PELBAGAI riak wajah terzahir. Bermacam ragam dapat dilihat. Memikirkan ‘azab’ peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah berakhir, pastinya para calon berasa gembira dan lega hingga mahu melompat.
Irdiena Hakim Jasman, 18, anak usahawan kosmetik, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat mengakui dirinya turut dilimpah emosi serupa.
Gadis manis berstatus Lady Boss yang mewarisi empayar Dnars Skincare ini bagaimanapun menegaskan, dia enggan berlebihan melayani keterujaan bersifat sementara itu.
“Ke mana saya selepas SPM pada 25 Mac? Masuk pejabat dan berniaga. Saya mahu fokus kepada perniagaan kerana dunia ini masih jauh untuk saya rintis bersama abang Iqbar Hakim.
“Saya perlu bekerja keras lebih-lebih lagi selepas Dnars Skincare melancarkan produk terbaharu Snow Shine, 9 April lalu,” katanya dalam pertemuan eksklusif di mahligai mewah keluarganya di Wakaf Bharu, baru-baru ini.
Irdiena Hakim, anak kedua daripada tiga beradik kini menjadi teraju empayar kosmetik berusia 13 tahun peninggalan ibunya.
Dia berperanan sebagai Pengurus Pemasaran Dnars Skincare manakala abang sulung, Iqbar Hakim, 21, menjadi Pengarah Urusan syarikat.
Kata Irdiena Hakim, sebagai kaum Hawa dia lebih serasi dengan dunia kecantikan dan produk kosmetik, maka Iqbar Hakim memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuai projek produk baharu itu.
“Disebabkan projek ini, nampaknya saya bukan sahaja perlu tangguh hasrat untuk berehat malah mungkin kena pendam juga dulu hasrat untuk sambung belajar dalam bidang perniagaan.
“Abang sebagai orang lelaki, dia kurang serasi dengan dunia kecantikan manakala adik-adik pula masih kecil. Kalau bukan saya yang uruskan, siapa lagi,” ujarnya.

MASUK PEJABAT DENGAN BAJU SEKOLAH
Kematangan Irdiena Hakim berbicara membuatkan sesiapa yang pernah berurusan secara rasmi dengannya tidak percaya gadis ini baru berusia 18 tahun dan merupakan remaja lepasan SPM.
Malah ada yang terpinga-pinga melihat dia tergesa-gesa ‘masuk kerja’ di pejabatnya di Pasir Pekan, Tumpat tanpa sempat menukar pakaian seragam sekolah demi menyelesaikan urusan syarikat.
Menurut gadis yang membahasakan diri ‘kakak’ dalam keluarga ini, dia membesar dengan melihat arwah ibu menjalani pelbagai fasa hidup dan berazam untuk memastikan empayar dibina dengan jerih-perih itu terus berdiri teguh.
“Saya belum ada sebarang kelulusan atau sijil dalam perniagaan tetapi bidang ini sudah saya terokai sejak kecil. Malah saya antara anak yang sering dibawa bersama sejak arwah berniaga di pasar malam lagi.
“Selain memastikan perniagaan keluarga terus kukuh, kami berazam mahu menjadikan impian arwah iaitu melihat Dnars Skincare muncul sebagai jenama antarabangsa tercapai,” katanya.
Selama kira-kira sebulan SPM berlangsung, Irdiena Hakim berkata, dia berusaha sebaik mungkin membahagikan masa di pejabat dan membuat persediaan menduduki kertas peperiksaan.
“Sejujurnya saya tidak rasa terbeban walaupun acap kali berkejar dari sekolah ke pejabat, serta perlu belajar dan bekerja setiap hari kerana memang minat saya begitu.
“Berniaga bukan sekadar satu kerjaya tetapi boleh dikatakan sebagai hobi, selain memasak dan menyibuk di dapur. Ini aktiviti yang boleh membuatkan saya rasa bahagia,” katanya sambil tertawa.
JELMAAN SEMULA ARWAH IBU
Tatkala terpandang gadis ini, sosok tubuhnya saling tak tumpah Allahyarham Faziani, baik raut wajah, suara mahupun butir percakapan. Dia juga dilihat gemar menggayakan fesyen sama seakan-akan arwah.
Ditebak soalan itu, Irdiena Hakim berkata, sebagai anak, dia bangga jika dikatakan sebagai jelmaan semula Faziani dan berharap semangat serta keperibadian mulia arwah sehingga menjadi ikon wanita disegani juga hadir dalam diri.
Faziani terkorban dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 13 Ramadan 1440 (18 Mei 2019). Ketika kejadian Allahyarhamah dalam perjalanan ke sebuah pondok tahfiz untuk memberi sumbangan bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim.
Akui si gadis, tugasnya kini bukan sekadar meneruskan kesinambungan reputasi ibu yang gah dalam dunia bisnes.
Sebagai anak kedua dan kakak sulung, dia perlu menjadi pengganti ibu kepada adik.
“Sekarang abang berada di Kuala Lumpur dan menguruskan perniagaan kami dari sana. Di Kelantan, sayalah ‘ketua keluarga’ yang menguruskan rumah dan menjaga adik. Alhamdulilah bapa saudara banyak membantu.
“Adik, Aqil Hakim yang berusia 14 tahun satu ketika dulu sangat manja sampai tidak boleh berpisah dengan mommy. Sekarang sayalah tempat dia mengadu susah senang, walaupun saya kakak yang garang,” katanya.

RAKAN JADI INSPIRASI
Kerendahan peribadi diri biarpun berstatus pewaris empayar kosmetik tersohor jelas terpapar pada Irdiena Hakim apabila tidak kekok menimba ilmu di sekolah harian biasa yang letaknya di kawasan luar bandar.
Dia juga tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman berniaga, di samping tidak pernah jemu mengajak rakan sebaya supaya turut menceburi bidang perniagaan.
“Bila bersembang dengan kawan-kawan, antara yang diluahkan mereka ialah masa depan masing-masing selepas SPM. Saya macam biasa, akan cuba memotivasikan mereka supaya berniaga.
“Kebetulan sekarang kami memang mencari seramai mungkin ejen atau dropship Dnars Skincare. Niat saya mahu melihat rakan-rakan ada pendapatan sendiri tanpa perlu menyusahkan ibu bapa mereka,” ujarnya.










