Janna dedah pernah cuba bunuh diri, hidup tertekan - Utusan Malaysia

Janna dedah pernah cuba bunuh diri, hidup tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Janna Nick mendedahkan dia pernah cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya sendiri di hadapan mata adiknya sendiri ketika berusia 15 tahun.

Mendedahkan episod hitam itu di Instagramnya, Janna berkata, itu merupakan kali kedua dia cuba membunuh diri apabila dia juga pernah menelan segenggam Panadol yang dicampurkan dengan ubat lain ketika berusia 14 tahun.

“Seawal umur 8 tahun saya sudah fikir mahu mati. Kehidupan kanak-kanak saya tidak seperti orang lain. Sepak terajang memang makanan saya. Saya pernah cuma membunuh diri ketika umur 14 tahun. Menelan segenggam panadol dan ubat lain.

“Saya tidak ada keluarga sempurna. Saya duduk jauh bersekolah asrama penuh. Bayangkan setiap minggu lihat ibu bapa kawan-kawan sekolah melawat, bawa makanan. Saya? Tengok sahajalah di balik tingkap itu.

“Percubaan bunuh diri kedua saya setahun selepas itu. Pemeriksaan Menengah Rendah, saya kelar pergelangan tangan depan adik saya sendiri,” dedah Janna.

Janna sebelum ini menggemparkan industri hiburan apabila memuat naik video luahan perasaan apabila dia mengakui tertekan dengan lambakan kerja sehingga menggangu emosinya.

Dalam pada itu, Janna juga mengakui dirinya telah disahkan menghidap Bipolar Disorder dan kini masih dalam rawatan serta mengambil ubat Antidepressant Medication ( Escitalopram ) dan Carbamazepine ( CBZ ).

“Saya rehatkan diri daripada media sosial untuk lebih fokus kepada diri sendiri. Sudah seminggu dan akan diteruskan. Selama ini saya ingat otak saya berfungsi seperti orang lain. Saya fikir semua orang ada tiga empat suara dalam fikiran mereka.

“Saya memang ingat normal jika kita berbicara dengan suara hati sendiri seperti perbincangan berkumpulan. Sehinggalah saya mengambil ubat, baru saya sedar oh begini rupanya manusia normal berfikir dalam otak mereka.

“Tak tahulah ini adalah disebabkan genetik atau kejadian masa lampau,” dedahnya.

Perkongsian itu menarik perhatian warganet termasuk rakan artis yang meninggalkan komen-komen positif supaya Janna terus berjuang dalam hidupnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.