PETALING JAYA: Kempen Tahun Baru Cina Sajian Dikongsi, Kebahagiaan Dirai Maggi baru-baru ini berjaya membawa kegembiraan disamping membantu kebajikan warga emas di lebih 11
rumah jagaan warga tua, yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Kempen ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada rakyat Malaysia dimana sejumlah RM118,000 dana telah berjaya dikumpul daripada 1.18 juta penyertaan yang diterima. Kempen Tahun Baru Cina Sajian Dikongsi, Kebahagiaan Dirai yang berlangsung selama dua bulan mulai Januari sehingga Februari, menyaksikan Maggimenyumbang RM0.10 untuk setiap penyertaan peraduan yang diterima daripada orang ramai.
Sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility, CSR), sumbangan ini disalurkan kepada lebih 11 buah rumah jagaan warga tua di seluruh
Malaysia. Sumbangan ini sekaligus membolehkan usaha menambahbaik fasiliti dan kemudahan rumah-rumah jagaan warga tua tersebut selain pembelian bahan makanan
dan barangan keperluan rumah.
“Selaras dengan janji jenama kami Anda dan Maggi Sajikan Kelainan, kami yakin makanan yang disediakan sendiri di rumah mampu membawa kebaikan dan perubahan positif kepada keluarga dan masyarakat.
“Kami gembira dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia memberi sokongan kepada komuniti warga emas, terutama pada masa sukar sebegini melalui Kempen Tahun Baru Cina Maggi Sajian Dikongsi, Kebahagiaan Dirai.
Ketika kami mengunjungi rumah jagaan warga tua dan menilai keperluan mereka, kami mendapati beberapa buah rumah memerlukan bantuan untuk membaiki bumbung bocor dan saluran paip yang rosak.
“Kami kemudiannya memutuskan untuk menggerakkan dana yang terkumpul bagi memulihkan kemudahan di rumah berkenaan, selain daripada pembelian bahan makanan dan barangan keperluan rumah,” kata Geetha Balakrishna, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad .
Rumah jagaan warga emas yang bakal menerima sumbangan Kempen Tahun Baru Cina Maggi ialah Rumah Orang Tua En Yuan, Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai, Perkampungan Rumah Sejahtera Warga Emas Islam, Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah, Persatuan Rumah Caring Kajang, Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Pusat Penjagaan Noble, Persatuan Bantuan Keluarga Selangor, Persatuan Kebajikan SVM Selangor & Kuala Lumpur, Rumah Kasih Charity Home dan Tong Sim Senior Citizen Care Center .
Sumbangan yang dikumpul melalui kempen ini disalurkan bagi meningkatkan dan memperbaiki kemudahan rumah jagaan warga tua, pembelian peralatan tempat tidur, perabot, produk penjagaan diri, barangan keperluan rumah dan bekalan makanan untuk penghuni di rumah-rumah berkenaan.
Rumah-rumah kebajikan ini mengalami kesulitan kewangan akibat penurunan sumbangan dan aliran pendapatan lain disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.
Menurut Wendy Yap, Pengasas Persatuan Rumah Caring Kajang, purata penjagaan warga emas telah meningkat secara beransur-ansur dan pandemik ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan dana yang tetap bagi keperluan mereka.
“Kami berterima kasih atas sokongan yang kami terima daripada Maggi. Sumbangan yang diterima telah banyak membantu meringankan beban kami dan membawa perbezaan dalam kehidupan warga emas di rumah kami
“Persatuan Rumah Caring Kajang kini menjaga 26 orang warga emas yang menghidapi penyakit mental, ibu bapa tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya,” katanya.
Sebuah lagi rumah jagaan warga tua yang mendapat manfaat Kempen Tahun Baru Cina Maggi Sajian Dikongsi, Kebahagiaan Dirai ialah Perkampungan Rumah Sejahtera Warga Emas Islam.
Wakil biro kebajikan Perkampungan Rumah Sejahtera Warga Emas Islam, Mohd Sani Abdullah telah menyatakan penghargaan beliau terhadap sumbangan yang diterima daripada Maggi, terutamanya masa kini yang bergantung hanya pada sumbangan orang ramai yang semakin berkurangan.
Sumbangan yang diterima oleh mereka termasuk tilam, sistem siaraya, produk Maggi, bekalan makanan dan barangan bukan makanan lain yang telah membantu mengurangkan beban
kewangan mereka yang terjejas akibat pandemik tersebut.
Maggi juga menyumbang dua buah mesin basuh, berserta produk Maggi untuk menampung keperluan 60 warga emas di Pusat Penjagaan Warga Emas Tong Sim.
Kebanyakan penghuni di sini terbiar di hospital oleh anak-anak mereka sendiri tanpa mempunyai maklumat waris. Sebilangan besar orang tua yang tinggal di rumah ini tidak
mampu bergerak dan memerlukan penjagaan kejururawatan.
Selain itu, Maggi turut menyumbang dana biayai kos penambahbaikan rumah seperti mengecat, menggantikan saluran air dan paip untuk Persatuan Kebajikan SVM Selangor Kuala Lumpur, Pusat Penjagaan Noble dan Persatuan Bantuan Keluarga Selangor untuk meningkatkan taraf hidup penghuni di pusat-pusat jagaan warga emas tersebut.










