Menyesal? Tidak tetapi... - Kilafairy - Utusan Malaysia

Menyesal? Tidak tetapi… – Kilafairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Betul ke mu dah pakai tudung?”

Soalan itu saya layangkan setahun lalu. Sebagai antara rakan media yang dekat dengan Kilafairy, sejujurnya saya sendiri terkejut. Siapa sangka, tanpa ribut atau angin, pelakon ini memuktamadkan keputusan untuk berhijab.

Itu kisah setahun yang lalu. Meniti sejarah hidup wanita ini, dia pernah melalui episod yang cukup pahit. Dikecam dengan pelbagai gelaran, dia menelan semuanya sendiri. Pengalaman itu mematangkan.

Namun, ketika ini namanya tidak lagi dikaitkan dengan perkataan seksi. Satu perubahan yang sangat nyata. Tiada lagi gelaran tidak elok, tiada lagi cemuhan konon dia mencari publisiti murahan.

Peminat memandangnya sebagai seorang ikon muslimah, yang jujur mengenakan hijab bukan kerana terpaksa atau menjual produk. Malah perkongisan gambar atau videonya juga sering mendapat pujian.

Maka, memegang ‘tugas’ itu, tidakkah dia terasa terbeban? Untuk kelihatan muslimah setiap masa tanpa melakukan sebarang kesilapan? Sementelah, mata Jabatan Netizen cukup tajam mencari kelemahan seseorang.

“Perja­lanan hijab saya dipermu­dah. Tidak banyak peru­bahan pun sebelum atau selepas saya berhijab. Kehidupan masih sama. Cuma minat saya untuk mendalami ilmu Islam semakin menebal.

“Jika dulu, kalau ada yang hantar sesuatu berkaitan Islam di Whatsap, saya hanya baca begitu sahaja. Tetapi sekarang, saya akan ambil masa dan fahami. Malah, saya juga kerap masuk kelas dan belajar tentang hukum Islam.

“Cuma kalau perbezaan ketara, tidak ada rasanya. Saya bukan jahil sangat pun ketika tidak bertudung dahulu. Solat tetap diutamakan cuma, niat berhijab itu hadir tepat pada waktunya. Sesuai ketetapan Illahi,” katanya.

Jika diamati, nama pelakon dan penyanyi ini cukup disenangi peminat. Tidak ada kecaman atau komen-komen negatif diterima selepas mengenakan hijab. Di kala selebriti lain menerima kecaman bertubi, dia kekal dalam zonnya sendiri.

Pernah melalui satu fasa yang cukup sakit untuk dijalani, dia bersyukur dengan penerimaan peminat. Malah, tidak disangka-sangka persepsi warganet juga berubah dan terhapus sudah gelaran wanita paling seksi untuk dia kini.

“Saya fikir doa peminat yang selama ini mahu lihat saya bertudung dimakbulkan Tuhan. Jika dulu, ada sahaja komen-komen yang mahu saya bertudung. Jadi itu antara sebab yang menggerakkan hati saya.

“Saya tak pernah marah jika ada yang komen seksi, doakan yang bukan-bukan. Tak pernah cakap jaga kubur sendiri ke apa. Saya aminkan sahaja doa-doa mereka supaya satu hari nanti, Allah beri hidayah itu,” katanya.

Sesalan kehidupan

Menggerakkan soalan ke arah lebih dalam, saya tertanya-tanya adakah timbul rasa menyesal dalam diri Kilafairy apabila melihat sejarah kehidupannya dahulu? Adakah dia terbeban dengan rasa bersalah?

Hanya senyuman sebagai pembuka jawapan, pelakon filem Karak ini menggeleng. Baginya, sesalan itu tiada cuma jika mampu masa diputar kembali, dia mahu memakai hijab lebih awal lagi.

“Menyesal? Tidak ada tetapi kalau boleh, saya nak pakai hijab lebih awal. Saya rasa tenang dan jauh daripada godaan dunia apabila memakai tudung. Jika dulu ada yang cakap, mesti kau akan bukan tudung balik.

“Tapi saya fikir, itu tidak akan terjadi. Pengalaman dahulu saya jadikan sebagai pedoman. Jika saya tak seksi, mungkin saya tidak akan beriya-iya mendalami ilmu agama. Mungkin saya tidak akan bertudung sehingga sekarang,” katanya.

Namun jauh di sudut hatinya, dia bersungguh-sungguh mendoakan agar dirinya kekal dalam landasan yang cukup murni ini. Hatinya istiqomah dan tetap berpaling daripada godaan dunia yang fana ini.

“Dunia ini sekejap sahaja. Saya tak boleh takut untuk bertudung. Takut hilang rezeki, tiada orang panggil berlakon. Itu semua ketetapan Illahi. Saya tidak boleh buat apa-apa selain mencari reda-Nya.

“Saya kerap tanya diri sendiri, ‘sudah cukup ke amalan kau Kila? Sudah tentu terbuka pintu syurga untuk kau ke?’ Jadi saya berhijab untuk Dia. Jika kita buat untuk orang, pasti hati kita tidak akan tenteram,” kongsinya.

Rezeki itu rahsia tuhan

Sedari kecil mengabdikan diri untuk seni, jelas penyanyi Setia ini, bukan populariti yang menjadi sasaran. Dia tidak mahu hidup disanjung setinggi langit kerana tahu, akhirnya bumi menjadi tempat akhir diri direbahkan.

Sebagai seorang yang cukup privasi, bagi Kilafairy, kehidupan sebagai anak seni menuntut pengorbanan. Namun dia sebolehnya mahu mengelakkan menjadi pujaan semua, Cukup sekadar dikenali.

“Saya pernah dengar satu ceramah, ustaz itu cakap kalau kita popular, punya banyak wang, lagi lama kita akan disoal kelak. Jadi saya tersentak, buat apa popular, kaya kalau begitu sekali disoal.

“Tak pernah sekali saya mengimpikan gelaran bintang paling popular. Cukup sekadar relevan dan kekal ada. Mungkin saya sendiri sukakan privasi. Tidak mahu berlebih-lebihan, cukup apa adanya,” kata penyanyi Warna Cinta ini.

Ditanya soal batasan dalam lakonan, Kilafairy tidak mahu terburu-buru. Namun, dia mengakui kurang selesa untuk adegan mesra terlampau dan babak berpegangan tangan dengan pelakon bukan muhrim.

“Alhamdulilah, tawaran berlakon lebih banyak sekarang. Terkejut juga, cuma saya tak mahu ‘tapau’ semua. Saya akan tanya macam mana jalan cerita, ada adegan kurang sesuai ke sebelum terima.

“Tetapi produksi sekarang lebih terbuka dan boleh menerima jika kita ada beberapa syarat. Cuma saya tak mahu terburu-buru. Tak boleh itu ini. Mana yang boleh dielakkan, kita bincang dahulu,” kata anak kepada penyanyi legenda, Rohana Jalil ini.

Bakal muncul dengan single baharu, Kilafairy bagaimana sedang memilih material yang cocok untuk dirnya. Namun, dia tidak akan mengubah siapa dirinya dan kekal dalam genre pop yang sebati dengannya.

“Perancangan itu ada cuma nantilah kita cerita lain. Memang dulu lagu-lagu saya agak ‘seksi’, namun saya akan tetap kekal dalam genre pop yang sama. Tidaklah terus nak nyanyi nasyid kan?”selorohnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN