PRESTIJ Sekumpulan Orang Gila (SOG) sebagai kugiran independen ternama tempatan sukar nak dipertikai. Mereka punya peminat yang ramai, produk mereka berkualiti malah karya mereka sudah sampai ke serata ceruk dunia.
Satu hal lagi yang istimewa tentang SOG, mereka pakar persembahan secara langsung. Hal teknikal kita boleh bincang lain kerana saya kurang arif tentang itu, tetapi dari segi persembahan dan hiburan yang disampaikan, siapa mampu nafikan mereka hebat?
Sabtu lalu, mereka mengadakan gig patuh SOP mereka yang pertama. Disebabkan sambutan yang hangat, persembahan diadakan dalam dua sesi, petang dan malam.
Setiap sesi mereka memainkan 16 lagu. Ini bermakna, untuk dua sesi, mereka lenjan 32 lagu dalam satu hari.
Pelayaran baharu
Daripada 16 lagu yang dimainkan, hanya tiga lagu baharu daripada album Second Voyage. Dua daripadanya sudah ada video muzik, Sailors Of Sorrow dan Tugu Ugut manakala satu lagi lagu, Second Voyage pertama kali saya dengar malam itu.
Tidak banyak sebenarnya perbezaan antara lagu lama dengan lagu baharu SOG. Cop mohor kugiran itu dapat dikesan. Yang sedikit berbeza mungkin bagaimana mereka meregang kemampuan vokal Raja Nazrin dan Riko.
Dalam Sailors Of Sorrow contohnya, raungan Riko dijadikan vokal utama manakala dalam Tugu Ugut, Raja Nazrin menggunakan nada yang lebih tinggi daripada biasa.
Sebab itu dalam kedua-dua sesi, Sailors Of Sorrow dan Tugu Ugut menjadi lagu pembukaan. Nada-nada tinggi dalam dua lagu itu perlu diselesaikan dahulu sebelum bergerak ke lagu-lagu lain.
Hentak kepala patuh SOP
Sukar nak duduk diam, menonton persembahan kugiran seperti SOG. Jika bukan kerana SOP, saya yakin persembahan mereka baik sesi petang atau malam sudah pecah teruk.
Penonton pada sebelah petang agak pasif. Kebanyakannya hanya duduk di tempat masing-masing dan hanya sebilangan kecil yang menghentak kepala dalam zon SOP masing-masing.
Hebat juga penonton sesi petang menahan godaan kerana saya dan rakan media lain di ruang belakang sudah terkinja-kinja menikmati hentakan dram Raja Nazmin dan jeritan Riko.

Berbeza dengan sesi malam, sejak lagu pertama sudah ramai yang berdiri dan melompat menikmati muzik. Ia diakui oleh Raja Nazrin sendiri bahawa sambutan sebegitu menyalurkan tenaga kepada mereka yang membuat persembahan.
Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa gangguan teknikal, momentum penonton terputus pada pertengahan persembahan. Lebih ramai selesa duduk sahaja selepas beberapa kali persembahan terpaksa dihentikan kerana gangguan pada sesi strim langsung.
Kenangan Hari Gig Kebangsaan
Gig SOG Live In Angkasa: An Intimate Show merupakan sebahagian daripada Hari Gig Kebangsaan yang diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu. Melalui pemerhatian saya di media sosial, ia antara gig yang paling banyak disebut sepanjang hari tersebut.
SOG memberikan keadilan kepada Hari Gig Kebangsaan melalui persembahan mereka. Mereka memberi bekal kenangan kepada peminat sebelum menunggu gig seterusnya diadakan, mungkin selepas Aidilfitri.

Gig itu juga bersih daripada sebarang pelanggaran SOP walaupun saya tahu, sukar untuk menahan diri daripada mosh apabila mendengar lagu-lagu SOG secara langsung. SOG sendiri memainkan peranan mereka dengan sentiasa memberi peringatan tentang SOP.
Saya sendiri keluar dari Angkasa Event Space dengan kepuasan pada hari tersebut. Walaupun hanya tiga lagu daripada album baharu dimainkan pada hari tersebut, saya yakin pelancaran Second Voyage nanti akan menggegarkan negara dan memberi saingan kepada album Ramayan dan Jemson untuk rilisan terbaik tahun ini.
Paling penting, gig itu mengingatkan saya betapa SOG merupakan antara kugiran paling lengkap dalam Malaysia. Mereka punya banyak karya untuk dipersembahkan dan kebanyakannya mampu dinyanyikan bersama oleh peminat.
SOG adalah sejenis kugiran yang jika dicabar membuat persembahan secara langsung, bila-bila masa pun mereka bersedia dan akan melakukannya dengan cemerlang.










