Kompleks tahfiz, ambil inspirasi dari Turki - Utusan Malaysia

Kompleks tahfiz, ambil inspirasi dari Turki

Muhamad Khanafi Husin (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan al-Quran dan buku Bacalah kepada para pelajar tahfiz, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALANYA bermula daripada percambahan idea sekumpulan guru Al-Quran dari Turki yang pernah didatangkan khas untuk belajar bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mereka bukan sahaja mengajar teknik hafazan kitab suci itu di beberapa pusat tahfiz sekitar Lembah Klang, malah memberi ilham model kejayaan gerakan hafiz di negara Islam tersebut.

“Saya berasa agak rendah diri melihat kehebatan Turki dan dari situ, muncul idea untuk membuka rangkaian institusi tahfiz moden bersepadu di Malaysia,” kata Saiful Islam Mohamad Nasir ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembinaan Kompleks Islam Pondok Madrasah Moden (Imam) bersama pelbagai rakan strategiknya di Embun Resort, Putrajaya baru-baru ini.

Ia disempurnakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin yang juga ialah Pengerusi DPIM Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Selaku Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sayang Al-Quran, Saiful Islam Mohd. Nasir amat ‘mengagumi’ inspirasi gerakan hafiz Turki dalam senyap membina jaringan lebih 6,000 institusi tahfiz seluruh dunia.

Impian lepasan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga pengasas laman MyQuran itu akhirnya mendapat perhatian pelbagai pihak khasnya badan korporat.

“Ramai tertarik dengan kisah kejayaan saya sendiri yang mampu membuka 10 cawangan pusat tahfiz hanya dalam masa lima tahun dengan kos pengajian secara percuma pula,” jelas beliau.

Justeru, kata Saiful Islam, 37, Kompleks Imam di Teluk Intan, Perak dijadikan perintis sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara yang juga terbuka kepada warga emas, mualaf dan asnaf.

Uniknya, tanah seluas hampir dua hektar itu diwakafkan oleh seorang hamba Allah serta bakal dilengkapi masjid, asrama, dewan kuliah dan sebagainya yang diunjurkan bernilai RM8 juta.

Dengan kapasiti 500 pelajar ujarnya, pengajian di kompleks Imam akan dibuka kepada pelajar seawal usia tujuh tahun sehingga warga emas berumur 70 tahun tanpa dikenakan bayaran.

Pada masa sama, beliau juga merancang membuka 50 pusat tahfiz di seluruh Semenanjung selain 100 lagi di wilayah Sabah dan Sarawak dalam pelan fasa kedua pertubuhan berkenaan.

“Kami sasar membina lebih 1,000 pusat pengajian al-Quran seperti kompleks Imam di rantau Nusantara terutama Indonesia yang cukup tinggi permintaan dari umat Islam,” tambahnya.

Lepasan Sarjana Muda Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu optimis, sambutan masyarakat amat positif selain sokongan daripada tokoh korporat Muslim domestik.

Ini berdasarkan pengalamannya menganjurkan lebih 50 program keagamaan di samping aktif menjadi imam dan penceramah di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura hatta Australia.

Sementara itu, pengerusi pertubuhan tersebut, Mejar (B) Mohammad Qayyum Badaruddin berkata, idea Kompleks Imam tercetus pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Ramai yang bosan berada di rumah ujarnya, mahu cuba menimba ilmu al-Quran bagi mengisi masa luang tetapi fasiliti pengajian kitab itu pula tidak banyak terutama yang ada kemudahan hostel.

“Jika ada pun, kena bayar yuran mahal, dan dari situ timbul cadangan agar ada pusat pendidikan al-Quran secara percuma serta sistematik lengkap pondok ala penginapan moden,” katanya.

Hasrat suci itu juga meraih kerjasama erat daripada pihak DPIM yang membuka peluang luas ramai tokoh korporat berinfaq di jalan Allah selain sumbangan berterusan amal jariah komuniti.

Inisiatif murni itu jelas beliau, bakal memberi kesempatan kepada mereka yang ‘dahaga’ ilmu al-Quran dan berharap tiada lagi alasan kononnya tidak mampu belajar mendalami kitab Allah.

Mereka yang berminat menyumbang kepada projek Kompleks Imam, boleh menyalurkan dana ke Akademi Tahfiz Al-Islah akaun CIMB Bank 8604684212 atau RHB Bank 26601600017149.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN