peminat tegar mendapatkan pelbagai lagi barangan eksklusif kugiran selepas ini.

“Kami layan album fizikal ini sebagai barang koleksi. Jadi, harga album itu ialah nilai estetika album itu secara fizikal,” kata Raja Nazrin.

Layar kedua, layar besar
SOG bukan kugiran baharu. Dengan tiga album penuh dan satu EP, mereka sudah ada banyak pengalaman. Saya melihat Second Voyage sebagai isyarat persediaan mereka untuk melangkah lebih jauh.

Tidak lagi terpuruk dalam negara, mereka cabar diri dengan rakaman album di Paris, Perancis. Ya, mereka memang sudah lama membina nama di luar negara tetapi membawa proses rakaman album ke luar itu bukanlah langkah kecil.

Di Malaysia, nama SOG masyhur dalam lapangan independen tetapi industri secara keseluruhannya masih belum meraikan bakat kugiran ini. Baru tahun ini, karya mereka diterima masuk Muzik-Muzik. Fungsi Riko pun peminat arus perdana belum tahu. Tak mengapa, segala benda perlu proses.

Namun, dengan Second Voyage, pelayaran mereka berpotensi melangkau terus industri muzik Malaysia.

Saya lihat di Twitter ada peminat cadangkan mereka persembahkan album ini dengan orkestra penuh di Royal Albert Hall, London. MK Ridzuan kata, why not? Saya pun mahu kata, why not?

Ia mungkin mimpi besar yang sukar dicapai tetapi inti pertanyaan why not saya, mereka boleh saja melangkau proses yang sebelum ini dilihat wajib dilalui artis Malaysia. Dengan keterbukaan dunia kini, SOG boleh sahaja diiktiraf komuniti muzik dunia sebelum mendapat pengiktirafan serupa di Malaysia. Itu intinya.

MK Ridzuan dan Riko Agus
Kalau tanya pada saya, apa istimewanya Second Voyage? Saya akan petik dua nama ini. Seluruh tenaga kerja yang menyumbang kepada Second Voyage perlu diberi penghargaan tetapi saya tertarik dengan peranan MK Ridzuan dan Riko Agus dalam album ini.

Sailors of Sorrow menampilkan Riko sebagai vokal utama dan dalam lagu Second Voyage, walaupun menampilkan tukang jerit ternama iaitu Tim Lambesis dari As I Lay Dying, Riko tidak tenggelam.

Tiupan seruling MK Ridzuan pula bukan ditepek sekadar ada bagi menunggang kebanggaan Nusantara. Siul melankolik dan mistikalnya dibandung dengan baik dalam bunyian keras metal moden dalam hampir ke semua lagu. Malah, saya berani kata, tanpa seruling MK Ridzuan, banyak lagu dalam album ini akan kedengaran cacat.

Saya tidak dapat fikir apa lagi penambahbaikan yang boleh dilakukan SOG selepas album ini. Namun, itu tidak bermakna mereka sempurna. Cuma saya yang masih belum cukup ilmu untuk menilai mereka dengan baik. Saya mengharapkan ada kritikan berasas dapat diberikan kepada SOG oleh pemerhati muzik lain supaya mereka boleh lebih maju.

Yang pasti, pelancaran album ini berita baik buat industri muzik Malaysia dalam tahun serba kelam ini. Semoga kehebatan album ini dapat dicabar artis lain dan semua penggiat muzik berlumba-lumba berlawan kualiti, supaya muzik Malaysia boleh lebih gemilang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya