Inovasi songkok lipat jadi pilihan Aidilfitri - Utusan Malaysia

Inovasi songkok lipat jadi pilihan Aidilfitri

NUR Dalila dan Zahedy menunjukkan songkok lipat yang makin mendapat sambutan pelanggan pada Aidilfitri kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Itu pepatah buat sepasang suami isteri yang tidak jemu memperkenalkan inovasi songkok lipat dihasilkan secara turun temurun sejak berabad lalu.

Usaha gigih pasangan itu nyata membuahkan hasil apabila songkok yang boleh dilipat dan disimpan rapi kini menjadi identiti bagi Butik Masood Hussin di Muar, Johor sekali gus mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri.

Pengusaha Butik Masood Hussin, Nur Dalila Abdul Ghani, 41, berkata, penghasilan songkok yang boleh dilipat telah mula diperkenalkan oleh arwah datuknya setelah menceburkan diri dalam perniagaan itu pada 1954.

Katanya, bukan suatu yang sinonim bagi perhiasan warisan itu untuk dicipta secara lipat. Ini kerana ramai masyarakat menyangka ia akan mudah rosak berikutan tekstur pembuatannya tidak sesuai.

“Bila kita cuba perkenalkan pada orang ramai mengenai inovasi songkok lipat, ada yang menganggap kami bercerita tentang ketayap. Walhal, ia sememangnya songkok asli dan apabila ditunjukkan, ramai pula yang khuatir kerana menganggap songkok akan mudah rosak berikutan tak sesuai dilipat.

“Justeru, songkok ini kurang mendapat permintaan kerana sukar diterima. Bagaimanapun hari demi hari, setelah saya mulai mengambil perniagaan ini, saya berazam untuk memperkenalkan cara ini kerana dirasakan sangat mudah dalam budaya masyarakat Melayu yang sering menjadikan songkok untuk kegunaan seharian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NUR Dalila menjahit tapak belah atas yang menggunakan kadbod sebelum dilitupi dengan kain baldu berkualiti. – UTUSAN/ NUR ALINA HASSAN

PKP jadi titik mula pengolahan songkok lipat

Bak kata pepatah, ada pelangi selepas hujan. Meskipun jualan songkok pasangan suami isteri ini terjejas pada Aidilfitri tahun lepas lantaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia memberi 1,000 hikmah kepada Nur Dalila dan Zahedy Zakariah, 42, yang mencari ruang melakukan pengolahan dalam pembuatan songkok lipat.

“Sejak PKP lepas, perniagaan agak menurun kerana larangan untuk butik beroperasi selain sambutan Aidilfitri yang ketat. Maka, kami ambil peluang tingkatkan kualiti khususnya dalam penghasilan songkok lipat.

“Saya olah kaedah lebih sesuai dan mesra agar ia senang dilipat. Bahan yang digunakan adalah sama cuma penggunaan seperti kadbod lebih berkualiti agar mudah dilaras untuk lipatan,” katanya.

Ibu bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, setelah mendapat kaedah yang lebih baik, mereka berusaha mempromosinya dalam media sosial bagi membuka minda ramai orang mengenai songkok lipat yang sesuai digayakan dalam apa jua keadaan.

“Kami buat video untuk buktikan songkok lipat tak akan rosak atau terjejas bentuknya. Bermula daripada promosi sejak Mac tahun lalu, kini Alhamdulillah, songkok lipat menjadi sebahagian identiti butik Masood Hussin. Kalau pelanggan yang baru pertama kali jejak kaki ke sini pasti bertanya “inikah kedai yang jual songkok lipat?”

“Selain aktif menjual di kedai, kami juga buka perniagaan ini secara atas talian dan ternyata menerima sambutan hangat dari pelbagai negeri.

“Kebanyakan pelanggan adalah golongan yang berani mencuba perkara baharu. Untuk Aidilfitri ini sahaja, hampir 300 songkok lipat terjual berbanding songkok biasa iaitu 100 buah.

“Bagi keseluruhan jualan sejak diperkenalkan pada Mac 2020, lebih 1,000 songkok lipat dibeli,” katanya.

ZAHEDY melayani pelanggan yang melihat inovasi songkok lipat dihasilkan di Butik Masood Hussin di Jalan Majedi, Muar. Johor.

Sementara itu, Zahedy berkata, selain tempahan songkok, butik Masood Hussin juga membekalkan songkok jenis biasa di beberapa kedai terkenal yang merupakan pelanggan tetap iaitu Jakel dan Butik Tetamu.

Malah, katanya kali ini gedung beli belah Malakat Mall turut mengambil tempahan sebanyak 1,000 songkok dari butik mereka sempena Aidilfitri.

“Aidilfitri kali ini nyata membuka peluang rezeki kami apabila selain mendapat banyak tempahan pelanggan, kesudian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membeli dua buah songkok untuk dipakai menjadi penghargaan besar kepada kami.

“Malah, antara kenangan manis lain yang kekal terpahat adalah kami diberi peluang menghasilkan songkok untuk dipakai Sultan Ibrahim Iskandar sempena istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Johor pada tahun 2015.

“Baginda memakai songkok diraja yang dihasilkan oleh Butik Masood Hussein sebelum aksesori itu digantikan dengan pemakaian mahkota ketika acara berlangsung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN