In Treatment kembali - Utusan Malaysia

In Treatment kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSIARAN sejak tahun 2008 di saluran HBO, drama bersiri berjudul <em>In Treatment</em> kembali menemui penonton setianya di musim keempat pada Isnin lalu. Drama yang banyak memenangi Anugerah Emmy kali ini akan menampilkan aktres terkenal, Uzo Aduba yang juga perangkul anugerah berprestij tersebut menerusi pembabitannya dalam naskah <em>Mrs. America</em> dan <em>Orange is the New Black.</em>

Naskah terbitan Rodrigo Garcia ini bakal menampilkan Uzo sebagai seorang pakar terapi bergelar Dr. Brooke Taylor yang berdepan dengan situasi semasa termasuk merawat pesakit yang dibelenggu dengan pelbagai gejala psikologi akibat pandemik yang menular kini.

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam drama ini, pelakon berusia 40 tahun ini teruja dengan peluang yang diberikan memandangkan kali ini dia mampu memberikan sisi berbeza sebagai seorang pakar terapi.

“Banyak karakter yang pernah saya mainkan sebelum ini termasuk sebagai pesakit yang mempunyai masalah mental. Tetapi, untuk melihat saya ‘duduk’ di kerusi sebagai seorang pakar terapi, ini adalah kali pertama,”katanya.

Menurut Uzo, untuk mendalami watak Dr. Brooke, dia mengambil inisiatif sendiri dengan menemui pakar terapi sebenar selain mengaku bukan mudah sebenarnya untuk menjalankan tugas itu.

“Bayangkan anda perlu berada di dalam satu sesi selama sejam atau 45 minit. Sebelum anda, ada seorang pesakit yang bertemu dengan doktor tersebut dan begitu juga selepas anda. Bagaimana agaknya kedudukan doktor yang merawat itu dalam situasi ini?

“Maksud saya bagaimana dia boleh menahan dan perlu peduli dengan masalah mental dan trauma setiap pesakit yang berbeza dalam satu-satu masa? Ia bukan satu tugas yang mudah dan membuatkan saya rasa kagum dengan tugas mereka,”katanya.

Tidak cuma itu, kata Uzo, dia juga bertuah kerana mempunyai teman baik yang merupakan seorang pakar psikologi. Justeru, memudah­kannya untuk berbual dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai tugas tersebut.

Menurut Uzo, tentu sahaja tidak semua perkara dikongsikan oleh temannya itu namun apa yang penting, sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mendalami karakter yang dipertanggungjawabkan.

Selain itu, menyedari pengisian naskah ini sarat dengan isu sensitif seperti perkauman, hak keistimewaan orang kulit putih, seksualiti dan seksis, Uzo mengharapkan agar penonton lebih melihat kepada mesej utama yang mahu disampaikan.

“Kesihatan mental bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap sebagai stigma lagi dalam setiap masyarakat. Keadaan pandemik yang melanda dunia sekarang juga wajar menjadikan setiap individu lebih cakna dengan kesihatan orang sekeliling secara fizikal dan mental.

“Saya percaya, setiap daripada kita pasti akan ada satu masalah yang dipendam. Tetapi jangan sesekali anggap ia adalah satu kesalahan atau kelemahan jika kita bercakap atau meluahkan perasaan dan masalah itu.

“Bukan satu kesalahan pun jika anda mengaku yang anda sedang tidak okey,” katanya.
<strong>
Dua tahun jalani terapi – Anthony</strong>

Sama seperti Uzo, pelakon, Anthony Ramos juga teruja dengan peluang yang diberikan oleh pihak HBO untuk membintangi drama hebat ini.

Menurutnya, walaupun ia banyak memaparkan babak antara dua pihak iaitu perawat dan pesakit, tetapi pengisiannya sangat berat.

“Saya sendiri pernah jalani rawatan terapi selama dua tahun termasuk secara virtual dan ia memainkan peranan yang besar dalam hidup saya. Terus-terang, saya sukakan cabaran menerusi watak Eladio dan drama ini secara keseluruhan.

“In Treatment membolehkan saya bereksperimen dengan sisi yang berbeza,”katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya, kata Anthony, stigma masih begitu menebal dalam kalangan masyarakat Latin spesifiknya<em>, Hispanik</em> jika menyebut mengenai rawatan terapi atau psikologi.

“Sangat melucukan apabila saya memberitahu pada ahli keluarga yang saya sedang mendapatkan rawatan psikologi. Mereka bertanya ‘apa masalahnya?’. Tentulah banyak yang tidak kena bukan?

“Itulah stigma. Mereka anggap kita memang ada masalah jika mendapatkan rawatan itu. Tetapi saya bersyukur stigma seperti itu dapat dipecahkan menerusi drama ini agar lebih banyak pendedahan dapat disajikan kepada masyarakat,”katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana persediaannya untuk membawakan watak Eladio, Anthony mengaku banyak melakukan kajian sendiri mengenai penyakit insomnia.

“Kalau saya sendiri sudah mengalaminya, maka ia bukan satu perkara yang sukar untuk dipotretkan. Tetapi saya buat juga kajian sendiri seperti apakah yang dilakukan oleh pesakit insomnia,”katanya.

Dalam pada itu, Anthony menerusi pengalaman peribadi dan di dalam drama ini meggesa setiap individu yang berdepan dengan masalah mental untuk tidak memandang remeh akan perkara tersebut.

Membabitkan soal kesihatan, kata Anthony, seharusnya pesakit tidak perlu merasa malu untuk bertemu dengan pakar terapi yang bertauliah.

“Ia mungkin sukar. Kali pertama mungkin kita akan bertemu dengan doktor yang tak bersesuaian. Contohnya, anda pergi ke sebuah gimnasium dan anda mungkin tidak suka dengan tempat tersebut. Tetapi akhirnya setelah dicari, anda bertemu dengan lokasi yang sesuai.

“Sama seperti perkara ini. Adakala memang perlu mencari pakar terapi yang berbeza supaya anda boleh tahu mana yang lebih sesuai dengan anda. Keduanya, pastikan anda benar-benar jujur untuk bercerita masalah yang dihadapi dari akar umbi.”katanya.

Selain Uzo dan Anthony, drama ini turut dibintangi oleh Liza Colon Zayas, John Benjamin Hickey, Quintessa Swindell dan Joel Kinnaman.

<em>In Treatment </em>sudah mula bersiaran di saluran HBO 411 HD pada jam 10 malam termasuk di HBO GO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN