DALAM situasi penularan wabak Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat dari semasa ke semasa termasuk jumlah kematian akibat penyakit berjangkit tersebut, siapa sangka masih ada yang tidak cakna dengan keadaan ini.
Malah, ketika kerajaan sedang rancak menggesa semua rakyat untuk mengambil suntikan vaksin bagi mencegah penularan penyakit tersebut, ada kelompok manusia yang tidak bertanggungjawab sanggup membuat spekulasi palsu dengan bermacam teori mengenai kesan pengambilan vaksin.
Perkara itu juga menyebabkan penyanyi rap wanita sensasi tanah air, Loca B terkejut besar lantaran ada kalangan pengikutnya di media sosial rupa-rupanya tidak meletakkan kepercayaan kepada kepentingan untuk mengambil suntikan vaksin.
Bukan itu sahaja, individu tersebut juga seolah-olah cuba menghasut dirinya dan kemungkinan orang lain untuk berbuat perkara yang serupa selain mengaitkannya dengan perkara tidak masuk akal.
“Individu tidak dikenali itu menghantar mesej peribadi dalam Instagram meminta saya tidak ambil vaksin. Tak sangka individu seperti itu wujud dalam kalangan pengikut di Instagram saya.
“Saya kemudiannya muat naik mesej tersebut dalam ruangan feed di Instagram tetapi beserta nasihat kepada semua pihak supaya jalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengambil suntikan vaksin,”katanya.
Menurut Loca, dia kemudiannya ditegur oleh teman-teman rapat supaya berhati-hati dengan sebarang hantaran seperti itu walaupun pada asalnya dia mungkin berniat untuk bergurau.
“Betul juga kata dia, mana tahu ada orang tersalah faham mengenai hantaran tersebut. Maklumlah adakala orang kita ini dia tidak baca betul-betul dan terus percaya. Tapi niat saya ialah mahu sebarkan kesedaran tentang pentingnya vaksin.
“Kemudian datang pula komen-komen orang lain terutama golongan anti-vaksin yang tiba-tiba kaitkan hal itu dengan bermacam teori pelik-pelik.
“Bagi saya, memang ada kejahatan dalam dunia ini atau tangan-tangan jahat yang kita tak nampak wujud. Tapi bila bab kesihatan dan nyawa, jangan buat main-main ya,”katanya.
Jangan mudaratkan orang lain
Kongsi isteri penyanyi rap, Tuju ini lagi, langkah kecil dengan mengambil suntikan vaksin selain menjaga prosedur operasi standard (SOP) juga adalah antara langkah bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seseorang individu jika benar-benar mahu keadaan pandemik ini segera pulih.
Seringkali mendengar keluhan dan kritikan orang ramai terhadap tekanan yang dialami gara-gara perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia seharusnya menjadi penguat semangat buat semua pihak untuk sama-sama berganding bahu memainkan peranan.
“Jangan memudaratkan orang lain. Dalam agama kita pun pernah diberitahu, jika kita sendiri sengaja tak nak ambil ubat demi untuk mencegah penyakit apatah lagi penyakit berjangkit yang boleh memberi kesan kepada orang sekeliling.
“Lagi pula, pandemik yang berlaku sekarang bukannya demam atau sakit biasa. Ia boleh membawa maut.
“Bayangkan kalau kita menjadi penyebab kepada orang lain untuk jatuh sakit dan kemungkinan meninggal dunia, ia jadi satu dosa pula buat kita,”katanya.
Dalam pada itu, perangkul Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) bersama Kaka Azraff dan Noki ini berharap agar setiap individu menjadi insan yang bertanggungjawab dengan memainkan peranan masing-masing untuk mendaftar dan mengambil suntikan vaksin.
“Kepada mereka yang lain, jika nak hadir dengan apa-apa teori atau pandangan sekali pun, terpulang. Tapi jangan menyusahkan,” katanya.










