Sumbangan mesin jahit tingkat kecemerlangan pelajar Kolej Komuniti - Utusan Malaysia

Sumbangan mesin jahit tingkat kecemerlangan pelajar Kolej Komuniti

ABDUL Razak (lima dari kiri) bersama penerima sumbangan mesin jahit. Mereka dinilai menerusi prestasi akademik cemerlang beberapa kali tapisan sebelum disenarai pendek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lelaki tunggal dalam kelas jahitan majoriti terdiri daripada pelajar perempuan, bukanlah halangan bagi Muhd. Firdaus Noorizan tampil cemerlang.

Sebaliknya yakin dengan minat mendalam, dia mampu muncul sebagai pelajar terbaik di dalam kelas.

“Saya akan mula menerima tempahan pelbagai jenis pembuatan baju kurung moden. Semua ini sebagai persediaan dalam mengenggam cita-cita membuka butik pakaian wanita apabila telah tamat pengajian kelak,” katanya.

Beliau antara lima pelajar Program Sijil Fesyen dan Pakaian, Kolej Komuniti Selayang yang menerima sumbangan mesin jahit pelbagai guna daripada Persatuan Jahitan Kreatif Malaysia. Persatuan
Jahitan Kreatif Malaysia, dinaungi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Muhd. Firdaus Noorizan.

Sumbangan disampaikan Pengarah Kolej Komuniti Selayang, Abdul Razak Sabtu baru-baru ini.

Mesin berkenaan akan digunakan pelajar sepanjang pengajian mereka mengikuti program di Kolej Komuniti Selayang.

Muhd Firdaus yang kini berada dalam semester tiga memberitahu memiliki mesin jahit itu bererti ia bertindak sebagai pemangkin bergelar usahawan kelak.

“Saya berasa sangat bangga. Malah saya turut menyimpan hasrat dan perancangan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas ini,” katanya.

Kesemua penerima mesin jahit ini turut terpilih mengikuti program keusahawanan dalam membantu mereka untuk menjana keuntungan. Malah mereka turut akan diberikan latihan secara berterusan mengenai jahitan kreatif untuk menghasilkan produk berbentuk cenderamata.

Pelajar, Nurul Haziqah Johar, berkata pemberian itu disifatkan sebagai peniup semangat untuk dirinya menghasilkan projek lebih berkualiti pada masa depan.

Katanya, sebelum ini beliau terpaksa meluangkan masa menggunakan mesin jahit di Kolej Komuniti Selayang.

“Sekarang saya boleh menggunakan mesin jahit ini sepanjang masa. Saya berhasrat menghasilkan produk cenderamata seperti beg yang diperbuat daripada jeans terpakai, membuat beg daripada tarpaulin terpakai dan pelbagai jenis lagi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, kehebatan pelajar program fesyen dan pakaian, kemahiran rekabentuk dan pembuatan pakaian terbukti berdasarkan pencapaian mereka dalam pertandingan peringkat kebangsaan, antaranya Pertandingan Mereka Batik Malaysia sempena APEC 2020, Pertandingan Piala Seri Endon 2018, Pertandingan Waste is Maze 2018, penyediaan kostum Siti Di Alam Fantasi dan pelbagai lagi.

“Kolej Komuniti Selayang sentiasa memberi peluang kepada pelajar mendalami ilmu keusahawanan melalui pembelajaran keusahawanan digital (e-usahawnan) dengan kerjasama MDEC. Pembudayaan keusahawanan turut diterapkan kepada semua pelajar di Kolej Komuniti Selayang bermatlamatkan supaya selepas menamatkan pengajian, mereka akan membina perniagaan sendiri samada secara fizikal atau perniagaan dalam talian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×