- Utusan Malaysia
HASANUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kalangan pegawai dan anggota polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan merupakan antara Ketua Polis Negeri yang paling digeruni.

Barangkali kerana ketegasan dan ketelusan beliau dalam memimpin kontinjen polis Kedah walaupun dalam tempoh kurang setahun namun cukup berbekas dalam kalangan warga jabatan tersebut dan Kedah keseluruhannya.

Itulah Hasanuddin, 60, yang perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berakhir menjelang Jun ini setelah lebih 36 tahun menabur bakti.

Kepada penulis yang berpeluang menemu bual beliau baru-baru ini berkongsi pelbagai cerita daripada kisah anak guru bercita-cita menjadi polis, bergelar Ketua Polis Daerah paling muda, kenangan mengetuai pasukan Kembara Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang hampir maut apabila nyaris dibaham pak belang dalam satu operasi.

Tidak lupa kemunculan pertama beliau sebagai pelakon drama kepolisan popular, Gerak Khas. Semua itu menjadi kenangan pahit dan manis beliau tatkala melangkah gerbang IPK Kedah nanti.

Lebih penting sebagai seorang yang berpengalaman dalam PDRM, beliau turut menitipkan nasihat kepada generasi baharu warga polis termasuk anak-anak muda yang ingin berkecimpung.

“Sang Saka Biru bendera saya yang berdiri lama sejak 214 tahun lalu, jadi jangan mudah kita serahkan kepada sesiapa yang tidak suka dengan sang saka biru. Banyak elemen dan anasir tidak suka pada polis tengok dalam Facebook pun kita tahu.

“Tetapi itulah kerja kita nak tegakkan Sang Saka Biru bukan senang kalau tidak ada disiplin dan intergriti, seolah-olah macam anai-anai rosak di akar. Tugas polis cukup relevan daripada lahirnya seseorang itu sampailah dia mati masih dalam jagaan polis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1985 setelah menamatkan pengajian di Universiti Malaya, beliau mengaku meminati bidang kepolisan sejak di bangku sekolah.

Kalau cerita tentang itu satu hari pun tidak cukup, seloroh beliau kepada anak buahnya.

Namun kata Hasanuddin, di sebalik cita-cita budak sekolah yang ingin menjadi guru sebagai mengikut jejak bapanya, Hassan Omar, beliau mengakui persekitaran mempengaruhi minatnya dalam bidang polis.

“Cita-cita sebenar saya nak jadi cikgu sebab anak cikgulah kan. Tetapi apabila arwah ayah tukar sekolah dari Pasir Emas ke Tanah Merah, kami menyewa rumah dekat dengan rumah Ketua Polis Kelantan ketika itu.

“Tiap-tiap hari lalu rumahnya dan ternampak beliau beruniform segak dan pangkat di uniform di situlah saya bercita-cita jadi sepertinya,” cerita beliau yang merupakan anak jati Pasir Mas, Kelantan.

Kerana minat itu beliau memberanikan diri untuk menghadiri temuduga polis sejurus selepas menamatkan pengajian di universiti dan diterima masuk ke Pusat Latihan Polis pada Januari 1985.

 

HASANUDDIN Hassan menyematkan pangkat kepada pegawai yang dinaikkan pangkat dalam Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar baru-baru ini.

Dedikasi beliau sebagai pegawai polis ketika itu sangat kental sekali gus diberi kepercayaan oleh PDRM untuk memegang jawatan penting termasuk Ketua Polis Daerah pada usia muda iaitu 28 tahun setelah lebih dua tahun berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim.

Cabaran utama sebagai Ketua Polis Daerah bukan kerana pada usianya, namun mewujudkan sebuah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Perlis iaitu Padang Besar.

“Saya pun tak sangka dihantar sebagai Ketua Polis Daerah oleh Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara ketika itu untuk mewujudkan IPD baharu di Padang Besar. Apatah lagi saya mempunyai kekuatan kakitangan yang terhad untuk membangunkan IPD pada 1989 itu.

“Pelbagai peristiwa berlaku termasuk Rundingan Damai Hatyai antara Malaysia dan Parti Komunis Malaya jadi anggota komunis ini banyak yang dibawa ke lokal IPD Padang Besar. Itu belum lagi kejadian tembak menembak di sempadan waktu itu,” ceritanya.

Bagi beliau, kejayaannya membangunkan IPD Padang Besar itu adalah salah satu kenangan manis.

“Alhamdulillah saya boleh wujudkan IPD Padang Besar walaupun dengan ilmu yang sedikit tetapi berkat komitmen yang ditunjukkan bersama warga IPD itu kami berjaya,” katanya yang pernah berkhidmat di Kelantan sebagai Ketua Polis negeri sebelum ke Kedah tahun lepas.

TEKAD PERANGI DADAH

Bertugas sebagai ketua polis negeri di Kelantan dan Kedah sebelum ini, usaha Hasanuddin dalam memerangi jenayah dadah juga menjadi agenda utama terutama berkaitan pil kuda dan ketum.

“Kita harus akui yang banyak terjebak adalah orang Melayu yang rosak kerana pertualangan. Saya kendali banyak kes dadah terutama pil kuda dan senjata api di Kelantan bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Bercerita tentang prinsip dan pendekatan yang menjadi amalan sehingga membawa kecemerlangan dalam bidang itu, kata beliau, dua perkara menjadi asas penting iaitu ilmu dan intergriti.

“Saya suka latihan dalam perkhidmafan (LDP) kerana tidak ada manusia yang sempurna lahir di dunia ini dan kita semua perlu ada ilmu.

“Dalam kepolisan, ilmu juga paling penting terutama berkaitan undang-undang untuk kita jadi lebih wibawa dan orang akan menghormati kita.

“Ini juga yang saya paling ralat kerana tidak banyak peluang mengadakan LDP kepada anak-anak buah saya kerana masa yang singkat dan pelbagai kekangan lain termasuk Covid-19,” katanya.

Beliau turut mempunyai kelulusan sarjana dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hasanuddin Hassan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan plastik berisi dadah yang akan dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, baru-baru ini.

Selain itu, bagi beliau, ciri-ciri utama sebagai anggota polis ialah, berdisiplin dan berintergriti, tegas tapi mesra, berani kepada kebenaran dan berilmu agama.

Ciri-ciri itu penting memandangkan cabaran dalam bidang kepolisan bertambah getir dengan dunia tanpa sempadan ketika ini.

“Generasi akan datang makin lama makin mencabar penugasan polis kita. Penuhkan ilmu kepolisan dalam dada terutama ilmu undang-undang yang ada kaitan dengan polis.

“Kalau kita tak penuhkan ilmu kita akan takut. Buat kerja kita tak tau apa kuasa kita semua itu kita kena tahu,” katanya.

Ditanya tentang rancangan selepas bersara, kata Hasanuddin, beliau berhasrat untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan mendalami ilmu keagamaan.

Hasil perkahwinan beliau dengan warga pendidik, Datin Farida Hanim Ruslan, 59, yang dikenali ketika di Universiti Malaya, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.

“Saya ingin dalami ilmu agama, menghabiskan masa bersama isteri serta anak-anak. Anak perempuan saya selalu mengadu sampai sekarang tak sempat bawa dia bercuti di Gunung Jerai walaupun sudah lima kali bertugas di Kedah.

“Jadi insya-Allah lepas ini sampailah. Melawat saudara-mara lain juga,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×