fbpx

9 Mei 2021, 6:24 am

  TERKINI

Sasar kutipan filem RM1 juta – Fadzil Teh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit, Fadzil Teh, menyasarkan filem sulung, Seandainya Kau Ada di saluran televisyen (TV) berbayar mampu meraih kutipan sebanyak RM1 juta.

Ketika dihubungi, penerbit drama popular yang lebih mesra disapa Haji Zeel itu berkata, jika mendapat keuntungan lebih, dia akan membawa kru produksi filem itu menunaikan ibadah umrah.

“Ini filem pertama menerusi TV berbayar jadi memang ada rasa takut sampai sukar tidur malam. Mana tidaknya, bimbang orang tak melanggan tambahan saya pula bukanlah golongan pengarah terkenal.

“Tetapi Alhamdulillah ,menurut pihak Astro langganan setakat ini baik. Mungkin hari orang bekerja, Sabtu Ahad mungkin ramai yang akan menonton.

“Jadinya, saya tak nak sasar kutipan banyak, kalau dapat pulangan modal dalam RM1 juta pun ok. Jika lebih saya dah janji dengan team nak bawa mereka pergi buat umrah bersama, harap termakbul,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Buah tangan pertama yang dihasilkan bersama Chad Abdul Rahman itu sudah ditayangkan di Astro First bermula 29 April 2021. Antara pelakon hebat yang membintangi filem itu seperti Raysha Rizrose, Ruhainies, Aidit Noh, Fendy Bakry, Fauziah Nawi, Shah Iskandar dan Rozita Che Wan serta ramai lagi.

Menariknya, filem adaptasi novel popular karya Kamsiah Abu Bakar itu telah menjalani sesi penggambaran di Tanah Suci Mekah, Madinah, Uzbekistan, Kuala Lumpur dan Perlis.

Sebelum ini Haji Zeel mengarah drama Kisah Dari Mekah, Manisnya Bulan Madu dan Cikgu Dina Pakai Prada serta bakal muncul dengan filem baharu, Kiah Pekasam The Movie.