IPOH: Dua orang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pihaknya pada pukul 8.36 malam.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan habuk kayu dengan seorang lelaki berusia 42 tahun tersepit di dalamnya dan sebuah lori membawa muatan sayur di mana terdapat dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 35 tahun.
“Kedua-dua lelaki yang menaiki lori muatan sayur itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik sebelum mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital.
Katanya, mayat dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










