Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), serta Fakulti Perubatan, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan College of Physicians Malaysia dalam usaha mempertingkatkan kerjasama dalam bidang komunikasi kesihatan, baru-baru ini.
Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Massila Hamzah berkata, kerjasama itu bertujuan mewujudkan perkongsian pengetahuan dan kepakaran daripada penyelidikan rentas lapangan kepada latihan media dan publisiti melibat kedua-dua pihak.
“Kami percaya usaha ini akan membawa kepada banyak inisiatif menguntungkan kedua-dua pihak dalam menghasilkan sinergi baharu dan menambah nilai akademik untuk UiTM dan College of Physicians Malaysia,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
UiTM berpandangan sudah sampai masanya alat dan teknik komunikasi yang tepat digunakan bagi mengelakkan salah tafsir dan penyebaran maklumat salah berkaitan isu kesihatan.
MoU secara dalam talian itu disempurnakan Massila dan Presiden College of Physicians Malaysia, Dr Letchuman Ramanathan.
Kerjasama itu pertama kali dilakukan antara kedua-dua institusi berkenaan.
Sementara itu, Dr. Letchuman berkata, kerjasama itu membawa kepada lebih banyak inisiatif mengenai nilai akademik, budaya dan perkongsian pengetahuan berkaitan kepakaran teknikal berhubung isu kesihatan di Malaysia.
Majlis sama turut melancarkan buku digital berjudul Cerita Kami KanWork terbitan KanWork dengan kerjasama War on Cancer Malaysia, WonC.
Ia adalah hasil nukilan bekas pesakit kanser dan penjaga pesakit kanser. Ia ditulis bertujuan memberi kesedaran umum mengenai kanser.
Buku tersebut sudah mula dijual secara dalam talian dan hasil dana jualan terkumpul akan digunakan sepenuhnya oleh KanWork bagi menjalankan aktiviti outreach atau aktiviti.










