SEBENARNYA, bukanlah niat rasa di hati seorang lelaki bernama Zul Ariffin ini untuk galak berbicara mengenai kecenderungannya kini dalam bab mendalami agama.
Dalam makna sebuah penghijrahan, dia sedar dirinya juga masih belajar. Bukan untuk menjadi seorang ustaz, bukan juga untuk menjadi orang dipandang alim. Terlalu jauh untuk difikirkan ke arah itu.
Namun ternyata, Zul benar-benar memahami bahawa proses pembelajaran sebagai seorang manusia dan hamba-Nya hakikatnya tidak perlu ada noktah selagi nyawa masih diberi pinjaman.
“Saya malu sebenarnya untuk bercakap hal ini. Takut terlintas riak dan ego. Takut juga ilmu yang saya raih, dengan mudahnya ditarik Dia sekelip mata. Sebenarnya, orang tak tahu, dari muda saya suka belajar agama.
“Cuma tak pernah buka mulut pasal ini sebab rasa diri belum berkelayakan apatah lagi saya bekerja dalam industri sebagai seorang pelakon. Ilmu pengetahuan semua orang boleh dapat, Allah SWT memang berikan pada semua.
“Tetapi, nak praktikkan pada diri itu, ramai yang gagal. Dia punya dugaan…Sebab itulah, jalan terbaik adalah senyap dan rileks saja,”katanya.
Lanjut berbual, kata Zul, kerisauan sentiasa ada di hatinya setiap kali ingin berbicara mengenai soal perubahan diri ini kerana baginya, hijrah bukan satu kata yang sesuai dalam menggambarkan caranya ini.
Melihat ia lebih kepada usaha untuk memperbaiki diri, dia lebih selesa mengelarkan diri sebagai pelajar kerana sejak awal, itulah niat yang disematkan.
“Perubahan itu bagus, tetapi untuk sepenuhnya, sesiapa pun tahu ia memerlukan banyak masa. Jujurnya, apa yang menyebabkan saya terbuka hati nak sertai jemaah dan aktiviti sebegini, kerana kagum dengan cara Ebit Lew dan pasukannya melayan tetamu.
“Kalau saya nak belajar, memang boleh saja belajar di internet. Malah berguru juga bagus. Cuma, lebih bagus lagi kalau kita rajin bergaul. Guru pun adakalanya kita tak boleh ikut 100 peratus, kalau bergaul kita akan dapat serap aura positif itu lebih lagi.
“Itu pun, saya sertai jemaah adalah sekali sekala. Biasanya ketika tak ramai orang sangat. Tetapi harus saya akui, seronok sertai majlis begitu,”katanya.
Menurut Zul, satu nilai yang dirasakan begitu indah dan mahal ketika berpeluang bersama jemaah bukanlah kebersamaan. Tetapi keindahan itu terletak pada bagaimana dia meraih semangat dan berkehendakkan pengalaman itu yang baginya telah dipermudahkan oleh Yang Maha Esa.
“Perasaannya bagaikan Allah SWT itu melindungi kita daripada perkara negatif, Walaupun saya hadir cuma untuk mencedok nasi, pengalaman itu buat saya senyum seharian. Tapi, saya kena kejar benda-benda macam itu. Kalau tidak, boleh saja saya cakap tak senang nak ikut dan duduk di rumah.
“Seperti mudahnya orang boleh buka al-Quran bukan sebab dia bodoh. Tapi dia nak tak belajar? Kalau Tuhan tak izin dia buka, sehelai muka surat pun Dia tak bagi. Itu yang kita kena belajar.
“Kebanyakan kita pula, bila belajar tentang hukum hakam sikit, terus jatuh hukum. Itu ujiannya. Bahaya. Saya artis, saya tahulah bagaimana rakusnya orang kita suka jatuh hukum. Tapi ini agama. Biar buruk benda lain, jangan kita menampakkan agama kita itu buruk,bahaya,”katanya.
Malah, Zul juga berpendapat perubahan seseorang itu tidak harus dinilai kepada sejauh mana cara dia berpakaian atau penampilan luaran.
Baginya, usaha untuk belajar agama ini adalah untuk membentuk jati diri yang lebih bagus secara rohani dan jasmani dan itulah yang harus dititikberatkan.
“Orang kita ini kadang kala terlalu pergi jauh sangat dalam menilai. Sedangkan, nak kawal diri sendiri pun memerlukan usaha yang tinggi. Kita yang kena faham dan kawal perasaan, nak ramahkah, nak senyum dengan orangkah. Sifat amarah, Ya Allah…itu pun ingat senangkah nak kawal? Bukan sehari dua punya kerja.
“Kalau ada orang muda yang tanya dan minta nasihat, saya akan cakap begitu. Ujian banyak lagi. Saya kena ujian sudah bermacam-macam, anda pun tak nak tahu. Sampai takut nak keluar rumah pun pernah,”katanya.
Jaga lisan susah, baik jaga harimau
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia sedar mungkin ramai kini sedang meletakkan jangkaan tinggi padanya sebagai seorang insan yang sedang memperbaiki diri, Zul mengucapkan terima kasih buat mereka yang sentiasa menyokong.
Bagaimanapun, meneliti lebih mendalam, Zul sedar sudah pasti dirinya tidak akan lepas daripada ujian kerana sudah lazimnya begitu andai kebaikan yang sedang dicari.
“Bila dilanda ujian, jangan sesekali kita ingat ujian itu untuk orang itu semata-mata. Sama ada dalam sosial media, khabar angin, masyarakat terutama kepada saya sendiri yang sedang berusaha ini.
“Kalau saya buat salah, itu kesilapan sendiri. Memang itu ujian saya, tapi ujian itu untuk semua orang juga. Macam mana nak kawal reaksi sebab sesenang itu saja orang boleh bertutur kata atau menulis walaupun dosa yang saya buat itu anda tak pernah buat.
“Silap-silap Allah SWT pindahkan pula pahala anda itu kepada saya untuk mencuci dosa saya. Jadi kita sama-samalah menjaga lidah dan tutur kata kerana saya faham, manusia memang susah menjaga hal ini. Lebih baik jaga harimau saya rasa. Sama-samalah kita melatih diri,”katanya mengakhiri perbualan.
Saya tidak berhak memilih
Mengajaknya berbicara lebih dalam mengenai bagaimana seorang lelaki tegap dan sejati sepertinya boleh tertumpah air mata jantan saat berdepan dengan khalayak di Instagram Live baru-baru ini, Zul memberitahu ia bukan soal dirinya sedang bercakap mengenai jodoh semata.
Tetapi ada hal yang lebih dalam yang mana baginya, tidak perlu dicanang luas kepada orang.
Pun begitu, dia mengaku, sebagai seorang manusia, tentu sekali hasrat untuk berkahwin itu ada. Cuma, apabila ditanya mengenai ciri wanita atau siapakah wanita itu, dia tidak ada jawapan untuk itu.
“Memang semasa buat IG Live itu saya sebut tentang nak kahwin dan nak mati sebagai suami. Saya faham tentang maksud jodoh yang sudah dijanjikan kerana Allah SWT menjadikan kita semua berpasangan. Tetapi, dalam hidup kita ini, janganlah rasa diri itu sentiasa layak.
“Siapakah saya untuk memilih walaupun saya dikenali. Itu pun tak boleh pakai. Nak wanita cantik begitu dan begini. Habis itu, orang yang tak cantik, wanita yang kudung kaki atau tangan, mereka seperti itu tidak berhak memilihkah? Tak akanlah kita saja boleh? Sempurnakah dan adilkah kita?
“Manusia ini memang begitu. Tetap mahu memilih cuma mahu yang bagus. Belajarlah untuk rasa diri ini tidak layak sebab ia mendidik kita untuk bersyukur. Kita nak yang elok, kita pun kenalah elokkan diri, betul tak? Tapi itulah, bila saya cakap pada orang hal ini, orang kata saya nak jadi Pak Hajilah pula. Susah nak terangkan,”katanya.
Selain itu, sedar bahawa isu air matanya tempoh hari masih menjadi bahan bualan ramai, pelakon ini membentangkan perumpamaan mudah.
Baginya, tidak perlu dijadikan modal jenaka kerana tiada salahnya lelaki untuk dilihat mengalirkan air mata namun harus tahu, air mata itu untuk apa.
“Orang kita, lelaki yang menangis itu dikatakan tidak cukup jantan. Kalau begitu, sila periksa masalah ego dan doa banyak-banyak. Fikir satu saja, Rasulullah SAW, sejantan-jantan manusia. Dalam kalangan Baginda, ada sahabat-sahabatnya yang juga sejantan-jantannya.
“Ini bukan soal jantina. Mereka itu adalah pahlawan-pahlawan yang hafal al-Quran, yang taat dan ikut semua yang dilakukan Baginda, yang sabar, kuat ibadah dan sebagainya. Mereka juga bukan muda-muda, berjambang, dalam masa sama berperang. Kalau mereka boleh menangis teresak-esak, itu persoalan untuk anda.
“Air mata itu bagus. Tapi sebab apa itu kita kena periksa. Biar air mata itu berbaloi. Jangan menangis dengan benda pelik. Itu satu perasaan yang Allah nak beri. Dia nak belanja kita,”katanya.










