Bila emosi menguasai akal - Utusan Malaysia

Bila emosi menguasai akal

Dapatkan bantuan pakar sekiranya tidak menemui jalan keluar dalam kemelut rumahtangga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu keganasan rumah tangga dilihat semakin menjadi-jadi ketika ini, sehingga membawa kepada episod pembunuhan antara suami isteri. Ramai yang berkata, untuk mengenali individu, kenali dulu corak marahnya.

Sama ada suka naik tangan atau capai itu dan ini sebagai alat untuk memuku. Sejauh mana kebenarannya?
Pegawai Psikologi Hospital Bahagia Ulu Kinta, Fahmi Abd. Talib, berkongsi punca dan cara mengatasi permasalahan ini agar dapat memberi iktibar dalam perhubungan suami isteri.

SERI: Punca mendorong berlaku perbalahan sehingga suami atau isteri mengambil keputusan membunuh?
JAWAPAN:
Terdapat pelbagai faktor mempengaruhi akal untuk melakukan tindakan seperti ini. Si pelaku berkemungkinan mengalami gangguan emosi yang teruk sehingga mempengaruhi pemikiran dan menjadi tidak waras.

Individu berkenaan berhadapan dengan situasi buntu apabila tiada lagi jalan penyelesaian berkaitan konflik perkahwinannya.

Selalunya tindakan diambil apabila pasangannya membuat keputusan untuk berpisah.

Faktor mempengaruhi gangguan emosi keterlaluan juga boleh dikaitkan dengan faktor kecenderungan diri menggunakan keganasan sebagai jalan penyelesaian kepada sebarang konflik.

Individu yang mempunyai kecenderungan melakukan keganasan akan menggunakan kaedah ini dalam interaksi dengan tujuan mempengaruhi dan menguasai pasangannya.

Sejarah keganasan rumah tangga boleh dijadikan indikator kepada faktor penyebab kepada keadaan ini.

Faktor pemakanan mempengaruhi kadar naik angin?
Penyalahgunaan dadah seperti methamphetamine akan menyebabkan gangguan kefungsian otak dan meningkatkan risiko gangguan emosi dan fikiran.

Corak interaksi pasangan dalam menyelesaikan konflik turut menjadi faktor penyebab.

Pendekatan tidak konstruktif seperti kegagalan menetapkan peraturan sewaktu berkonflik akan menyebabkan pasangan berkenaan berterusan berhadapan konflik.

Apakah petanda pasangan menunjukkan tingkah laku pelik sebelum kejadian tidak diingini berlaku?
Sukar untuk ditentukan tanda-tanda sebelum kejadian berkenaan.

Walaubagaimanapun, sejarah keganasan yang dilakukan pasangan boleh dijadikan asas untuk berjaga-jaga. Lihat tindakan dilakukan sewaktu marah, dalam insiden sebelum itu.

Kaedah terbaik untuk mengatasi ?
Sesebuah rumah tangga perlu mempunyai set peraturan dalam menguruskan konflik. Contohnya apabila konflik berlaku, ia boleh dibicangkan di dalam keadaan emosi masing-masing terkawal.

Jika keadaan tidak terkawal sehingga menggunakan kekerasan, maka perlu mendapatkan bantuan.

Jika berterusan?
Jika keganasan ini berterusan dan terdapat ancaman yang dikenalpasti, kaedah menjauhkan diri daripada pasangan boleh mengelakkan kejadian menjadi semakin buruk.

Sentiasa pastikan ada satu tempat selamat yang boleh dituju dan individu yang boleh memberikan bantuan sekiranya kelihatan seperti akan berlaku konflik yang serius.

Pasangan yang mempunyai isu kemarahan perlu mendapatkan bantuan kaunseling atau psikoterapi.

Jika perlu, bantuan psikiatris juga diperlukan untuk kes-kes yang serius seperti gangguan mental.

Bantuan seperti ini dapat membantu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini dalam rumah tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×