Pertemuan kami dirancang secara kebetulan. Gusar juga hati saya. Entah dia mahu atau tidak dibingkaikan sebagai wajah sampul hadapan Pancaindera minggu ini. Di mata ramai, dia seorang legenda rock yang punya identiti sendiri.
Melangkah ke ruang pejabat, Amy Search datang dengan menyarung jaket merah, menyerlahkan auranya. Ternyata walaupun namanya kekal harum di laman seni, tatkala dia disanjung tinggi namun jiwanya kekal membumi.
Tidak lekang senyuman menemani kami sepanjang sesi fotografi berlangsung. Bual bicara kami berkisar tentang industri dan dirinya sendiri. Tidak kekok malah dia buat saya rasa selesa biarpun gugup sebenarnya.
Maka soalan pertama saya mudah, apa pandangannya terhadap pemuzik muda? Mungkin di mata segelintir, mereka berdiri atas lambakan pengikut semata? Atau mereka punya bakat namun tidak disemai sebaiknya?
“Kita tak perlu tengok jauh. Lihat lokal sahaja. Mereka kebanyakan bergantung kepada satu lagu. Kalau dalam album, satu lagu sahaja yang bang. Selebihnya, tidak mampu menawan jiwa dan raga peminat.
“Mereka juga mungkin tidak cukup aura untuk tarik peminat. Ya, popular dalam media sosial tetapi untuk menjual tiket konsert atau album, adakah peminat itu akan menyokong? Itu epitome seorang anak seni,” katanya.

Ringkas namun padat. Itu kata-kata seorang pemuzik, penyanyi dan selayaknya digelar legenda yang punya pengalaman genap empat dekad tahun ini. Seleksi lagu-lagunya kekal berkumandang dan masih menjadi pilihan.
Mengenali pemilik nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman dia, dia bukan manusia yang mudah melontarkan amarah kata-kata. Dia cukup bersahaja, santai walaupun disepak terajang industri seni.
Melontarkan secebis nasihat buat pendatang baharu, dia menitipkan pesan supaya mereka berani mengambil risiko untuk menyempurnakan impian seni. Namun, jangan sesekali berdiri atas tiket publisiti dan kontroversi.
“Jadi artis, anak seni biar ada kelas”
Itu penegasan dalam nada yang cukup santun. Sementelah, melihat trend anak seni muda yang mudah menconteng arang ke nama sendiri demi populariti, Amy menggelengkan kepala tanda tidak setuju.
“Jangan jadikan produk seni sebagai umpan perhatian yang mencemarkan nama. Gimik yang akhirnya akan memalit lumpur. Biar kita jadi anak seni yang ada kelas. Jangan jadi popcorn, sedap bila makan tapi hilang begitu sahaja.
“Jadikan artis-artis terdahulu sebagai rujukan. Kita ada ramai anak seni yang berjaya di dalam dan luar negara. Kalau bukan saya pun, ramai lagi yang layak untuk dijadikan sumber dan inspirasi.
“Kita juga kena ingat, semakin tinggi sayap terbang semakin banyak angin melintang. Cabaran berada di tampuk populariti bukan calang-calang. Kena kuat semangat, tak boleh kalah dengan ujian,” ujar penyanyi Isabella ini.

Single baharu Julai ini
Berbicara soal muzik, kontroversi yang melanda pemuzik rock sekitar 1992 gara-gara rambut masih kekal dalam fikirannya. Tatkala itu, rambutnya dipotong menteri demi kelangsungan rezeki. Dia mengorbankan imej rock untuk sesuap nasi.
“Ketika itu, ramai penyanyi rock sudah digam daripada terlibat dengan mana-mana program seni. Kalau tiada program di layar kaca atau radio tak mengapa lagi, cuma kalau tiada konsert macam mana kami nak cari makan?
“Tetapi itu kisah lama. Walaupun masih berbekas namun industri seni sekarang sudah banyak berevolusi. Kita bebas berkarya dan mampu meraih perhatian dengan mudah. Gunakanlah peluang ini sebaiknya,” katanya.
Ditanya bila agaknya dia bakal kembali dengan single baharu, perlahan di menjeling manja isterinya, Nourish yang hadir menemani.
“Bila ya sayang? Oktober ya?” tanya Amy. “Julailah abang,” jawab Nourish perlahan kerana ketika itu, sesi rakaman video sedang berlangsung.
Ya, Julai. Tinggal tiga purnama lagi kita bakal dihidangkan dengan material baharu daripada seorang pemuzik yang mempunyai 23 album bersama Search dan lima album solo. Satu lagu yang ditunggu ramai.
“Material sudah ada cuma belum rekod sahaja lagi. Mencari satu lagu yang benar-benar kena itu sukar sekali. Apatah lagi dunia muzik sekarang sudah berbeza. Lebih santai dan susunan muzik juga ringkas,” katanya menyambung bicara.
Mengusik penyanyi dan juga pelakon ini dengan soalan bila agaknya dia bakal beraksi di konsert, Amy tiada jawapan. Sebolehnya dia ketika ini mahu berlari-lari di atas pentas melontarkan vokal.
Namun pandemik yang melanda merencatkan hasrat. Dia juga tidak begitu setuju andai ada pihak yang menawarkan konsert maya yang kini menjadi pilihan beberapa artis.
“Tak puas untuk artis dan peminat. Kualiti muzik dan bunyi tidak setara bayaran” katanya.
Tiada noktah seni
DI tangga usia 63 tahun, ramai yang tertanya-tanya adakah Amy bakal meletakkan titik noktah dalam kerjaya seninya? Adakah dia masih mampu menyanyi sehebat dulu? Adakah sudah tiba masa di berehat sahaja?
Hanya tergelak seraya mengambil nafas sebentar, Amy memberi jaminan dia masih akan terus menyeri laman seni. Tugasnya dalam menghibur dan memberi inspirasi akan terus dipikul dengan sebaik mungkin.
“63 tahun usia, 40 tahun bergelar anak seni tidak pernah sekali terfikir untuk bersara. Saya masih sihat, jemputan juga tetap diterima. Cuma tidak boleh dinafikan, sekarang berbeza dari dulu.
“Maksud saya mutu nyanyian dan vokal. Pasti berbeza sedikit. Tetapi semangat dan keterujaan saya masih sama. Tidak pernah sekelumit kurang. Jangan risau, aku masih di sini, terus berkarya untuk anda semua,” katanya.

Ditanya bagaimana kelangsungan hidup tatkala pandemik melanda dunia, Amy percaya kepada rezeki. Mengemudi perniagaan produk makanan dan pakaian, penyanyi Fantasia Bulan Madu ini bersyukur seadanya.
“Memang ramai anak seni yang terkesan dengan keadaan sekarang. Cuma saya bersyukur perniagaan Kopi Phewiiit dan pelbagai lagi produk antaranya kurta serta kebarung terjual dengan begitu memberangsangkan.
“Seperti muzik, saya akan pastikan kualiti produk bukan sekadar asal boleh. Saya turun padang, melalui pelbagai proses research dan development untuk memastikan produk-produk keluaran Amy Search berkualiti tinggi,” katanya.










