Buluh berupaya serap lebih tinggi karbon - Utusan Malaysia

Buluh berupaya serap lebih tinggi karbon

Contoh binaan gazebo yang diperbuat daripada buluh di Resort Tadom Hill, Banting, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terdapat kira-kira 1,400 spesies buluh di seluruh dunia dengan lebih 70 spesies buluh terdapat di Malaysia. Kebanyakannya adalah spesies buluh tempatan dengan 45 spesies. Selebihnya buluh yang dibawa masuk dari negara lain.

Buluh yang biasa dan mudah didapati di Malaysia adalah buluh semantan, buluh beting, buluh betong, buluh duri, buluh minyak, buluh lemang dan buluh beti.

Oleh kerana sumber kayu kayan dari hutan telah berkurangan, dagangan dan permintaan buluh serta produk berkaitan buluh dari tahun ke tahun telah bertambah.

Dilaporkan pada 2018 sahaja, nilai ekonomi buluh dunia mencecah hampir RM285.6 bilion setahun dengan China, India dan Taiwan merupakan antara negara dominasi utama.

Unjuran menunjukkan jumlah ini akan terus meningkat sehingga 5% setahun sehingga tahun 2025, yang didorong oleh permintaan global yang tinggi.

Buluh sememangnya tumbuhan yang ‘ajaib’ dan berpotensi. Jika dilihat dari aspek kejuruteraan, batang buluh yang berlompang menjadikannya lebih efektif berbanding batang atau silinder yang padu.

Ruas dan buku yang terbentuk pada buluh pula menghalangnya daripada pecah apabila dikenakan bebanan. Serat buluh pula mempunyai kekuatan yang sangat menakjubkan, iaitu tiga kali lebih kuat daripada keluli.

Selepas dipotong, batang buluh diukur sebelum diproses untuk dijadikan pelbagai produk.

Kandungan serat yang lebih banyak pada dinding buluh secara tidak langsung menguatkan lagi buluh, teguh terhadap angin kencang dan mempunyai tahap lenturan tinggi.

Atas sebab itu, buluh digunakan secara meluas sebagai perancah di negara Asia Timur terutamanya China dan Taiwan.

Sumber kayu dari hutan pula semakin kurang akibat penebangan dan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Di sebalik kemelut ini, kita amat bertuah kerana mempunyai anugerah alam yang mempunyai pelbagai potensi ini. Buluh adalah ‘emas hijau’ yang mempunyai potensi amat besar dan semakin berharga di peringkat global.

Buluh adalah antara sumber lestari yang mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat dibandingkan pokok berkayu yang lain. Buluh mampu tumbuh sehingga 30 sentimeter sehari dan mencapai tahap matang. Ia boleh ditebang hanya dalam tempoh tiga ke lima tahun.

Buluh juga secara langsung dapat mengurangkan masalah perubahan iklim dunia yang makin meruncing.

Kajian menunjukkan jika dibandingkan dengan tumbuhan berkayu yang lain, buluh mampu menyerap lebih tinggi karbon dioksida, menjadikannya sebagai kunci utama yang berpotensi mengurangkan kesan rumah hijau ke atas bumi.

Malaysia boleh dianggap terkebelakang dalam memanfaatkan sumber ‘emas hijau’ ini sebagai pemacu ekonomi negara.

Namun, negara telah merancang pelbagai strategi untuk meneroka pasaran buluh dunia yang kini amat besar melalui strategi pembangunan industri huluan dan hiliran buluh negara.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) merangka Tindakan Pembangunan Industri Buluh di Malaysia bermula dari 2011 sehingga 2020.

Usaha ini diteruskan hingga ke 2030. Pelan tindakan industri buluh 2021 ke 2030 telah dirangka dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Antara teras utama yang diberi perhatian adalah dari segi perluasan sumber, pembangunan industri hiliran (galakkan produk hiliran dari buluh), peningkatan modal insan iaitu menambahkan kemahiran dalam bidang buluh, pengukuhan inovasi, jaminan kualiti dan juga strategi pemasaran.

BEKAL MODAL INSAN

MTIB telah menganjurkan pelbagai latihan, namun kebanyakan pelatih adalah dalam industri buluh yang sedia wujud.

Justeru MTIB tidak dapat membekalkan modal insan terlatih kepada pemain industri yang berpotensi. Industri sendiri perlu lebih aktif mencadang dan mengadakan latihan lain yang perlu bagi industri buluh.

Penubuhan pusat penyelidikan makmal tisu kultur di Lahat, Perak dijangka menyemarakkan lagi penyelidikan dan pembangunan buluh negara, di samping dapat menghasilkan anak buluh yang sesuai untuk penanaman bagi tujuan pengkomersilan.

Terdapat banyak spesies buluh yang boleh dimanfaatkan di Malaysia. Walaupun begitu, lima spesies buluh utama yang sesuai untuk pengkomersialan yang dikenal pasti oleh MTIB adalah Buluh Semantan, Beting, Beti, Betung dan Hitam.

Buluh Semantan yang telah dipotong.

Dalam usaha memperkasa penggunaan buluh sebagai bahan pembinaan yang lestari dan mesra alam, beberapa struktur yang menggunakan buluh sebagai bahan utama telah dibina.

Antaranya, Surau Buluh yang terletak di Chandan Puteri, Mukim Bendang Panjang yang dibina 100 peratus menggunakan buluh jenis Walung sebagai tiang dan Apus sebagai bumbung surau.

Direka bentuk oleh arkitek Mazlan Othman, penggunaan buluh sebagai bahan untuk pembinaan surau itu boleh dianggap unik di negara ini.

Begitu juga dengan pembinaan Pavilion Buluh di Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur. Pavilion buluh ataupun juga dikenali sebagai Bamboo Playhouse ini direka bentuk oleh arkitek Eleena Jamil. Ia berkonsepkan rumah wakaf yang biasa terdapat di kampung.

Contoh terbaik penggunaan buluh mungkin boleh dilihat di Resort Tadom Hill, Banting. Ia menggunakan hampir 100 peratus buluh sebagai bahan utama untuk pembinaan struktur pondok pengawal, restoran, rumah tinjau sehinggalah rumah penginapan pengunjung.

Ini adalah antara beberapa contoh eksperimentasi penggunaan buluh dalam struktur kontemporari di Malaysia yang masih boleh dianggap asing di negara ini.

Institusi Pengajian Tinggi Awam juga tidak terkecuali dalam mempopularkan lagi buluh sebagai sumber ekonomi baru negara melalui pelbagai penyelidikan dan inovasi terbaharu berkaitan buluh.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) buluh dapat membantu usaha kerajaan memperkasa industri buluh di Malaysia.

R&D buluh adalah sangat luas. Ia merangkumi hasil makanan dari buluh (contohnya kerepek dari rebung buluh), kaedah penanaman dan tumbesaran buluh, sifat buluh hingga kepada penggunaan buluh sebagai bahan bangunan, perabot serta pakaian. Malah penyelidikan serta penggunaan buluh sebagai alat muzik, senjata dan kraftangan juga digalakkan.

Basikal direkabentuk menggunakan kerangka buluh di Bamboo Jungle Adventures, Kg. Talang Tengah di Sungai Siput, Perak.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga tidak ketinggalan memperkenalkan program-program di peringkat ijazah seperti Teknologi Biokomposit, Teknologi Perabot, Teknologi Sains Bahan.

Demikian juga program terbaharu yang bakal ditawarkan di Fakulti Sains Gunaan UiTM iaitu Sarjana Muda Sains (Kepujian) Eko-Teknologi, pengenalan kepada buluh sebagai bahan mesra alam yang berpotensi dimajukan diintegrasikan dalam silibus pembelajaran dan juga projek tahun akhir pelajar.

Para penyelidik di UiTM juga banyak terlibat dalam penghasilan bahan komposit berasaskan buluh seperti papan gentian, papan serpai, papan venir serta papan lamina dan juga penyelidikan berkaitan bahan yang di ekstrak daripada buluh seperti lignin dan silika yang boleh diguna pakai untuk menghasilkan pelbagai-bagai produk yang mesra alam dan tidak bertoksik.

Sememangnya potensi buluh sebagai komoditi terbaru negara yang mampu menyumbang terhadap ekonomi negara amatlah besar. Di Malaysia telah ada badan yang mengiktiraf buluh iaitu ‘Malaysian Bamboo Society’ (MBS).

Pelbagai aktiviti dijalankan di bawah MBS bagi membantu kerajaan menaikkan kesedaran masyarakat tentang keajaiban buluh. Amatlah merugikan seandainya industri Malaysia tidak mengambil peluang mengeksploitasi sumber alam yang amat mengagumkan ini.

Apatah lagi dalam keadaan landskap global yang semakin berubah sejajar dengan matlamat pembangunan lestari berpaksikan Agenda 2030 Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, buluh diramal akan terus memainkan peranan penting sebagai sumber alam ajaib yang boleh diperbaharui.

  • Prof. Dr Mansur Ahmad dan Dr. Syaiful Osman dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×