Saya tak scam orang - Wak Doyok - Utusan Malaysia

Saya tak scam orang – Wak Doyok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN mewah yang ditonjolkan dalam laman sosial menimbulkan pertanyaan warganet. Daripada seorang pekerja bawahan biasa dia kini mempunyai empayar perniagaan yang cukup membanggakan. Jadi tidak hairan ada berpendapat selebriti popular ini menggunakan laluan berbeza untuk berada pada tahap kehidupannya kini.

Tahu apa yang bermain dalam fikiran segelintir pengguna laman sosial, bagi Wak Doyok, itu sedikitpun tidak memberi kesan kepadanya. Menolak dakwaan jahat menjalankan perniagaan secara haram, bagi jejaka berusia 42 tahun ini dia sentiasa ingin mencabar diri.

Bila ada mendakwa Wak Doyok terlibat dengan perniagaan yang tidak sah di sisi undang-undang, penjelasan Wak Doyok sendiri?
Saya tidak pernah buat kerja scam orang. Selain menjadi selebriti saya juga menjalankan beberapa perniagaan secara perkongsian. Jadi bukanlah goyang kaki sahaja, ada beberapa produk yang berada di bawah saya kini. Namun apa yang dilihat ini bukan berlaku satu malam, saya sudah bergelumang dalam bidang perniagaan sejak 15 tahun lalu. Jatuh bangun dalam perniagaan bukan kisah dongeng.

Namun fokus saya bukan lah mencari keuntungan semata-mata. Sebab dalam kehidupan kita perlu berkongsi, apa yang dimiliki ini bukan hak saya seorang sahaja sebab ada orang juga berhak atas apa yang diperoleh sekarang.

Buktinya?
Buktinya saya juga diminta pihak kerajaan sekarang berkongsi pengalaman dalam bidang perniagaan. Jadi saya minta mereka yang sangsi dengan apa yang saya lakukan untuk hadir ke ceramah saya.

Saya tahu ada antara mereka ini memang tidak suka membaca selain membuat tuduhan melulu sahaja. Kalau ada yang rajin, banyak bahan bacaan mengenai perjalanan perniagaan saya dalam laman sosial.

Memaparkan kehidupan mewah dalam laman sosial, strategi apakah itu?

Saya tidaklah sekaya yang difikirkan, tidak dinafikan tiket sebagai selebriti itu memudahkan urusan promosi produk perniagaan. Jadi perlu ada cara untuk menarik perhatian. Kalau kata saya sengaja memaparkan kehidupan mewah juga tidak benar, sebab tidak terlintas dalam fikiran saya untuk bersikap riak.

Mungkin ada membuat konklusi melalui cara hidup saya, pakaian saya dan sebagainya. Kalau hendak tahu ada pakaian saya itu di beli di kedai bundle sahaja. Cumanya kena ada ilmu dalam penampilan, bukan semua pakaian berjenama sahaja mampu buat kita nampak mahal.



Bagaimana berhadapan dengan kecaman?

Kita memerlukan mereka yang mengeluarkan kata-kata kecaman, sebabnya saya melihat ini sebagai alat pemasaran yang baik. Selagi mereka memberi perhatian kepada saya maknanya nama saya akan terus disebut. Cumanya jangan terlalu terbawa dengan kecaman. Dalam masa sama saya akan terus buktikan kemampuan saya.

Baru-baru ini gambar Wak Doyok menjadi perhatian pengguna laman sosial di Amerika Syarikat. Namun bukan berbentuk pujian, kecewakah?

Gambar yang dimuat naik pengguna laman sosial di Amerika Syarikat itu memang bertujuan memerli saya. Itu pertama kali saya menjadi bahan perli masyarakat antarabangsa. Gambar tersebut saya dibandingkan sebagai watak Tony Stark, tetapi versi berbeza.

Saya tidak kecewa pun sebab ada perkara positif yang perlu hargai. Selain lebih dikenali, turut mengejutkan pengikut saya bertambah sebanyak 200,000 orang dalam laman sosial.

Soalan peribadi sikit, hari itu katanya sudah terpaut dengan seorang cikgu, apa cerita?
Oh! Yang itu tidak jadi buat masa ini, sebab dia masih muda dan saya sudah sedikit berusia mungkin dia takut. Kalau ada jodoh kami teruskan.

Cuma buat masa ini saya tidak mahu menunggu sahaja, kalau ada yang sesuai saya akan teruskan niat mendirikan rumah tangga. Cumanya memang saya beri syarat, perkara pertama perlu sanggup tinggal dengan ibu saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×