TEKAD meneruskan perjuangan, kumpulan vokal harmoni Voices of Euphonious (VE) kini kembali memeriahkan industri seni. Mengambil masa sehingga 13 tahun, ternyata ketiadaan tiga anggota asalnya Damien, Shah dan Lah tidak mematahkan semangat mereka untuk menghidupkan kembali kegemilangan VE.
Ditubuhkan sejak 1997, VE kini yang diteraju Zafri Nazaruddin atau Zaf dan Charma Adizalilullah turut memperkenalkan dua lagi anggota baharu, Adeep Nahar dan Luqman Hakim.
Tidak melihat saingan sebagai sebab untuk mereka melupakan impian ini, jelas Zaf besar harapan mereka agar kehadiran VE kali ini dapat diterima baik peminat.
“Kami sudah lama rindu untuk menyanyi lagi. Niat untuk masuk semula ke dalam industri memang sudah lama dirancang. Namun siapa sangka selepas sedekad baru impian ini dapat dilaksanakan.
“Antara sebab mengapa kami mengambil masa yang agak lama untuk muncul adalah kerana kesibukan anggotai VE sendiri. Tentunya selepas sekian lama tidak aktif kami juga terikat dengan pelbagai komitmen menyebabkan hasrat itu beberapa kali tertangguh.
“Selain itu juga penularan pandemik, turut merencatkan perancangan awal yang dibuat sebelum ini,”katanya.
Tahu akan ada pihak yang membuat perbandingan mengenai kehadiran dua anggota baharu VE, janji Zaf walaupun berbeza, ada keharmonian yang wujud antara mereka.
“Dibarisi dua anggota baharu, kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami. Bagaimanapun dalam mencari keserasian dalam paduan vokal kami akui terpaksa mengambil masa yang agak lama.
“Dalam tempoh itu juga kami gunakan untuk mencari kekuatan masing-masing agar apa yang kami sampaikan dapat diterima dengan baik. Walaupun jauh berbeza daripada VE yang dulu, namun kami berharap, peminat setia VE dapat menerima barisan baru kami,” harapnya.
Tunggu
Sempena dengan kemunculan semula mereka, VE kini tampil dengan sebuah single terbaru berjudul Tunggu. Diadun dengan citarasa muzik semasa kumpulan ini kekal mewujudkan vokal berharmoni yang menjadi ‘trademark’ sejak dahulu.
“Alhamdulillan proses menyiapkan lagu sangat laju dan lancar. Lagu Tunggu mengisahkan mengenai cerita di antara anak dan ibu. Kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi. Berkisahkan tentang kasih sayang, tentunya lagu ini juga dapat dihayati melalui melodi dan liriknya yang padat dengan pesanan.
“Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan. Bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video. Bagi yang ingin menonton hasil keseluruhan muzik video pula boleh melawat laman YouTube Universal Music Malaysia,” katanya.
Mengimbas memori, kumpulan ini pernah memenangi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13.
Kali terakhir muncul tahun 2006, kali ini tiada sebab untuk mereka mengambil masa yang lama lagi. Sudah pun bersedia dengan barisan lagu baharu ketika ini juga VE sendiri sudah menyiapkan single kedua mereka.
“Tunggu sebagai judul single terbaru VE sebagai simbolik penantian kumpulan itu yang mengambil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula. Kali terakhir menerbitkan lagu pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh, besar harapan kami untuk melihat Tunggu diterima ramai sekali gus dapat dihayati pendengar.
“Dalam untuk tidak membuang masa juga VE kini telah memulakan rakaman untuk single kedua. Buat masa ini juga kami telah mempunyai beberapa buah lagu serta perancangan untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain,”jelasnya.











