‘Jangan panggil saya jutawan’ - Utusan Malaysia

‘Jangan panggil saya jutawan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA sesuatu yang menarik apabila berbual dengan pelakon, Zoey Rahman. Bagaimana dia melontarkan kata yang jelas berlandaskan pengalaman. Dia bukan bercakap kosong. Dia tahu dan faham apa yang cuba disampaikan.

Melihatkan empayar perniagaan kosmetik dan makanan yang dibangunkan, pasti ramai yang mengagumi figura seorang ini. Dia membuktikan kemampuan sebagai seorang usahawan. Jadi soalan saya mudah sahaja, sudah bergelar jutawan?

Tergelak dia mendengar. Lantas dia menjawab:

“Saya tidak suka sebenarnya digelar jutawan dan sebagainya. Saya manusia biasa, usahawan yang mencuba mencari rezeki dengan halal. Jadi, kalau tanya sudah jutawan atau tidak, saya bersyukur dengan rezeki yang ada.

“Alhamdulillah, dengan perniagaan Mika Series ini, saya belajar banyak sangat ilmu. Perasaan apabila ramai yang mengulang pesanan kerana berpuas hati dengan kualiti produk, itu yang terbaik,” katanya.

Di tangga usia 36 tahun ini, kejayaan yang diukir bukan calang-calang. Mungkin nampak ‘biasa’ di mata segelintir orang, namun baginya itu adalah satu kebanggaan. Tetapi itu bukan tanda kepuasan diri.

Mencuba pula dalam industri makanan, Zoey mencabar diri. Dia mahu menyuntik kelainan. Tidak mahu mengulang cetak produk atau meniru sesiapa. Baginya, kepuasan itu hadir apabila titik peluh ditukar kejayaan.

“Memang saya sudah buat perancangan awal. Saya jenis tak boleh duduk diam. Apabila jenama Mika Series semakin kukuh dalam pasaran, sudah tiba masa untuk saya cuba sesuatu yang berbeza pula.

“Insya-Allah, saya akan melancarkan produk makanan berasas yogurt pula. Saya sukakan kelainan. Unik dan berbeza itu adalah kunci dalam saya berniaga. Sebelum ini pun saya ada juga MikaBitee Brownies.

“Alhamdulillah sambutan memang menggalakkan. Jadi sebab itu saya semakin yakin untuk terus meneroka peluang dalam industri makanan pula. Tak cuba tak tahu kan? Kena berani dan yakin,” katanya.

Namun dalam kemanisan ada kepahitan. Zoey tidak terkecuali menjadi mangsa sindirian dan pandangan sinis segelintir pihak yang memandang rendah dirinya. Tetapi itulah adat dalam berniaga.

“Mula-mula nak ceburi bidang kosmetik, ramai yang sindir. Boleh ke? Laku ke? Bila naik papan iklan di tepi lebuhraya, saya sujud syukur. Itu kena kecam. Tetapi itu tidak menjatuhkan semangat saya pun.

“Bila produk berjaya memecah tembok disenarai sebagai salah satu produk tempatan dalam rangkaian Watsons, ramai juga yang tidak suka. Tetapi saya lihat secara positif. Penat lelah saya dan team berbaloi,” katanya.

Berhenti berlakon? Tidak!

Rancak berbual soal perniagaan, saya selitkan juga soalan tentang kerjaya seni. Sudah lama tidak lihat kelibat Zoey berlakon. Adakah dia sudah meletakan titik noktah dalam kerjaya seninya?
“Tidak sama sekali!” tegasnya menjawab soalan itu.

Dihimpit kesibukan sebagai usahawan adalah antara sebab dia kurang menerima tawaran untuk berlakon. Bukan tidak mahu namun dia terpaksa menolak baik tawaran kerana jadual yang terlalu padat.

“Saya selalu dapat tawaran tetapi maaf, jadual selalu bertindih. Saya tak pernah ada pelan untuk berehat atau berhenti berlakon. Cuma kena susun jadual dengan baik dan lihat juga watak serta jalan cerita.

“Bukan pula saya demand tetapi kena tengok kesesuaian dan skrip dahulu. Bila berlakon, kita mahu beri yang terbaik untuk penonton. Saya kena kaji watak dan jalan cerita dahulu, baru puas hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya