Reyhana bimbang projek lepas raya ‘terbengkalai’ - Utusan Malaysia

Reyhana bimbang projek lepas raya ‘terbengkalai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa yang bakal berlaku pada keesokan hari tidak siapa dapat menduga. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksana mengundang kebimbangan buat penyanyi, Reyhana Yunus.

Manakan tidak, separuh pendapatan ekonominya sahaja bergantung di lapangan industri seni suara. Bagi penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi Bintang RTM 2007 dan One In a Million 2009, dia bagaimanapun mensyukuri nikmat pemberian dari Allah SWT.

“Seminggu selepas raya ini saya masih akan banyak terlibat dengan program kurangkan berat badan bersama Amway. Saya memang aktif sejak awal Ramadan lalu. Aktiviti seni ada juga terima tawaran dan boleh dikatakan jadual sudah cantik.

“Tetapi apa yang merisaukan saya sekarang ini, takut-takut kalau aktiviti pentas tidak dibenarkan oleh kerajaan seperti mana yang pernah berlaku dalam tempoh PKP sebelum ini. Saya mampu berdoa yang baik-baik saja sekarang ini, moga-moga ada perkhabaran yang sedap untuk didengari.

“Mujurlah saya ini orangnya kuat bekerja dan cari makan dengan apa cara sekali pun, penting halal. Meniaga sambal, itu sahajalah yang mudah untuk saya jana pendapatan dalam norma baharu sekarang. Syukur alhamdulillah, jualan saya dapat sambutan yang baik,” tuturnya.

Meski berat bahu memikul, hati Reyhana atau nama lengkapnya Rehana Mohd Yunus, 34, tetap berasa aman kerana hikmah norma baharu dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Saya juga rasa bersyukur sangat kepada Allah. Walaupun kita semua senasib, terpaksa jalani norma baharu, setidaknya saya tinggal bersama keluarga di Kuala Lumpur ini. Kami dapat mengaji dan solat berjemaah bersama-sama,” katanya yang menyedari ini adalah masa yang terbaik untuk muhasabah diri.

Bercakap mengenai perkembangan seni muzik tempatan, penyanyi cantik itu mengakui penglibatan kerjasama antara penyanyi rap mampu melonjakkan kariernya.

“Saya tak rasa tahun ini akan keluarkan single sebab faktor ekonomi tidak begitu mengizinkan. Besar hati nak keluarkan buah tangan terbaharu.

“Ramai peminat mula bertanya khabar dan ada yang mencadangkan untuk kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi rap yang sedia ada. Saya tidak menafikan, strategi untuk melebarkan pasaran menerusi rentak hip-hop ada hasilnya. Sebab rata-rata pendengar hari ini semua sudah boleh menerima.

“Memang sudah lama merancang tapi belum ada rezeki lagi untuk berduet dengan penyanyi rap,” jelasnya yang mahu bekerjasama dengan Malique.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×