Naskhah martabat sejarah, warisan dan budaya Pagoh - Utusan Malaysia

Naskhah martabat sejarah, warisan dan budaya Pagoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH. Nama tidak asing lagi dalam lipatan sejarah di negeri Johor dan Malaysia amnya. Ia cukup dikenali kerana di sinilah wakil rakyatnya yang merupakan Perdana Menteri ke lapan, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Siapa sangka, tahun ini Pagoh berusia melebihi 533 tahun dan sudah semestinya usia berabad ini menyimpan 1,001 kisah dan lipatan sejarahnya.

Catatan mengenai sejarah Pagoh ini agak kurang didapati, namun ada tercatit serba sedikit dalam beberapa naskhah agung seperti Sulalatus As Salatin (Sejarah Melayu).

Setakat ini, belum ada yang menulis secara terperinci tentang Pagoh yang merangkumi sejarah, budaya, tokoh dan warisan tempat ini.

Tidak dinafikan sebelum ini ada beberapa penulis sejarah menulis tentang Pagoh secara am terutama bertumpu kepada perjuangan orang Melayu menentang Portugis di Pagoh.

Antara penulis berikut ialah R.O Winstead (History of Johor: 1365-1895), Leonard Y. Andaya (Kingdom of Johore: 1641-1748), Haji Buyong Adil (Sejarah Johor), Abdul Shukor Ismail (Sejarah Ringkas Muar), Haji Saad Dahlan (Kejatohan Kota Pagoh), Haji Aris Tahir (Catatan Sepanjang Sungai Muar) dan Abdul Malek Munip (Bandar Maharani dan Daerah Muar 1884-1920).

Tahun 2021, lembaran baharu dalam catatan Sejarah Pagoh tersingkap apabila seorang anak jati Pagoh, Azman Abdul Rahim berkerat keringat bertahun-tahun lamanya menghasilkan sebuah naskhah yang dikira sangat berharga untuk bumi Pagoh iaitu dalam Merungkai… Sejarah Pagoh.

Buku ini dihasilkan dengan niat murni iaitu menjadi rujukan generasi kini dan akan datang serta melahirkan perasaan jati diri dalam kalangan masyarakat terutama anak Pagoh.

Ia boleh dianggap sebagai salah satu sumber rujukan penting kepada sesiapa yang mahu mencari informasi tentang Pagoh.

Ini kerana, apa yang terkandung dalam buku ini tidak hanya semata-mata tertumpu pada sejarahnya, tetapi turut menyentuh aspek lain iaitu budaya, politik, tokoh tempatan, ekonomi dan sosial.

Penulis merangkumkan fakta pelbagai sumber ke dalam buku ini, bertujuan memudahkan rujukan terhadap Pagoh. Mudah sebagai rujukan masa depan.

Kandungan buku ini dibahagikan melalui garis masa iaitu pembukaan awal, era pascamoden, era penjajahan Jepun, era darurat dan era moden.

BAHASA

Ia turut diselitkan tentang Bahasa orang sungai Muar dan tokoh-tokoh dari Pagoh.

Kandungan gambar yang padat, dapat menarik minat pembaca sekali gus membantu mereka memahami apa yang sedang dibaca.

Buku ini wajib dimiliki oleh orang ramai dan tentu sekali menyasarkan kepada anak Muar dan anak jati Pagoh khasnya.

Naskhah ini dapat membuka minda serta tanggapan bahawa Pekan Pagoh yang selama ini dilihat sebagai pekan pencen sebenarnya sarat dengan peristiwa penting dalam garis masa pensejarahan tanah air.

Harapan selepas terbitnya buku ini, ia dapat dijadikan batu loncatan kepada lebih banyak lagi kajian terhadap Pagoh.

Malah, pihak berwajib juga dapat membuka mata bahawa nilai sejarah, warisan dan budaya yang ada di Pagoh, dapat diangkat lebih tinggi.

Malah turut boleh dijadikan tarikan perlancongan warisan.

Secara tidak langsung, ini juga dapat meningkatkan sektor ekonomi tempatan.

Kompilasi lengkap ini mengangkat dan meletakkan Pagoh ke satu sudut yang sangat istimewa dalam negeri Johor khasnya dan tentunya dalam Malaysia.

Sumbangan: Leftenan Muhammad Syarifuddin Md. Sukor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×