Pastinya harapan menggunung diletakkan tatkala mendengar tajuk filem ini. Jangan Sendirian, itu sudah cukup untuk membuat bulu roma merinding keseraman.
Malah, apabila bertemu rakan media lain, keterujaan dan rasa takut sudah menjadi topik perbualan. Apatah lagi mereka yang memang tinggal bersendirian di rumah. Masuk ke pawagam, penjagaan prosedur operasi standard (SOP) menjadi keutamaan. Buat kali pertama, saya menonton filem seram thriller tanpa sesiapa di sebelah.
Bukan takut hantu tetapi terkejut. Maka filem Indonesia arahan X. Jo ini memulakan tayangannya. Pada 10 minit pertama, saya tidak begitu faham tujuan filem ini.
Adegan awal memaparkan seorang wanita tinggal keseorangan dan mengalami kejadian misteri. Gangguan demi gangguan mengejutkan kami. Ada babak yang seram dan ada yang buat kami tercengang kebingungan.
Tak mengapa, itu baru segmen pertama. Filem ditayangkan bermula 8 April lalu itu rupanya menggabungkan empat jalan cerita dalam satu filem.
Memasuki segmen kedua, jalan cerita mula lompong. Tidak faham mengapa dan kenapa. Ditambah pula dengan lakonan yang kurang ‘memberi’, filem itu seperti tidak ada arah tuju.
Elemen dan babak seram dalam filem ini juga bersilih ganti dengan kekeliruan. Mula-mula sudah dengar suara menjerit ketakutan namun disusuli pula dengan gelak kecil.
Tidak dinafikan, ada babak yang cukup mendebarkan namun dibunuh dengan lakonan yang kurang umph. Ada babak yang menjadi namun, elemen seram tidak memberi. Malah segmen demi segmen, seperti tiada kesinambungan. Plotnya juga agak rapuh dan lakonan juga tidak menyakinkan. Jadi adegan seram kurang menjentik jiwa dan raga.
Jika dinilai, filem ini mempunyai jalan cerita yang jika dikembangkan dengan kemas, boleh menjadi satu karya agung.
Malah, jika pelakon dipilih juga bijak mewarna emosi dan watak, pastinya Jangan Sendirian akan pecah panggung.
Filem ini dibintangi oleh Jasi Michele Tumbel, David John Scaap, Agatha Valery dan Henry Boboy, dan mendiang Robby Sugara. Filem ini juga diedarkan oleh Horizon Film Entertainment, Cineplus Asia, Quin Media dan TGV Pictures.
Namun sayang, filem yang sukses di Indonesia ini kurang memberi rasa seram dan thriller kepada penonton.
Ramai sependapat dengan saya, filem ini jika digarap dengam baik boleh menjadi nashkah cukup hebat.
Melihatkan babak akhir seolah-olah Jangan Sendirian bakal ada sekuelnya, saya sangat berharap agar filem ini digarap sebaiknya.
Pilihlah pelakon yang benar mampu memberi keadilan kepada nashkah. Sutradara juga perlu bijak mewarnai jalan cerita agar tidak mengelirukan.
Namun ada yang tidak pulang dengan tangan kosong. Ada dalam kalangan penonton yang mengakui takut untuk tinggal keseorangan. Maka, filem ini beri impak kepadanya. Begitupun ramai memuji sinematografi dan color grading yang cantik. Semestinya itu antara kelebihan filem-filem dari negara seberang itu.










