Speedy Tigers beri New Zealand 'mimpi ngeri'

Speedy Tigers beri New Zealand ‘mimpi ngeri’

PENYERANG Muda Speedy Tigers, Azimuddin Syakir Kamaruddin meraikan jaringan ketiga Malaysia dalam perlawanan ketiga menentang New Zealand Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-30 di Stadium Azlan Shah baru-baru ini.-UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Skuad hoki lelaki negara mempamerkan karakter ‘harimau kelaparan’ apabila membenam New Zealand 6-4 pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Azlan Shah, Speedy Tigers memberi kejutan kepada pasukan Black Sticks menerusi tiga gol pantas dalam tempoh enam minit.

Jaringan itu dimulakan dengan penyerang sensasi negara, Faizal Saari seawal minit kedua hasil gol padang, disusuli sentuhan penyudah Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menerusi pukulan sudut penalti dan ledakan Azimuddin Syakir Kamaruddin (gol padang) selepas itu.

Tidak terhenti di situ, skuad bimbingan Sarjit Singh terus garang merobek gawang New Zealand menerusi gol keempat oleh Azrai yang bijak menyempurnakan hantaran cantik Shello Silverius bagi menutup suku pertama dengan 4-0.

Memasuki suku kedua, New Zealand akhirnya kembali mendapat rentak permainan dan hasilnya mereka menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 menerusi Jake Smith hasil pukulan sudut penalti.

Anak buah Greg Nicol terus menekan benteng Malaysia dan tekanan itu membolehkan mereka mendapat satu pukulan penalti stroke pada minit ke-28, yang disempurnakan Jonty Elmes.

Seminit kemudian, New Zealand sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti stroke namun penjaga gol Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman beraksi cemerlang dengan menafikan pukulan kedua dilakukan Elmes untuk mengakhiri babak pertama dengan keputusan 4-2.

Bersambung babak kedua, ketika Black Sticks ghairah menekan benteng pertahanan tuan rumah, satu serangan balas pantas dimulakan Marhan Jalil, disusuli hantaran Azrai sebelum disudahkan dengan tolakan mudah oleh Muhajir Abdul Rauf memberi gol kelima buat Malaysia pada minit ke-52.

Tersentak dengan gol itu, New Zealand tidak berputus asa apabila kembali merapatkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Scott Cosslett pada minit ke-28 untuk kedudukan 5-3.

Bagi memburu lebih banyak gol, Greg Nicol mengarahkan anak buahnya bermain ‘power play’ tetapi terpaksa menanggung risiko apabila dikejutkan dengan satu serangan balas pantas disudahkan Azrai hasil gol padang dan ia merupakan jaringan hatrik dalam perlawanan itu.

Azrai sebelum ini telah meledak hatrik pada aksi menentang Pakistan yang berkesudahan 4-5 pada Sabtu lalu.

Ketika perlawanan hampir tamat, New Zealand memperolehi gol keempat hasil pukulan sudut penalti disudahkan oleh Isaac Houlbrooke.

Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh berkata empat gol awal diperolehi pada suku pertama menjadi antara faktor pasukannya memenangi perlawanan ini.

Bagaimanapun, anak buahnya kehilangan fokus pada suku kedua dan itu menjadi antara kelemahan yang harus diperbaiki oleh barisan kejurulatihan.

“Saya fikir kita bernasib baik kerana menjaringkan empat gol awal dan ia membuat pemain-pemain cepat selesa dalam permainan.

“Satu gol, dua gol, tiga gol dan empat gol menakjubkan tetapi selepas itu kita dibolosi satu gol selepas itu, pemain-pemain mula kehilangan fokus dan perlukan masa untuk kembali dalam permainan.

“Tetapi ia perkara biasa dalam sukan hoki kerana apabila anda mendahului permainan, anda akan bermain tenang. Saya rasa kita perlu memantapkan lagi barisan pertahanan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya