Perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan keistimewaan yang memainkan peranan penting demi mencapai status negara maju.
Gadis berbangsa Cina dan fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan, Wee Yun Nee, 24, atau lebih dikenali sebagai Mek Yun menjadi contoh kepada perpaduan itu.
Ini apabila dia berjaya mencuri perhatian orang ramai selepas video-videonya bercakap dalam dialek itu tular dalam media sosial.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu kerap membuat naik videonya mengajar dialek Kelantan di laman TikTok bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Saya kerap membuat video begitu untuk menunjukkan walaupun bangsa berbeza tetapi masih boleh belajar tentang bangsa dan budaya yang lain.
“Saya ingin orang ramai bersatu dan saling menghormati pilihan, agama dan budaya masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semua ahli keluarga Mek Yun sebenarnya boleh bertutur dalam loghat Kelantan kerana ibu bapanya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Mereka juga menetap di Kelantan semasa zaman persekolahan Mek Yun sekitar 14 tahun lalu.
Kefasihan Mek Yun itu juga didorong oleh persekitarannya yang dikelilingi orang Melayu semasa dia membesar.
“Mak berasal dari Lundang dan ayah dari Rantau Panjang. Antara bahasa pertuturan kami di rumah ialah Bahasa Cina, Inggeris, Melayu Kelantan dan Hokkien,” katanya.
LULUSAN KEJURUTERAAN ELEKTRIK
Mek Yun adalah lepasan sarjana muda Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Menurutnya, semasa belajar di peringkat sarjana muda dia adalah penerima anugerah dekan hampir setiap semester.
“Pada mulanya saya enggan melanjutkan pelajaran dalam bidang itu kerana ingin menjadi seorang juruterbang. Tetapi kerana bidang itu agak mahal saya telah memilih bidang kejuruteraan.
“Bagaimanapun objektif saya ialah untuk menghabiskan pelajaran dengan cemerlang. Minat atau tidak itu tidak penting,” ujarnya dengan yakin.
Setelah menamatkan pelajarannya, kini Mek Yun sedang mencari pekerjaan dalam bidang tersebut.
JANA DUIT MELALUI MEDIA SOSIAL
Sementara menunggu dan mencari peluang pekerjaan, Mek Yun banyak aktifkan diri dalam media sosial bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.
Rata-rata orang ramai kini gemar menghabiskan masa di platform media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok.

Oleh itu, menjana pendapatan yang lumayan melalui platform itu tidak mustahil. Lebih-lebih lagi jika mempunyai jumlah pengikut yang ramai.
Mek Yun kini mempunyai lebih 300,000 pengikut di TikTok manakala 100,000 di Instagram.
“Saya merupakan seorang pembuat kandungan (content provider) di universiti sebelum saya mula tular di media sosial lagi.
“Sejak tular, saya menggunakan kesempatan itu untuk buat duit lebih kerana ramai yang suka kandungan yang dihasilkan,” jelas anak bongsu daripada empat beradik ini.
Namun, katanya, dia enggan menjadikan ia sebagai pekerjaan sepenuh masanya kerana mahukan kerja yang lebih stabil dengan pendapatan tetap.
Mek Yun menjelaskan, hasil pendapatannya itu bergantung kepada berapa amaun jenama-jenama dan kempen yang ingin bekerjasama dengannya.
“Selain cara itu, ketika membuat live di laman TikTok, peminat boleh memberi hadiah kepada saya dalam bentuk wang.
“Dalam sebulan, pekerjaan itu mampu meraih kira-kira RM7,000 hingga RM8,000. Namun, ia bergantung kepada berapa banyak jenama yang ingin saya promosikan produk mereka.”
CABARAN MEMATANGKAN MEK YUN
“Ketika saya masih belajar, membahagikan masa membuat kandungan dan belajar merupakan perkara yang agak susah.
“Terutamanya ketika saya mula tular, saya menjadi agak culture shock sehingga saya tidak tahu bagaimana untuk mengawal apabila orang ramai banyak memberi komen dan menghantar mesej kepada saya,” kata Mek Yun.
Jelasnya, ada yang memberi tawaran berlakon dan ada juga yang mengirimkan mesej mengkritik rupa parasnya.
Mek Yun akui pada mulanya dia agak terganggu dan tidak boleh terima perkara itu, tetapi lama kelamaan dia belajar untuk tidak mengendahkan komen-komen negatif yang diterima.
“Orang yang suka melemparkan komen seperti itu inginkan perhatian dan saya enggan mengambil berat tentangnya.
“Bagi yang membuat tawaran berlakon pada waktu itu pula, saya terpaksa menolak kerana masih belajar dan ingin fokus kepada pelajaran,” katanya.
Bagaimanapun Mek Yun kini terbuka untuk mencuba bidang itu jika ada tawaran lagi buat dirinya memandangkan dia sudah menamatkan pelajarannya baru-baru ini.

Tiada siapa yang sempurna
Walaupun Mek Yun merupakan pelajar yang cemerlang dan kreatif, dia masih mempunyai kelemahan diri.
Itu menunjukkan wanita yang berjaya harus berusaha untuk mengharungi pelbagai cabaran dan mengatasi kelemahan diri.
“Saya seorang yang perfeksionis semasa melakukan sebarang kerja, begitu juga ketika zaman belajar.
“Saya akan memberi tekanan yang tinggi kepada diri sendiri kerana ingin mencapai sasaran yang saya tetapkan.
“Tetapi perlahan-lahan saya cuba mengatasi kelemahan diri itu supaya kesihatan mental saya juga akan terjaga,” jelasnya.
Kehidupan masa kecil susah
Mek Yun memberitahu, dia mempunyai ibu bapa yang tegas terutama ayahnya yang banyak mengajar tentang disiplin.
Ayah Mek Yun, Datuk Wee Han Siew adalah bekas pegawai tentera jadi tidak hairanlah mengapa beliau seorang yang tegas dan mementingkan disiplin.
“Keluarga kami sebelum ini susah, dan saya harus melihat bapa saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kehidupan kami sekeluarga selesa.
“Ayah mengajar saya tiada apa-apa yang mustahil untuk dicapai,” ujar MekYun dengan mata yang berkaca ketika bercakap tentang bapanya.
Didikan yang diterima dan pengalaman yang dilaluinya menjadikan MekYun seorang yang pandai menguruskan masa, berkeyakinan dan matang.











