Muhammad Rasyid Redha dilahirkan pada 1865 di Qalamun, Lubnan. Ayahnya Ali Redha adalah bertugas sebagai imam masjid di samping tugas sebagai guru. Di peringkat permulaan pengajian beliau menghafaz al-Quran dan menerima ilmu daripada ayahandanya.
Selepas itu beliau melanjut pengajian peringkat menengah di Tarabulus.
Oleh kerana pencapaian yang amat baik dalam pengajian, gurunya Sheikh al-Jasr mengijazahkanya pada tahun 1897 untuk mengajar ilmu syariat dan bahasa arab.
Beliau juga mendalami ilmu hadis dengan seorang guru yang bernama Mahmud Nisyabah dan mengijazahkan kepadanya periwayatan hadis.
Selain itu beliau istiqamah menghadirkan diri dalam halaqah ilmu beberapa guru di Tarabulus seumpama Sheikh Abdul Ghani al-Rafei, Muhammad al-Qawaji, Muhammad Husaini dan lain-lain.
Ramai cendekiawan Islam menamakan Rashid Redha sebagai seorang ahli fikir dan tokoh reformasi dalam merubah pemikiran umat Islam ketika itu yang dibelenggu dengan penjajahan kuasa dan pemikiran.
Beliau adalah seorang murid yang amat rapat dengan gurunya, Sheikh Muhammad Abduh.
Dalam medan dakwah, Rashid Redha mulakan dengan pengajaran dan khutbah di kampungnya.
Beliau gunakan uslub dakwah dengan cara yang mudah dan senang difahami. Kaedah tersebut mendapat sambutan ramai di mana ramai yang datang mendengar khutbah dan pengajarannya.
Selain masjid, Sheikh Rashid Redha juga melebarkan dakwahnya di tempat perkumpulan manusia seperti restoran atau kedai makan.
Beliau duduk bersama mereka tanpa rasa malu dan segan dengan memberi galakan untuk mereka menunaikan solat, berpegang kepada syariat dan kembali kepada Allah.
Kesan daripada dakwahnya membuahkan hasil di mana ramai sedar akan tujuan kehidupan dan hala tuju manusia dibangkitkan di dunia ini.
Beliau juga mengambil berat dakwah kepada wanita dengan mewujudkan satu tempat pengajian yang dinamakan dengan Dar Usrah.
Di situ Sheikh Rashid Redha menyampaikan pengajaran berkaitan taharah, ibadat, akhlak dan akidah.
Semasa Sheikh Rashid Redha menerima pengajian di Tarabulus, hadir Sheikh Muhammad Abduh ke Beirut dan menetap di sana.
Ini ekoran Sheikh Muhammad Abduh dihukum buang negeri oleh kerajaan Mesir kerana didakwa bersekongkol dengan kumpulan penunjuk perasaan.
Sheikh Muhammad Abduh mengadakan pengajaran agama di pengajian sultaniyyah di Beirut.
Pengajian Sheikh Abduh mendapat sambutan ramai. Ini kerana pembaharuan dalam cara berfikir dan ideanya yang penuh dengan hikmah. Pengajaran Sheikh Abduh fokus kepada tarbiah dan pengajian Islam dan tidak kepada politik.
Semangat dakwah Rashid Redha amat tinggi dan berazam kembangkan lagi dakwahnya.
Dalam mencapai keazamanya, beliau telah mengambil satu keputusan dengan berhijrah ke Mesir pada 1898 dan bekerja dengan gurunya Sheikh Muhammad Abduh.
Sejurus tiba di Kaherah, beliau terus menghubungi gurunya Sheikh Abduh dan berlaku siri-siri perbincangan antara dua tokoh ini berkaitan penulisan dalam akhbar dan kesannya kepada masyarakat.
Sheikh Rashid Redha memberi penjelasan yang panjang lebar kepada gurunya, Sheikh Abduh agar menerima cadangannya mewujudkan satu majalah untuk tarbiah dan pengajian.
Selain itu, memberi dea yang betul bagi membasmi kejahilan dan khurafat. Bagi menjayakan projek tersebut beiau bersedia membiayai projek dalam setahun atau dua tahun tanpa pulangan.
Tafsir al-Manar
Pada zaman itu, majalah dan akhbar adalah medan utama untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Kuasa akhbar sebenarnya amat besar dalam mempengaruhi masyarakat tentang sesuatu isu sehingga boleh mengangkat kuasa kerajaan atau sebaliknya.
Sheikh Rashid Redha mengasaskan majalah al-Manar dan edisi pertamanya ialah pada Mac 1989.
Matlamat majalah al-Manar adalah memperbaiki fahaman beragama dan cara hidup masyarakat untuk ummah.
Ia juga menerangkan Islam adalah agama yang sesuai dan menepati akal, ilmu dan kebaikan manusia. Membatalkan kekeliruan terhadap Islam dan menghancurkan perkara berkaitan khurafat.
Penerbitan majalah al-Manar juga mengkhusukan kepada artikel berkaitan Tafsir Sheikh Muhammad Abduh di samping menyiarkan juga fatwa, menjawab permasalahan yang diajukan, pengenalan tokoh dan lain-lain.
Tafsir al-Manar dimulakan oleh Sheikh ABduh selepas berbincang dengan Rashid Redha.
Apabila Sheikh bersetuju dan berpuas hati dengan Rashid Redha, maka Sheikh Abduh mengadakan kuliah tafsir di Universiti al-Azhar selama enam tahun sehingga 1904.
Dalam tempoh tersebut beliau sempat mentafsir al-Quran kira-kira lima juzuk iaitu pada surah al-Nisa pada ayat 125 yang bermaksud Allah sentiasa meliputi pengetahuan-Nya dan kekuasaan-Nya akan setiap sesuatu.
Pentafsir al-Quran mempunyai ilmu yang luas.
Mereka membuat huraian sesuatu ayat berpandukan kepada tafsiran ulama, hadis, pendapat ulama terdahulu dengan huraian yang menakjubkan.
Kaedah ini digunakan oleh Sheikh Muhammad Abduh, Sheikh Sya’rawi begitu juga dengan Sheikh Syanqiti yang pada akhir hayatnya menghurai dan muridnya mencatat dan menulis.
Sheikh Rashid Redha menulis dan mencatat semua pengajian Sheikh Abduh di samping menghafal perkara penting yang disampaikan.
Pada waktu lapang, beliau membuat semakan.
Sebelum diterbitkan dalam majalah al-Manar, Rashid Redha mengadap Sheikh Abduh memohon pengesahan.
Seingat Rashid Redha tidak ada pembetulan yang banyak kecuali penambahan beberapa kalimah atau kurang kalimah untuk melengkapkan ayat.
Secara keseluruhannya, Sheikh Abduh bersetuju dengan catatan tafsir yang dibuat oleh Sheikh Rashid Redha bahkan rasa takjub apabila melihat tafsirannya dalam bentuk tulisan.
Selepas Sheikh Abduh meninggal dunia, Sheikh Rashid Redha meneruskan usaha mentafsir al-Quran sehingga sampai kepada surah Yusuf.
Tafsir al-Manar tidak dapat disempurnakan 30 juzuk kerana Rashid Redha meninggal dunia pada Khamis, 22 Ogos 1935.
Ayat terakhir dalam tafsirnya ialah “kami memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan sebaik-baik kematian di atas jalan Islam”.
——-
Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










