‘Singgoh Beli’ ubat kerinduan

‘Singgoh Beli’ ubat kerinduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘SINGGOH BELI’ menjadi tema jualan yang menggamit warga bandar Kota Bharu, Kelantan mendapatkan juadah air tangan chef dari hotel The Grand Renai secara pandu lalu sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat ini.

Menariknya, menu yang dijual itu sebelum ini hanya boleh didapati dan dinikmati di Palm Terrace Café @ PTC @ Coffee House dan di Dynasty Chinese Restaurant hotel tersebut, namun kini dijual pada kadar lebih murah di luar lobi hotel.

Pengurus Bahagian Makanan dan Minuman (F&B) hotel, Harmimi Mustapa berkata, setakat ini lapan menu utama disediakan mendapat sambutan amat memberangsangkan dalam kalangan penduduk serta pelanggan tetap yang rindukan makanan dari restoran hotel itu.

Antaranya, kopi Illy, jenama kopi premium yang memang cukup dikenali dalam kalangan penggemar kopi kini boleh dibeli secara bungkus dengan harga antara RM5 hingga RM8, jauh lebih murah berbanding harga sebenar iaitu RM17 secawan.

“Turut menjadi tarikan dengan harga berpatutan adalah XL Homeade Corndog, Nasi Goreng Kambing serta Burger Tom Yam.

“Sebelum ini makanan ini hanya boleh dinikmati di restoran hotel di aras satu yang menyajikan makanan Barat, tempatan dan fusion,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Harmimi, menu lain yang turut dibawa turun adalah Baked Butter Fish dan meehoon sup kepala ikan dari Dynasty Chinese Restaurant yang terletak di aras enam hotel berkenaan.

“Makanan dari restoran ini dijamin halal dan dimasak chef beragama Islam, sekali gus tidak membangkitkan rasa ragu-ragu pengunjung untuk membe­linya,” katanya.

Semen­tara itu, peng­gemar kopi Americano, mocha, cappucinno, latte, caramel, butterscoth latte dan hazelnut latte boleh mendapatkan minuman kegemaran mereka pada kadar harga di antara RM6 hingga RM8.

The Grand Renai turut menyajikan aneka celup tepung bertaraf lima bintang seperti udang, sotong, ikan, isi ketam, bebola ikan dan cucur udang pada harga mampu beli iaitu antara RM2 hingga RM10.

“Corndog, iaitu sosej ditusuk dengan lidi disalut tebal dengan adunan tepung jagung yang digoreng garing dan menjadi makanan jalanan di Amerika Syarikat turut disajikan bersama jus oren, epal, tembikai dan jus lobak merah.

“Hanya membelanjakan tidak sampai RM15, kami jamin pelanggan akan berpuas hati dengan makanan yang kami tawarkan,” katanya.

Aneka pastri dari dapur hotel ini turut disajikan seperti puff, croissant dan kek dengan harga RM3.50 hingga RM12 selain Vietnam spring roll dan roti John serta pisang goreng cheese yang boleh dibeli pada harga RM5.

Harmimi memberitahu, Singgoh Beli dalam loghat Kelantan membawa maksud bertandang untuk membeli.

“Idea ini tercetus untuk memastikan dapur hotel terus berasap sepanjang ketandusan pengunjung yang datang menyewa bilik sepanjang PKP.

“Usaha kami ini juga bertujuan merakyatkan restoran dan kafe hotel supaya masyarakat tanpa mengira latar belakang mampu menikmati sajian di hotel tanpa perlu berbelanja besar,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya