Indahnya Syawal diraikan bersama keluarga tercinta. Kehilangan bonda tersayang pada Ramadan empat tahun lalu bagaikan satu tamparan hebat buat penyanyi rap, Siqma.
Meski dihitung hari sudah lama berlalu, tapi pastinya Siqma atau nama lengkapnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak, 28, masih terasa dengan pemergian arwah bonda.
Sebelum membuka bicara, penyanyi rap lagu Raja Simurgh itu hanya terdiam seketika, mungkin sedang mencari kata untuk memulakan cerita dari mana agaknya. Dari raut wajahnya sahaja penulis dapat membaca betapa dalamnya rindu sang anak kepada ibunya.
“Tahun ini saya berharap yang baik-baik sahaja, lagi pun kita masih dalam fasa kawalan pergerakan, tak boleh nak terlalu seronok sangat.
“Tambahan pula, awal tahun 2017 datuk saya meninggal dunia. Empat bulan selepas itu, emak saya pula pergi. Kami semua terkejut dan segala persiapan untuk sambut raya memang tiada.
Kehilangannya saya terasa sangat sebab terlalu rapat dengan arwah emak, ibaratnya kami ini macam kawan rapat.
“Bayangkanlah, emak nak tukar sofa pun saya turuti, begitu juga dengan menghias rumah tukar langsir dan buat kuih-muih raya. Jadi, apabila emak tak ada ini suasana tiap kali bulan puasa dan hari raya, suram rasanya, kadang-kadang langsir pun tak bertukar,” imbasnya dengan nada seakan-akan sebak.
Sungguhpun ketiadaan emak yang dianggap sebagai orang kuat dalam keluarga, kata anak kelima daripada enam adik-beradik itu, anak buah seramai 16 orang menjadi pelengkap kemeriahan Aidilfitri.
“Masa hayat emak, bulan puasa saya berniaga di Uptown Danau Kota, Kuala Lumpur, jual baju melayu dan buka kedai gunting rambut, Barber. Rasa seronok dapat duit kemudian bagi duit raya dekat emak.
“Tetapi selepas emak tiada saya mula beri tumpuan sepenuh masa dengan kerjaya muzik. Adik-beradik lain semua sudah kahwin dan ramai anak-anak. Oleh itu, anak buah sahaja lah yang memecah keheningan pagi raya,” katanya.
Tambah Siqma, kemeriahan raya kali ini lebih dinikmati bersama ahli keluarga dan membuat video call bersama rakan artis lain bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Bisnes dan lemang
Seperti tahun sudah, menjadi tradisi buat anak muda itu membakar lemang dan diberikan kepada sahabatnya. Tapi tidak tahun ini kerana kekangan kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat.
“Daripada sekolah lagi memang ayah jual lemang. Kira resipi ayah saya sambung cuma tidak menjadikan ia sebagai tujuan untuk berniaga. Sekadar buat suka-suka dan sedekahkan kepada kawan-kawan serta mengisi masa lapang sebab kurang aktiviti seni berbanding tahun ini jadual agak padat,” ujarnya.
Menyelami dengan lebih dalam sisi lain, Siqma juga merupakan usahawan industri kecil sederhana dengan berniaga baju melayu dan sebagai tukang gunting rambut di Uptown Danau Kota, Kuala Lumpur.
“Saya sampai bila-bila akan terus buat bisnes sebab salah satu jana pendapatan untuk hidup. Tapi keadaan dua tahun ini tidak begitu mengizinkan untuk komited sebab Covid-19. Jadi fokus muzik sahaja.
“Takut untuk sambung bisnes nanti mengganggu dengan kerjaya muzik. Lagi pun masa singkat untuk berniaga dalam tempoh PKP ini. Dengan keadaan macam ini, strategi bisnes tak boleh nak dapatkan kewangan yang stabil,” katanya.










