Agamawan ‘gaduh’ dalam media sosial- peminat jangan jadi batu api - Utusan Malaysia

Agamawan ‘gaduh’ dalam media sosial- peminat jangan jadi batu api

Golongan agamawan perlu mampu mengurus kesabaran selain tidak ghairah mengulas semua isu bagi mengelak tercetusnya polemik kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM zaman kuliah dalam talian akibat kekangan pandemik Covid-19, umat Islam terdedah kepada pelbagai akses maklumat berkaitan agama. Sebabnya, hampir semua kuliah secara bersemuka tidak dapat diteruskan.

Dalam banyak aspek, ini memberi peluang untuk umat Islam menimba ilmu agama. Namun demikian, ada juga berlaku pertikaian akibat berbeza cara penyampaian selain ia dipetik di luar konteks ceramah atau kuliah.

Memburukkan keadaan, ada pula segelintir pengikut atau penonton yang gemar cut and paste rakaman ceramah sehingga kadang-kadang jadi batu api mencetuskan polemik sesama penceramah.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM bagi mengupas isu ini.

Beliau juga adalah Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid).

============================================================================================================

Dalam norma baharu akibat pandemik Covid-19, program agama seperti kuliah dan ceramah juga berlangsung secara dalam talian. Ini dilihat sangat bermanfaat kepada masyarakat. Namun, dalam masa yang sama, ia boleh mengundang perselisihan pandangan antara asatizah dan golongan agamawan. Bagaimana mengatasi hal ini?

ABDULLAH: Ini antara hikmah perintah kawalan pergerakan (PKP). Allah menjelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)

Dalam ayat lain, Allah menjelaskan prinsip kepentingan segala teknologi sebagai alat bantu manusia belajar: Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (al-Alaq: 3-5)

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Kalam (pena dan tulisan) dalam ayat di atas merujuk kepada alat untuk mengajar manusia apa yang mereka tidak tahu. Ia boleh kita sifatkan dengan pelbagai aplikasi internet yang digunakan secara meluas semasa PKP.

Sebelum ini, kita sudah dengar kewujudan pelbagai platform ini tetapi tidak terpanggil menggunakannya secara meluas. Setelah dunia dilanda pandemik Covid-19, kita ‘dipaksa’ mempelajari dan menggunakan segala teknologi yang saya sifatkan sebagai satu bentuk kalam Tuhan ini.

Berbalik kepada soalan tadi, perselisihan faham adalah fitrah manusia. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan… Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. (Hud: 118-119)

Al-Quran juga meminta kita sedar manusia akan fanatik kepada fahaman mereka. (rujuk ayat 32 surah al-Rum)

Oleh itu, kita kena ajar adab ikhtilaf (berbeza pandangan) dan tekankan aspek akhlak dalam belajar agama serta urus perbezaan dalam memberi dan menerima pandangan agama. Asal sahaja pandangan itu ada asas dalil agama.

Adab berbeza ini perlu ditekankan terlebih dahulu oleh agamawan sebelum disampaikan kepada anak-anak murid. Sebabnya anak-anak murid akan terkesan dengan cara guru mereka mengurus perbezaan. Ingatlah pepatah Melayu, ‘bapa borek anak rintik’ dan ‘kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari’.

Kepantasan maklumat beredar dalam masyarakat melalui medium media sosial daripada sudut yang lain dilihat melahirkan jutawan ‘dosa senyap’. Kadang-kadang ia turut melibatkan asatizah. Apakah punca dan cara untuk membendungnya?

Untuk berlaku adil, saya rasa kita tak boleh salahkan asatizah 100% kerana yang bertindak menyebar video atau rakaman ceramah itu adalah peminat mereka.

Kadangkala sesetengah pihak yang menyebarkan video para asatizah sengaja memotong bahagian yang menarik atau kontroversi tanpa mereka sedar impak yang mungkin muncul selepas sebarang polemik.

Akibatnya jadi polemik hingga mengundang maraknya api perselisihan. Ia makin teruk apabila penyokong pihak bertelagah memulakan serangan ejek, maki dan sindir secara agresif. Ini menjadi sebab status ‘jutawan dosa’ media sosial muncul.

Asatizah juga ada sumbangan secara tidak langsung dalam mencetuskan polemik ini kerana sikap sesetengah mereka, (saya tegaskan, bukan semua begitu, cuma segelintir) yang suka ulas perkara khilafiah (yang diperselisihkan) secara provokatif.

Saya juga selalu diaju soalan provokatif oleh audiens yang mahu menghangatkan situasi. Ada yang sengaja tanya soalan sebegitu untuk ‘menembak’ pihak yang tidak sefahaman dengan mereka yang turut hadir dalam majlis ilmu yang sama.

Dalam hal ini, saya akan ulas secara sederhana dan tegaskan perkara khilafiah tidak sepatutnya jadi sebab perbalahan. Saya juga akan utamakan pandangan majoriti atau pegangan pihak berkuasa agama tempatan.

Perkara ini sukar ditangani jika tiada kemahiran menjawab dan mengurus adab berbeza pendapat.

Bagi saya sebagai penceramah, saya tak malu untuk berkata: “Maaf! Saya tak boleh jawab soalan ini kerana ia bukan bidang saya. Atau maaf! Saya tak mahu jawab soalan ini kerana saya rasa majlis dan situasinya tak sesuai.”

Ada juga yang tanya soalan menyentuh bidang kuasa pihak berkuasa agama. Lalu saya minta mereka patuh atau rujuk Ulil Amri dalam urusan agama. Saya juga pernah meminta rakaman kuliah saya dihentikan jika isu yang mahu diulas boleh menimbulkan polemik panas.

Oleh itu, saya berpandangan para pengikut asatizah yang menyebar rakaman ceramah dan juga asatizah perlu miliki ilmu dakwah. Mereka juga perlu tahu bersabar.

Apabila tiada pengurusan sabar terutama dalam media sosial, maka semua perkara mahu diulas, dijawab, disanggah dan disebar. Inilah yang tambah marakkan lagi polemik yang berlaku.

Pengurusan sabar ini adalah antara teknik yang perlu diamalkan. Sebabnya, setahu saya tiada yang berubah idea, mazhab, pemikiran dan parti anutan kerana mendapat ‘hidayah’ hasil perdebatan dalam media sosial.

Begitu juga, setahu saya belum pernah berlaku mereka yang berubah insaf setelah terus disindir atau dikecam dalam media sosial. Oleh itu, pengguna media sosial terutamanya agamawan perlu bijak.

Mereka kena tahu bila masa dan ketika nak tekan brek apabila tercetus polemik. Idea tekan brek ini saya sifatkan seperti sifat sabar yang dicetuskan daripada kebijaksanaan seseorang.

Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya diam jika tidak mampu berkata-kata hal yang baik. Sabda baginda yang bermaksud: Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendak dia berkata (yang) baik (sahaja) atau diam. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Sebabnya, ‘tangan’ itu lebih tajam daripada pedang. Jangan kita sempitkan maksud berkata-kata baik atau diam dalam hadis di atas hanya pada aktiviti lidah.

Zaman ini, bicara tangan jauh lebih lantang dan bahaya berbanding lidah. Ini sebabnya Allah banyak mengaitkan nasib malang manusia yang dihumban ke neraka kerana jenayah tangan.

Dalam media sosial, tangan banyak melakukan jenayah fitnah, kongsi tanpa semak, ejek dan sindir. Amat benar firman Allah: (Azab seksa) yang demikian itu adalah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya. (al-Anfal: 51)

Semasa audit mahsyar kelak, tangan yang kaku boleh berbicara dengan fasih sebagaimana firman Allah dalam ayat 65 surah Yasin.

Oleh itu, usaha menjaga tangan agar jangan berbicara tanpa tujuan dalam media sosial perlu digiatkan. Bicara lidah atau tangan banyak berkait dengan kesucian hati.

Golongan asatizah mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Kata-kata mereka sering jadi panduan dan ikutan. Justeru, apakah garis panduan supaya kuliah-kuliah mereka tidak berpotensi bawa perbalahan?

Benar! Zaman ini asatizah dipandang bak pemimpin agama dalam masyarakat. Antara keperluan asasi seorang pemimpin adalah kemahiran komunikasi.

Bukan semua boleh diucap atau dikongsi. Sebab itu hendaklah kita ikut nasihat Abdullah bin Mas’ud r.a. Kata beliau: Jika kamu berbicara dengan satu kaum sesuatu yang mereka tak fahami, ia akan menjadi fitnah (gangguan pemikiran). (Sahih Muslim).

Golongan agamawan perlu bijak menilai sesuatu isu sebelum memberi ulasan agar ia tidak menjadi polemik dalam masyarakat. -GAMBAR HIASAN

Saya suka utarakan beberapa garis panduan kepada para pendakwah agar mesej agama menjadi rahmat kepada masyarakat, bukannya racun pemecah belah keharmonian masyarakat:

1. Betulkan niat! Buat kerana ia amanah Allah yang mahu kita membimbing masyarakat yang perlukan makanan rohani.

Ingat amaran Nabi SAW dalam hadis ini: Sesiapa yang menuntut ilmu untuk berbangga-bangga (dengan debat) di hadapan para ulama atau untuk berdebat dengan orang bodoh atau untuk mendapat perhatian (pujian) manusia kepadanya, Allah akan masukkannya ke neraka (Sunan al-Tirmidzi).

Kadangkala apabila niat tidak betul, penceramah suka membawa isu kontroversi untuk cepat dikenali. Bak kata pepatah arab – Khalif-Tu’raf yang bermaksud bawalah pendapat yang berbeza, pasti kamu akan dikenali.

Namun, impaknya mungkin besar untuk pendakwah itu sendiri. Lebih-lebih lagi orang awam yang memerhati.

2. Belajar ilmu asas tentang dakwah terutama berkaitan kepentingan mengenali sasaran dakwah dan teknik dakwah yang betul. Ini kerana isi dakwah mungkin boleh menjadi racun jika teknik penyampaiannya salah.

3. Tahu keutamaan dalam penyampaian ilmu.

Kadangkala kita menghabiskan masa membawa perbincangan yang bukan menjadi keperluan masyarakat. Mungkin ia sedap didengar tapi tidak baik untuk jiwa atau tidak membawa kepada peningkatan penghayatan agama.

Saya suka beri contoh kebijaksanaan Rasulullah dalam memilih tindakan. Sejurus selepas pembukaan kota Mekah, nabi pernah berkata kepada Aishah: Wahai Aishah, kalaulah bukan kerana kaummu (Quraisy) masih baru berlalu daripada zaman jahiliah (baru menerima Islam), sudah pasti aku akan arahkan agar Kaabah diruntuhkan. Aku pasti akan memasukkan bahagian Kaaabah yang sudah dikeluarkan (Quraisy dalam pembinaannya). Aku juga akan ratakannya selaras dengan tanah dan aku akan buat dua pintu padanya iaitu pintu dari arah timur dan barat. (Sahih al-Bukhari).

Nabi tidak meneruskan hasratnya kerana baginda tahu ia bukan keutamaan mendesak pada waktu itu.

Para penceramah juga perlu bijak memilih isu yang dibawa kerana kesilapan membawa isu boleh memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Bayangkan apa akan jadi kepada audien yang baru mendekati agama tetapi sudah didedahkan dengan label serong kepada sesetengah penceramah seperti ‘si wahabi’, penyembah kubur, sufi batini dan sebagainya.

Akibatnya ‘orang baharu’ mendekati agama ini terus dijangkiti penyakit ‘benci sebelum kenal’ yang ditegur Allah dalam al-Quran. (rujuk al-Naml: 84)

Ayat ini satu teguran kepada segelintir penentang nabi di Mekah dahulu tanpa mereka sendiri dengar dan dekati ajaran baginda.

4. Penceramah perlu mempraktikkan akhlak mulia sepanjang masa terutama dalam berceramah. Ini kerana audien yang mendengar boleh muncul dari dua kumpulan.

Pertama; sama ada akan menyerap terus tanpa fikir apa yang disampaikan. Ini pula akan membuahkan fanatik melampau, atau kumpulan kedua yang akan menilai sejauh mana akhlak si penceramah.

Jika penceramah bermulut lancang atau tidak berakhlak, audien yang kritis akan memandang sinis. Ia juga tidak baik untuk dakwah kerana karisma atau haybah penceramah akan jatuh.

5. Kawal penyebaran isi ceramah. Pesan kepada yang merakam agar lebih bertanggungjawab dalam memotong atau menyebarkan isi ceramah kerana kesan akhir akan kembali kepada penceramah. Kita tak mahu si perakam mendapat dosa tanpa sedar sebagai batu api.

Dosa batu api pencetus fitnah dan polemik diberi amaran keras oleh Nabi SAW: Si batu api (pencetus permusuhan) tak akan masuk syurga. (Sahih Muslim).

Kuliah dalam talian Ustaz Azhar Idrus antara yang mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Ulama adalah pewaris nabi. Mereka juga berhadapan dengan ujian dan gangguan syaitan. Apakah jalan terbaik untuk penyelesaian jika berlaku perselisihan faham sesama ulama @ agamawan?

Pendakwah kena faham mereka bawa amanah agama. Apa pun perbezaan yang wujud, mereka tetap bersaudara di bawah panji Islam. Ia sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara…(al-Hujurat: 10)

Sifat sesama orang beriman ini perlu lemah-lembut. Ini ditekankan dalam firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Barang siapa di antara kamu yang murtad (keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir…(al-Maidah: 54)

Sekalipun berlaku perselisihan faham, tegang sekalipun perbezaan pandangan itu, kena jaga jangan sampai menyakiti saudara Islam dengan tangan atau lidah kita.

‘Pergaduhan’ sesama ulama menimbulkan tanda-tanya apakah sebenarnya akhlak golongan belajar agama? Sebabnya, seolah-olah tiada beza marah ulama dan orang awam sehingga ada yang keluarkan bahasa kesat dan kata-kata menghiris sembilu.

Memang manusia suka bergaduh dan berselisih faham kecuali orang yang dirahmati Allah dengan hidayah daripada-Nya. Hidayah untuk mengawal amarah daripada memuncak.
Dengar sahaja isu suka bergaduh, saya teringat ayat Allah yang bermaksud: Mereka hanya menunggu satu teriakan yang akan membinasakan mereka saat mereka (sibuk) bertengkar (tentang urusan dunia). (Yasin: 49)

Allah sebut di hujung ayat ini, kiamat berlaku ketika manusia sedang asyik bergaduh. Benar! Pergaduhan mereka melibatkan pelbagai isu, ada politik, mazhab, isu keluarga, isu sukan, isu bangsa dan sebagainya. Saya lihat ayat ini sebagai suatu sindiran Allah kepada manusia.

Oleh itu, kita mesti cuba mengelakkan perbalahan dan pergaduhan kerana ia umpama api yang boleh merosakkan kita.

Pun begitu, kadangkala pergaduhan demi mempertahankan kebenaran perlu dilakukan. Itu sebabnya dalam Islam, jihad diperlukan.

Cuma kita risau jihad itu salah dilancarkan kepada saudara sendiri dan bukannya musuh sebenar.

Golongan agamawan juga sewajarnya mempunyai tahap kawalan emosi dan marah yang tinggi.

Ingatlah Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah. (Riwayat Bukhari)

Apakah panduan kepada orang awam dalam mengikuti kuliah-kuliah online supaya tidak terbawa-bawa atau taasub kepada mana-mana penceramah?

Masyarakat awam kena selektif dalam mendengar ceramah. Allah sifatkan manusia bijak (ulul albab) adalah orang yang bijak memilih.

Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (iaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku, yang mendengarkan perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal. (al-Zumar:17-18)

Bijak memilih ini merangkumi isi yang berkualiti. Kualiti agama berdasarkan hujah dan dalil. Penceramah yang berkualiti mempunyai latar belakang pengajian agama yang jelas. Bukan ustaz celup atau ustaz jadian.

Selain itu, ia juga merangkumi akhlak penceramah dan cara mereka mengulas sesuatu isu. Mestilah dengan hikmah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×