fbpx

23 September 2021, 8:18 am

  TERKINI

Aishah alami kerosakan paru-paru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Aishah mengalami kerosakan pada organ paru-parunya akibat jangkitan wabak Covid-19.

Berita mengejutkan itu dikongsikan penyanyi lagu Camar Yang Pulang tersebut menerusi Instagramnya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia bersyukur dengan paras oksigen, gula dalam darah dan tekanan darah yang dalam keadaan baik.

“Lima hari selepas keluar hospital, Alhamdulillah, paras oksigen, gula dalam darah dan tekanan darah semua okay.

“Saya diberitahu kerosakan pada paru-paru saya lebih kurang dalam 20 peratus.

“Walaupun anda nampak saya macam hyper (bertenaga) dan ada yang risau mungkin saya terlalu hyper. Sebenarnya saya paksa diri saya untuk buat macam itu,” tulisnya.

Pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin ini dibenarkan keluar hospital selepas 12 hari bertarung dengan virus tersebut.

Dia dimasukkan ke Hospital Ampang hujung Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Dalam pada itu, Aishah berkata jangkitan Covid-19 bukan sahaja menyerang fizikal, malah mentalnya yang turut terjejas dek virus tersebut.

Justeru katanya proses pemulihan untuknya akan mengambil masa yang cukup lama.

“Tak tahulah sama ada saya sahaja yang merasakan impak ini. Pemikiran saya ini, kalau tak kuat, lawan dan selalu berzikir.

“Traumanya boleh buat kita termenung sahaja. Otak bercelaru dan trauma, kalau saya layankan boleh jadi zombie. Kadang-kadang, bila bercakap, pemikiran itu hilang. Sampaikan perkataan pun boleh lupa, macam jadi kurang cerdik pula.

“Alhamdulillah, kesan itu saya lawan dengan sentiasa mengaji dan berzikir. Kalau ikut hati, sedap layan dinding sahaja,” tulisnya lagi.

Sementara itu, juara Gegar Vaganza musim keempat ini juga mengakui cepat keletihan dan sering merasa dirinya seperti tidak stabil.

“Dari segi fizikal, saya rasa cepat penat terutama bila naik turun tangga dan tidak boleh berdiri lama.

“Badan rasa melayang, kena cepat-cepat baring.

“Tetapi, saya sangat bersyukur masih berada di sini. Mohon doakan saya pulih sepenuhnya,” tambahnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN