Pelajar bina sistem pertanian bandar - Utusan Malaysia

Pelajar bina sistem pertanian bandar

Sebahagian pelajar dan tenaga pengajar melihat reka bentuk modul sistem pertanian bandar yang dibangunkan di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 30 penuntut tahun satu program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membangunkan reka bentuk modul sistem pertanian bandar (moden). Ia untuk menggalakkan aktiviti penanaman sendiri sebagai sumber makanan bagi memastikan sekuriti makanan tidak terjejas.

Idea reka bentuk modul sistem ini adalah hasil kerjasama Jabatan Pertanian Batu Pahat, Pejabat FAMA Batu Pahat dan Suria Bistari Agrotech Enterprise. Ia adalah sebahagian daripada projek semester yang sedang berjalan dan bagi memenuhi keperluan kursus Studio Senibina.

Bagi meningkatkan lagi pengetahuan asas dan kemahiran penuntut terbabit, mereka turut mendapat bimbingan daripada pensyarah kursus Binaan Bangunan dan kursus Kelestarian Dalam Senibina.

Menurut Ketua Projek, Nadiyah Noor Hisham, projek ini mengambil masa selama empat minggu bermula daripada fasa reka bentuk sehinggalah penghasilan modul.

Katanya, sistem pertanian moden direka bentuk oleh penuntut jurusan senibina ini menggunakan kaedah pembinaan kayu sebagai struktur utama.

Antara lima modul sistem yang telah dibangunkan, terdapat satu modul berasaskan sistem akuaponik yang mana penternakan ikan keli sebagai asas kepada sistem pembajaan melalui air yang melalui setiap corong tanaman.

“Selain itu, terdapat juga modul sistem yang mengintegrasikan penternakan ayam yang mana najis yang terhasil akan dikumpulkan, dikeringkan dan digunakan dalam penghasilan baja serta akhirnya untuk kegunaan tanaman agar lebih subur

“Setiap reka bentuk yang dihasilkan menjadi sangat menarik dan memberikan input tambahan kepada sistem sedia ada memandangkan harga untuk sistem sedia ada adalah agak tinggi dan kurang sesuai,” katanya.

Perkara ini diakui oleh wakil Jabatan Pertanian Batu Pahat, Kamaruzzaman Abd. Salam.

Katanya, idea reka bentuk dan inisiatif yang dihasilkan oleh penuntut senibina ini sangat berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai keunikan tersendiri dan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan dan ubah suai perlu dilakukan pada sistem tersebut.

Sementara itu, Pegawai FAMA Daerah Batu Pahat, Azwan Akimat berkata, usaha itu dapat menggalakkan aktiviti pembelajaran dan lebih banyak penyelidikan berpotensi dijalankan khususnya kepada pihak yang berminat dengan sistem pertanian moden.

“Menerusi sistem pertanian moden, pelbagai manfaat diperolehi antaranya memudahkan suri rumah dan penduduk bandar.

“Ia juga membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah dalam situasi pasca Covid-19 dan dapat menjamin bekalan makanan yang mencukupi malah lebih menjimatkan pada masa akan datang,” kata Nadiyah.

Projek itu turut mendapat tajaan Suria Bistari Agrotech Enterprise.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya