Percaturan berani Khai Bahar - Utusan Malaysia

Percaturan berani Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kemunculan penyanyi popular Khai Bahar di landasan seni suara, namanya terus mencuri perhatian peminat muzik tempatan. Semenangnya lagu bergenre balada bukan lagi asing bagi penyanyi itu.

Malah, hampir semua lagu yang dilancarkan melekat di hati peminat. Sekali gus meletakkan Khai antara penyanyi muda yang berjaya menyanyikan lagu genre balada dengan baik ditambah penghayatan yang cukup mandalam.

Terbaharu, menerusi syarikat rakaman 17 Eleven Music, Khai muncul dengan single yang dicipta khas untuk drama Kisah Cinta Rumi berjudul Hilang Gelita yang mula ditayangkan sejak 24 April lalu.

Drama di slot Lestary TV3 itu turut menampilkan Khai Bahar sebagai pelakon utama di samping barisan pelakon lain seperti Riena Diana, Sharifah Rose, Hariz Hamdan, Dynas Mokhtar, Cahaya Nilam, Noniswara, Louisa Alissa Chong dan Gen Darwish.

“Alhamdulillah, ini satu lagi buah tangan yang cukup istimewa buat peminat. Lagu ini memang dihasilkan untuk drama itu. Saya anggap ia satu penghormatan apabila pihak syarikat penerbitan mahu saya cipta dan nyanyikan sendiri lagu tema drama itu.

“Apatah lagi saya juga berlakon dalam drama ini, jadi agak mudah juga untuk mencari idea bagi menghasilkan lagu ini.

“Proses rakaman juga berjalan lancar, walaupun dalam masa sama saya perlu terlibat dalam penggambaran,” katanya.

Pada masa sama Khai 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia tidak mahu peminat keliru dengan single Perpisahan yang dilancarkan 12 April lalu.

“Kalau ikutkan tempoh pelancaran bagi kedua-dua lagu ini tidak jauh. Mungkin ada peminat yang akan tertanya-tanya. Tapi, lagu Perpisahan adalah single yang dimuatkan dalam album Damba Ketenangan yang turut mengandungi lima zikir.

“Memandangkan bulan Ramadan, jadi saya berasa lagu Perpisahan dan album ini kena pada masanya. Sementara untuk lagu Hilang Gelita pula ia memang dihasilkan untuk lagu tema drama.

“Dalam erti kata lain, peminat ada pilihan untuk mendengar. Kalau nak mendengar keduanya juga lagi bagus. Ini kerana kedua lagu ini juga memiliki melodi dan lirik yang bagus. Jadi, bagi saya tidak akan timbul soal keliru.

“Lagi pula, pada zaman sekarang peminat juga lebih mudah untuk mendengar lagu. Banyak platform digital muzik sudah tersedia. Malah kalau di YouTube mereka boleh menonton video muzik,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, Khai juga bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Rozi Razak yang menggunakan nama pena Rozisangdewi iaitu pengurus kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Drama itu mengisahkan percintaan sepasang kekasih yang penuh dugaan. Jadi, melodi lagu perlu dihasilkan mengikut latar cerita tersebut. Malah, untuk lirik saya berasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kak Rozi. Diakui, lirik yang dihasilkan Kak Rozi punya nilai tersendiri. Terima kasih kerana sudi menerima tawaran kami,” katanya.

Sementelah itu, Rozisangdewi berkata, kesungguhan Khai bersama pengurusnya datang berjumpa adalah penghormatan besar buat dirinya.

“Pihak pengurusan Khai iaitu Jai bertanya sendiri jika saya sudi menulis sebuah lirik lagu untuk Khai. Kesungguhan Khai dan Jai datang berjumpa sendiri adalah satu penghormatan besar buat saya. Ini kerana seorang anak muda berbakat besar yang mencipta sendiri lagu itu, sudi memilih saya menuliskan liriknya.

“Lirik Hilang Gelita saya tulis berasaskan sinopsis cerita atau drama yang diberikan. Apabila saya memberi draft lirik yang pertama, pihak Khai terus bersetuju dan menerima baik.

“Selain itu, saya mengenal rapat Khai dan Jai malah saling bertukar pendapat dan sebagainya. Dari situ saya faham karakter dan kemahuan Khai dan membuatkan kerjasama menjadi mudah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN