TAHUN 2021 membawa kisah berbeza buat penyanyi dan pelakon popular ini. Bukan sahaja bertukar status kepada seorang isteri, ketika ini juga Ayda Jebat sedang melalui tempoh bahagia sebagai seorang ibu mengandung. Bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki, namun permulaan kisah bahagianya juga turut diduga dengan kejadian yang menakutkan apabila hampir mengalami keguguran.
Melalui tempoh kehamilan dalam keadaan pandemik sedikit sebanyak membawa pengalaman berbeza buat Ayda sendiri. Berkongsi apa yang dilaluinya kini, kata isteri kepada pengacara Nabil Mahir ini, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah sahaja.
“Buat masa ini memang elak untuk berada di luar, kalau ada kerja sekali pun cuba sebaik mungkin untuk melakukan penggambaran di rumah sahaja dengan bantuan orang yang kita kenal. Dengan kes yang semakin meningkat memang menakutkan.
“Selain itu juga saya kini tinggal bersama mentua, jadi dalam keadaan mereka yang sudah berusia menjadi tanggungjawab saya dan suami untuk memastikan agar lebih berhati-hati kini,”katanya.
Berkongsi jawapan sama ada bersedia untuk menerima vaksin ketika berbadan dua kini, kata Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 29, buat masa ini dia tidak meletakkan itu sebagai satu pilihan lagi.
“Vaksin buat masa sekarang saya belum bersedia lagi. Cuma ambil langkah berjaga-jaga elak berada di luar rumah dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Bagi saya ini sahaja usaha kita untuk melawan penularan Covid-19.
“Sebab itu jangan ambil mudah usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai peraturan. Saya memang harap semua orang mengikutinya,”katanya lagi.
Raya tetap sama
Tahun kedua tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri di Melaka, kali ini Ayda cukup bersyukur untuk dikelilingi keluarga mentua dan suami. Jelasnya walaupun hatinya meronta untuk bertemu keluarga di kampung namun itu tidak bermakna dia akan melanggar peraturan yang sudah ditetapkan.
“Memang mahu balik Melaka, siapa yang tidak mahu pulang menyambut Hari Raya Bersama keluarga. Tetapi dalam tempoh ini saya hanya fikirkan keselamatan semua orang dan yakin dengan peraturan yang sudah dikeluarkan untuk kita melawan pandemik ini bersama.
“Jika tahun lepas berhari raya sebagai tunang kali ini bezanya sudah menjadi isteri. Namun saya tetap menyambut bersama keluarga Nabil. Raya itu tetap meriah sebab saya masih bersama keluarga,”katanya lagi.
Berhadapan dengan perubahan badan kini, tambah Ayda ketika ini juga dia lebih mudah penat. Bagi mengelakkan berhadapan dengan keadaan sukar, menjadi keperluan untuk dirinya mengatur setiap pekerjaan dengan lebih baik.
“Dalam tempoh sekarang memang mudah penat, jadi kalau ada penggambaran saya memang akan pastikan mengikut jadual. Kalau hari ini ada kerja esoknya saya akan berehat. Buat masa sekarang jenama yang diwakili juga memahami,”kongsinya lagi.










