TLDM ke arah pemerkasaan armada negara - Utusan Malaysia

TLDM ke arah pemerkasaan armada negara

Tambahan dua lagi kapal selam dijangka bakal diperolehi TLDM dalam tempoh 10 ke 15 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA memperkatakan tentang kuasa armada negara, lambang sauh bertali dengan cogan kata ‘Sedia Berkorban’ yang menjadi entiti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pasti bermain di fikiran.

Bermula dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura, TLDM hari ini terus berkembang dengan peningkatan jumlah anggota dalam pelbagai kepakaran dan pertambahan aset penting.

Kini tanggungjawab dan peranan TLDM bertambah seiring cabaran menangani ancaman dalam pelbagai dimensi.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang TLDM telah merangka pelan pembangunan peningkatan keupayaan pertahanan perkhidmatan itu.

MOHD. REZA MOHD. SANY

Katanya, antara aset utama yang akan diberi fokus termasuk 14 kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS), tiga kapal Multi Role Support Ship (MRSS), 11 kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan dua kapal selam.

“Selain itu, TLDM juga merancang memperolehi beberapa buah aset pelengkap atau force multiplier seperti Bot Tempur Laju (FCB), Unmanned Aerial System (UAS) dan juga helikopter anti kapal selam.

“Semua perancangan ini dibuat dengan teliti berpandukan Program Transformasi TLDM 15 to 5, Pelan Pembangunan Keupayaan ATM (4D MAF) dan juga Kertas Putih Pertahanan.

“Perancangan perolehan bagi semua aset ini akan disusun mengikut keutamaan bergantung kepada situasi dan cabaran semasa agar kesiagaan TLDM dapat ditingkatkan ke tahap tertinggi dalam mencapai visi iaitu menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-87.

Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM tahun ini bertemakan ‘TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara’ akan memberi fokus terhadap kesiagaan armada untuk memelihara kedaulatan perairan negara.

Mengulas mengenai program 15 to 5 yang diperkenalkan sebelum ini pula, Mohd. Reza berkata, tiada sebarang pindaan baharu dibuat ke atas program tersebut.

“Program ini masih diteruskan sepertimana yang dirancang dan akan terus kekal sebagai panduan jangka masa panjang bagi TLDM dalam merancang pelan pembangunan. Ia merupakan satu bentuk living document yang perlu disesuaikan dengan situasi dan cabaran semasa.

“Perancangan keupayaan TLDM juga disesuaikan dengan garis panduan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan juga Pelan Pembangunan Keupayaan ATM (4D MAF) yang telah dikeluarkan di peringkat Kementerian Pertahanan dan juga ATM,” jelasnya.

Selain menjaga kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), TLDM turut bersama-sama agensi lain menjaga sempadan negara menerusi Op Benteng bagi menghalang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dikhuatiri berisiko menyebarkan wabak Covid-19.

Antara langkah-langkah yang dilaksanakan TLDM untuk meningkatkan penguasaan sempadan negara dalam Op Benteng ini termasuklah menambah bilangan kapal di perairan negara, melaksanakan program perkongsian maklumat dengan agensi lain dan memastikan tahap kesiagaan kapal yang dioperasikan pada tahap tertinggi.

UNMANNED Aerial System antara aset pelengkap dalam perancangan perolehan TLDM bagi tempoh 10 hingga 15 tahun.

Dalam pada itu Mohd. Reza berkata, TLDM kini merancang membuat perolehan sekurang-kurangnya dua buah Multi Role Support Ship (MRSS) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Jelasnya, perolehan MRSS yang mempunyai keupayaan Sealift ini dirancang bermula pada tahun 2024 untuk fasa yang pertama.

“Tidak dinafikan, kapal jenis MRSS ini sememangnya amat penting bukan sahaja kepada TLDM malahan di peringkat ATM dan juga negara.

“Ia bertujuan memastikan keperluan operasi logistik serta sokongan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam atau lebih dikenali sebagai Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) di dalam dan luar negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“TLDM amat berharap pihak kerajaan terus komited dalam menyokong usaha dan rancangan TLDM untuk memperoleh aset ini,” ujarnya.

PASUKAN Khas Laut (Paskal) merupakan pasukan elit TLDM yang bertanggungjawab dalam operasi-operasi khas berisiko tinggi.

Bercerita tentang aspek pendidikan, Mohd. Reza berkata, TLDM telah melaksanakan inisiatif menaik taraf pendidikan bagi pengambilan anggota lain-lain pangkat (LLP) khususnya dari Cawangan Kejuruteraan bermula pada tahun 2018.

“Pengambilan perajurit muda TLDM bagi Cawangan Kejuruteraan akan dipelawa kepada lepasan diploma kejuruteraan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang mempunyai pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC).

“Inisiatif ini secara tidak langsung akan dapat menyediakan TLDM dengan warga lebih berkemahiran dan berkelayakan serta mampu mengoperasikan aset-aset TLDM yang canggih dan berteknologi tinggi pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya