Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memeterai perjanjian kerjasama dengan Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Gugusan Bayai Berhad (KPRFGB) bagi merakyatkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM.
Ia dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan kumpulan B40 ahli-ahli koperasi tersebut.
Sesi pertukaran dokumen perjanjian antara kedua-dua pihak diadakan di Kampung Serting Ulu, Simpang Pertang, Negeri Sembilan.
Ia sempena Majlis Perasmian Program Merakyatkan Hasil R&D FRIM melalui Pemindahan Teknologi bagi Projek Penanaman Herba Terpilih Secara Sistem Selingan untuk Penghasilan Produk Berkualiti Tinggi’.
Perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr. Norwati Muhammad yang mewakili Ketua Pengarahnya, Dr. Khali Aziz Hamzah
Kerjasama itu adalah untuk projek di bawah geran Malaysia Social Innovation (MySI) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diketuai oleh Dr. Farah Fazwa Md Ariff dengan dana sebanyak RM260,000.
Norwati turut merasmikan rumah teduhan projek dan acara simbolik penanaman kacip fatimah, limau kasturi serta serai makan bersama-sama jemputan lain.
Lanjutan daripada majlis itu, bengkel pemindahan teknologi anjuran FRIM untuk para peserta KPFRGB turut diadakan pada 7-8 April lalu.
Seramai 100 peserta terlibat dalam projek ini dan teknologi FRIM yang akan dipindah kepada mereka adalah:
• Klon kacip fatimah hasil R&D
• Klon superior limau kasturi
• Teknik pembiakan
• Teknik penjagaan dan penyelenggaraan
Yang turut hadir, Pengarah Bioteknologi Perhutanan, Dr. Mohd Zaki Abdullah; Pengarah Inovasi dan Komersialisasi, Mahmudin Salleh; Pengerusi KPRFGB, Zainudin Kalam dan Pengurus Besar Pengurusan Institusi Peserta Felcra Berhad, Zainul Anzaid.











