Bakat, populariti Uqasha Senrose - Utusan Malaysia

Bakat, populariti Uqasha Senrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON ini suatu ketika dahulu pernah juga dikecam kayu. Berlakon hanya kerana cantik, bukan rasa cinta terhadap dunia seni. Namanya dilambung-lambung dek ombak kontroversi yang cukup panas.

Namun dia mengubah persepsi, membentuk satu pemikiran berbeza. Bukan kerana cerita panas tetapi lakonan yang hari demi hari semakin meyakinkan. Dia membuktikan keberadaannya dalam dunia seni bukan untuk bermain-main.

Mengenali Uqasha Senrose, dia bukan seorang yang lemah. Walaupun santun laku dan baik budi, dia tidak sesekali rebah dek kritikan yang tidak membina. Biarpun hati kecilnya kecewa, namun dia tahu bakat adalah bentengnya.

Maka dia belajar dan memperbaiki diri. Mana yang elok dia simpan kemas.

Tidak pernah sesekali lelah menimba ilmu. Maka tidak hairan, dia kini menjadi rebutan penerbit. Dek populariti dan bakat lakonan yang dimiliki.

“Saya bukan jenis yang selesa dalam satu zon sahaja. Saya juga tahu, kita manusia. Bukan boleh pandai dalam satu hari. Jadi hari demi hari, saya belajar daripada rakan pelakon lain. Tidak kira senior atau junior.

“Semua itu mendewasakan saya. Masing-masing ada teknik dan cara lakonan sendiri. Memang ada yang dilahirkan terus berbakat tetapi kita kena pandai curi peluang. Saya sendiri masih belajar tau.

“Kalau ada yang cakap bagus lakonan saya, terima kasih. Bersyukur saya orang boleh terima dan puji lakonan saya. Tetapi itu belum bermakna saya bagus kan? Banyak lagi ilmu yang saya mahu kejar,” katanya.

Belajar hormat

Isu yang cukup panas untuk dibincang. Masing-masing ada pendapat apabila ditanya berhubung pelakon baharu yang lahir daripada media sosial. Mahu atau tidak, itu adalah aturan dunia sekarang.

Yang popular diangkat tinggi, yang berbakat belum tentu. Jadi mengajukan soalan sama kepada Uqasha, dia mengambil sedikit masa untuk menjawab. Berhati-hati supaya tidak melukakan hati sesiapa, ini jawapannya.

“Saya tidak ada masalah dengan instafamous atau influencer. Nak berlakon pun silakan, tak ada masalah. Cuma satu pesanan saya, jaga perangai dan sikap. Kalau tiada attitude yang baik, memang tak tahan lama.

“Ya, dulu kalau nak uji bakat kena bersungguh-sungguh hadir. Sekarang guna media sosial sahaja. Jadi tolong hargai peluang itu. Belajar untuk hormat tidak kira sesiapa pun di set penggambaran,” katanya.

Ditanya adakah dia pernah berdepan situasi pelakon baharu yang kurang ajar, Uqasha tergelak sendiri. Tidak mahu membuka aib atau cerita sesiapa, dia mengakui sikap tidak beradap cukup memanaskan hatinya.

“Saya kurang sikit dengan jenis manusia yang tidak beradab. Rasa hormat dan adap adalah sikap yang paling penting. Macam mana kita membawa diri. Tak perlu nak tunjuk itu, ini. Cukup tunjuk bakat.

“Sekarang ramai pelakon muda, jadi adab kena jaga juga. Saya seorang yang berterus terang. Hormat pelakon senior atau orang yang lebih lama. Berborak, kenal dan belajar ilmu mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN