Apakah persepsi anda terhadap lelaki lembut? Adakah anda memandang lelaki yang lembut ini sama seperti mak nyah atau khunsa? Sering dipandang serong oleh masyarakat, malah tidak kurang menganggap kehidupan mereka akan berakhir dengan gelaran mak nyah.
Menurut Kaunselor Berdaftar Penyelaras Pusat Kaunseling Selangor, Rinatho Nunchi, lelaki lembut bukanlah suatu masalah kritikal. Selagi mereka tidak melanggar fitrah jantina iaitu menjadi seorang perempuan atau berpenampilan sebagai perempuan dengan melakukan aktiviti bertentangan dengan hukum syarak.
Katanya, umum sering mengaitkan lelaki lembut dengan mak nyah, namun harus difahami lelaki lembut bukanlah termasuk dalam golongan tersebut kerana ‘kelembutan’ mereka bukanlah bukti atau penentu mereka sebagai seorang mak nyah atau transeksual yang termasuk dalam kategori lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
“Sebenarnya persepsi dan diskrimininasi terhadap lelaki lembut itulah yang sebenarnya mendorong mereka memilih jalan menjadi seorang LGBT.
“Sebabnya mereka dipinggirkan dan disisihkan oleh sebilangan masyarakat yang tidak faham tentang perbezaan lelaki lembut dan LGBT. Hakikatnya, ramai sahaja lelaki lembut berkahwin dan berkeluarga seperti lelaki lain,” katanya.
Bila perlu risau?
“Ibu bapa sememangnya perlu risau dan sedar terhadap perkembangan psikologi atau personaliti anak-anak mereka. Tetapi yang lebih perlu dirisaukan adalah persekitaran menunjukkan dan memaparkan secara terbuka serta berlebihan situasi ini yang mungkin menjadi ikutan mereka.
“Lebih-lebih lagi dalam situasi tanpa sempadan dengan berkembangnya media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain. Medium inilah yang selalu menjadi akses mudah kanak-kanak kepada sesuatu yang lebih buruk jika tidak dikawal,” ujarnya.
Ini berikutan peringkat kanak-kanak memiliki personaliti masing-masing dan faktor utama terbentuknya personaliti adalah melalui pembelajaran sosial iaitu mengikut teori psikologi sosial dipelajari dan diikuti melalui pemerhatian atau peniruan daripada individu yang mereka lihat.
Mengulas mengenai diskriminasi, katanya elemen itulah menjadi faktor utama seseorang memilih jalan menjadi LGBT, pembuli atau lain-lain personaliti agresif atau pasif dan ia bukan semata-mata berlaku kepada lelaki lembut sahaja.
“Lelaki ‘tulen’ juga boleh menjadi seorang mak nyah, gay atau biseksual hanya disebabkan diskriminasi seperti itu,” tegasnya.
Lantaran itu, katanya ibu bapa harus sentiasa mengawal anak-anak mereka daripada terjebak kepada situasi LGBT ini.
Bercerita pengalamannya mengendalikan kes kaunseling berkaitan lelaki lembut, sepanjang lebih kurang 15 tahun menjadi kaunselor, Rinatho mengendalikan beberapa kes lelaki lembut dan LGBT ini.
“Lelaki lembut tidak semestinya LGBT. Tetapi berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan sememangnya terdapat sebahagian LGBT yang asalnya lelaki lembut. Mereka jadi begitu disebabkan hinaan dan persepsi negatif.
“Kebanyakan mereka menjadi lelaki tulen semula jika mereka mendapat sokongan yang berterusan. Namun, ada juga kes yang kembali kepada LGBT yang juga berpunca daripada tiadanya sokongan daripada sekeliling.
“Jelas menunjukkan keperluan utama mereka pula adalah sokongan psikologi, spiritual dan moral. Masyarakat perlu menghentikan sikap diskriminasi ini dan harus memberikan dorongan dan sokongan bagi mengelakkan lelaki lembut ini memilih jalan menjadi LGBT.
“Begitu juga mungkin bagi LGBT, sokongan dan dorongan yang berterusan mungkin boleh membawa mereka kepada perubahan,” katanya.
Mengenai kaitan minum soya dan sifat lelaki lembut, Rinatho menolak andaian tersebut dengan mengatakan tiada kajian saintifik mengenainya. Malah terdapat kajian yang menidakkan pendapat tidak berasas.
Kenali anak anda
Meskipun kanak-kanak berusia sekitar dua tahun masih belum boleh mengenali serta memahami jantina sendiri, kajian ilmiah menunjukkan kanak-kanak seawal usia itu biasanya sudah boleh mengaitkan lelaki sebagai ‘kasar’ manakala perempuan sebagai lemah-lembut.
Dalam lingkungan usia tiga tahun pula, si kecil biasanya sudah boleh membezakan jantina lelaki dan perempuan serta sudah boleh ‘meletakkan’ dirinya sama ada dia adalah lelaki atau perempuan.
Dalam usia antara tiga hingga enam tahun, kanak-kanak biasanya akan menunjukkan sifat ‘perempuan’ atau kelelakian melebihi golongan dewasa.
Menurut Rinatho, ia bermaksud, setiap kanak-kanak sememangnya akan melalui fasa pengenalan diri mengikut jantina.
Atas sebab itu juga, katanya, ada kanak-kanak yang marah apabila mendapati rakan yang sama jantina dengannya melakukan atau menyukai sesuatu bertentangan dengan jantina diri.
“Contohnya jika kanak-kanak perempuan bermain dengan pistol permainan atau ada kanak-kanak lelaki menyukai anak patung.
“Situasi itu akan membuatkan kanak-kanak terbabit memilih untuk tidak berkawan dengan rakannya itu kerana merasakan terdapat sesuatu yang salah atau ‘tidak kena,” ujarnya.
Lembut sejak kecil
Kisah Cikgu Erin, atau Mohd Khariri Mohamad Ramli, 42, seorang mak nyah yang kembali ke pangkal jalan pernah tular di laman maya dan mendapat liputan meluas media sekitar 2012.

Keterbukaan guru ini menceritakan ‘episod hitam’ dilaluinya sepanjang bergelar mak nyah membuka mata banyak pihak.

Ada yang menilai keberaniannya membuka pekung di dada itu dari sudut positif namun pada masa sama, tidak kurang yang mencebik muka dan mempertikaikan niatnya.
Malah, ada yang skeptikal dengan penghijrahan Erin serta tidak yakin dia dapat bertahan dengan dunia baru sebagai lelaki selepas lebih 20 tahun terperangkap dalam jiwa wanita.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, hari ini selepas lapan tahun, dia membuktikan berjaya mematahkan semua tanggapan negatif dilemparkan ke atasnya. Walaupun secara fizikal, dia masih tidak mampu membuang perwatakan lembut, secara dalaman dia mendakwa sudah bergelar lelaki sejati.
“Saya pernah sesekali berpakaian wanita, ditata rias oleh ibu saudara namun tidak sampai mengekalkan imej wanita tersebut. Sebenarnya kelembutan bukan dibuat-buat tetapi datangnya sejak azali.
“Saya gemarkan aktiviti yang lebih berkonsepkan kanak-kanak perempuan. Kawan-kawan pun lebih pada kanak kanak perempuan,” katanya yang kini bertugas sebagai guru.
Tambah Mohd Khariri, dia ada berkawan dengan kanak-kanak lelaki namun lebih berhati-hati gara-gara pernah dibuli dari segi emosi, mental dan fizikal.
Mengenai pandangan tentang lelaki lembut, Mohd Khariri, berkata ibu bapa yang mempunyai anak lelaki lembut, didiklah mereka dengan penuh kasih dan sayang.
“Kawal pergaulan anak-anak dan pastikan kita mengenali siapa rakan-rakannya dan tegas dalam sesuatu yang bercanggah dalam landasan agama.
“Selalulah solat berjemaah kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan terutama anak-anak yang cenderung ke arah yang tidak baik,” katanya.
Memanjatkan syukur kepada Allah dan sokongan semua pihak untuk dirinya,dia kini mengakui selasa dan reda sebagai seorang lelaki.










