Sabu Hassan ‘hidupkan’ gendang silat - Utusan Malaysia

Sabu Hassan ‘hidupkan’ gendang silat

Muzik adalah elemen penting dalam persembahan silat dan ia akan hilang serinya jika tidak diiringi bunyi-bunyian muzik tradisional. -UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARISAN budaya bermain alatan muzik tradisional mengiringi persembahan silat atau gendang silat kini semakin dilupakan.

Melihat keadaan itu, seorang pencinta budaya, Sabu Hassan, 69, di Felcra Kampung Perlis, Alor Pongsu di Bagan Serai menyemarakkan semula gendang silat.

Ia dengan mengajar anak, cucu serta golongan muda di kampungnya bermain alat muzik yang mengiringi persembahan silat.

Dia berharap usahanya itu dapat mengelak seni budaya Melayu itu daripada hilang begitu saja.

Sabu Hassan bersama watikah pelantikan sebagai pengasas Kumpulan Gendang Silat di Felcra Kampung Perlis, Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak.

Alat muzik tradisional seperti gendang ibu, gendang anak, serunai, gong dan tamrin merupakan antara alat muzik tradisional yang mengiringi persembahan pencak silat.

“Generasi kini semakin melupakan warisan budaya ini dan ini meresahkan saya, kerana itu saya mengambil usaha untuk mengajar dan menurunkan ilmu gendang silat atau bermain alat muzik ini kepada anak cucu serta golongan muda di sekitar kampung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cik Man merealisasikan usahanya itu dengan menubuhkan Kumpulan Gendang Silat Kampung Perlis.

Menurutnya, muzik adalah elemen penting dalam persembahan silat kerana silat akan hilang serinya sekiranya tidak diiringi bunyi-bunyian muzik tradisional.

Beliau berkata, tanpa alunan bunyi-bunyian dari alatan muzik ini, persembahan pencak silat menjadi hambar.

Katanya, bunyi muzik memainkan peranan utamanya khususnya bunyi gendang ibu dan tiupan serunai untuk menghasilkan gerak tari persembahan dalam pencak silat.

“Gendang ibu memainkan peranan utama dalam keseluruhan persembahan gendang silat.

“Bunyi yang dihasilkan daripada paluan gendang ibu adalah arah tumpu utama untuk alatan muzik yang lain seperti serunai akan mengikuti rentak atau tempo,” katanya.

Jelasnya lagi, begitu juga dengan pesilat, mereka harus mendengar rentak dari pukulan gendang ibu bagi menghasilkan gerak tari pencak silat yang menarik.

Katanya, jika rentak pukulan gendang ibu serta serunai masih berbunyi datar, seakan-akan seperti menyeru, itu tandanya gerak atur pesilat ketika itu baru memasuki gelanggang dengan langkah tari bunga.

“Apabila rentak bunyi pukulan gendang ibu mulai merancak dan tiupan serunai makin menaik, pesilat akan berada dalam posisi atur gerak tari.

Ia untuk menunjukkan aksi sama ada menyerang sambil tetap mantap dalam posisi pertahanan atau kekal berada dalam keadaan bertahan serta membaca gerak langkah musuh yang menyerang.

“Paluan gendang ibu, gendang anak dan ketukan gong, goncangan tamrin dan dilengkapkan dengan tiupan serunai, merupakan tempo genre yang lengkap dalam menghasilkan alunan persembahan mengikut majlis,” katanya.

GENDANG

Gendang adalah alat bunyian tradisional yang diperbuat daripada kulit binatang seperti lembu, kambing atau kerbau.

Ia merupakan satu daripada alat muzik tradisional dalam kelompok alat muzik yang dipalu bagi menghasilkan bunyi.

Haziri Danial Ismail memainkan serunai iaitu antara instrumen utama dalam gendang silat.

Menurut Sabu, gendang mempunyai dua saiz iaitu saiz besar dipanggil gendang ibu manakala yang kecil dipanggil gendang anak.

Katanya, gendang dimainkan dengan cara meriba dengan kedudukan melintang dan permukaannya dipalu dengan tapak tangan.

“Bagi yang baru belajar bermain gendang, ia memakan masa lebih dari tiga bulan untuk memahami rentak membuat pukulan bagi menghasilkan nada tempo genre yang dikehendaki.

“Rentak paluan gendang yang dihasilkan mewakili perkataan atau ungkapan lengkap dalam satu-satu persembahan,” katanya.

Menurutnya, bunyi paluan gendang juga pernah menjadi salah satu bentuk komunikasi jarak jauh yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu terdahulu yang tinggal di kawasan hutan.

Katanya, setiap bangsa seperti Melayu, Cina dan India mempunyai gendang dengan nama tersendiri dengan berbagai bentuk saiz.

“Gendang orang Melayu merupakan satu alat muzik warisan budaya yang perlu diajar dan dikembangkan kepada anak bangsa agar warisan budaya ini tidak luput ditelan zaman,” katanya.

ANAK MUDA MINAT MUZIK TRADISIONAL

Bukan semua orang mampu meniup serunai bagi menghasilkan rentak genre mengikut kesesuaian majlis yang diadakan.

Namun atas sifat ingin tahu serta minat yang mendalam terhadap alat muzik tradisional, Haziri Danial Ismail, 20, mengambil masa lebih tiga bulan untuk belajar meniup serunai dengan Sabu dalam mengiringi persembahan silat.

Sabu Hassan (belakang, tengah) bersama anggota Kumpulan Gendang Silat Kampung Perlis yang ditubuhkannya di Felcra Kampung Perlis, Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak.

Menurut Haziri Dadial, pada awalnya dia diajar mempraktikkan cara pernafasan semasa meniup serunai.

“Ia bukan mudah, namun disebabkan minat yang mendalam dan tertarik dengan bunyian yang dihasilkan daripada serunai, saya terus belajar sehingga mampu meniup dengan baik,” katanya.

Menurut Haziri Danial, berbanding remaja lain meminati muzik moden, dia sebaliknya muzik budaya tradisional yang ada keunikan tersendiri.

Katanya, muzik tradisional Melayu perlu dikembangkan supaya hilang begitu sahaja.

Jelasnya, masyarakat secara amnya mempunyai keunikan budaya yang tersendiri sama ada dari budaya berpakaian, adat resam termasuk peralatan muzik.

“Bagi saya serunai merupakan satu alat muzik yang dapat membangkitkan naluri jiwa sama ada bagi menggambarkan perasaan suka dan duka termasuk memberi semangat ketika membuat persembahan pencak silat.

“Nada lantunan serunai yang dimainkan boleh menggetarkan serta menaikkan semangat pesilat ketika berada di gelanggang persembahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN