fbpx

Zebra Studio mahu ‘hidupkan’ industri seni

PELAKSANAAN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak meledaknya Covid-19 nyata menjejaskan banyak sektor pekerjaan termasuk industri seni kreatif tanah air.

Bagaimanapun, berbanding sektor lain, industri seni masih belum dibenarkan beroperasi dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa.

Pun begitu, secara perlahan-lahan pelbagai pihak antaranya Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dilihat memainkan peranan untuk membangkitkan kembali industri yang sedang lesu.

Bagaimanapun, tidak mahu cuma berpeluk tubuh, syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn. Bhd. mengambil inisiatif memeterai sebuah projek mega dalam tumpuan menghasilkan sebanyak 12 filem selama 24 bulan akan datang.

Menerusi langkah ini, ia dijangka mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 tenaga kerja bidang ini yang merangkumi artis dan kru belakang tabir yang sebelum ini terjejas teruk akibat kehilangan mata pencarian dan pekerjaan.

Menurut pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim, sebagai syarikat terkemuka dalam penghasilan kandungan hiburan pelbagai platform, pihaknya berusaha untuk membantu dan menyuntik semangat baharu bagi mengembalikan semula kegemilangan industri perfileman tempatan.

“Dengan kekurangan kandungan hiburan secara langsung yang boleh kita lihat pada era pandemik ini, kami ambil kesempatan untuk memberi fokus kepada industri media dalam tempoh 18 bulan ini.

“Projek menghasilkan filem bersama Zebra Studio adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat demi memanfaatkan bakat serta infrastruktur yang lebih kukuh di Malaysia dalam menghasilkan kandungan filem bertaraf antarabangsa.

“Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi dorongan kepada industri perfileman dan produksi tempatan, malah menawarkan peluang untuk kandungan Malaysia dipersembahkan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Lim juga teruja berpeluang menjalin kerjasama dengan Zebra Studio menerusi projek itu bagi merealisasikan hasrat mempamerkan kehebatan filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Syarikat optimis kandungan dihasilkan di Malaysia berpotensi tinggi untuk berjaya pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berharap projek menghasilkan 12 filem itu dapat memudahkan proses pemulihan industri perfileman tempatan.

“Kami berharap dapat sama-sama mencipta lebih banyak kandungan global dengan tujuan meraih sorotan antarabangsa mengenai filem dialek khas seni dan budaya Malaysia.

“Kita juga mahu beri peluang kepada seniman tempatan untuk berjaya pada peringkat global,” katanya.

Kongsi Saraleana lagi, pihaknya sedar pelbagai platform kini dahagakan kandungan dengan semakin banyak syarikat produksi asing datang ke Asia untuk menghasilkan kandungan visual.

“Disebabkan itu, kami membuat keputusan untuk menjalin kerjasama dengan China, Korea, Indonesia dan beberapa negara lain agar dapat mengetengahkan budaya kita di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya bahasa bukan suatu halangan kandungan sesebuah naskhah jauh lebih penting berbanding bahasa yang digunakan,” katanya.

Saraleana menambah, pihaknya menyasarkan kesemua 12 filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam sebelum dipertontonkan di platform Over-The-Top (OTT).

“Melihat kandungan platform OTT ditonton secara global, pastinya kami mahu tayang filem kami di platform berkenaan.

“Namun, penghasilan filem untuk tayangan di pawagam dan OTT adalah berbeza di mana naskhah untuk platform OTT lebih kasual tanpa mengira saiz skrin, manakala filem untuk tayangan pawagam lebih kepada nilai untuk wang anda.

“Filem di pawagam perlu padat dengan kesan khas, visual, cara penyampaian dan sebagainya bagi menarik penonton dan kami di Zebra Studio mempunyai platform OTT, Get Play yang mana ia akan dimanfaatkan untuk tayangan filem-filem tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Saraleana memaklumkan, filem pertama projek itu sudah pun disiapkan manakala kerja penerbitan judul kedua akan bermula pada Oktober.

“Syarikat berharap filem pertama dapat ditayangkan di pawagam tempatan menjelang Disember atau Januari depan.

“Kami harap SOP baharu akan membenarkan filem kami ditayangkan di pawagam dalam tempoh itu,” katanya.

Dijangka tenaga kerja antara 80 hingga 100 orang disasarkan bagi menjayakan setiap filem dirancang Tremendous Entertainment dan Zebra Studio, sesuai dengan peraturan semasa dan pembukaan semula industri kreatif.

Melalui projek tersebut, lima buah filem berteraskan dialek Melayu membabitkan lokasi penggambaran di Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor bakal diterbitkan.

Selain itu, empat filem menggunakan dialek Cina dibikin di lokasi Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN