Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka melangkah ke hadapan dengan melancarkan projek berimpak tinggi di Kampus Alor Gajah iaitu projek Wakaf Dusun Ilmu (WaDI).
Menurut Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Dr. Abd. Halim Mohd. Noor, projek Wakaf Dusun ilmu itu dilihat sebagai satu idea untuk merealisasikan persekitaran yang bertemakan pembangunan teknologi-hijau.
Katanya, projek itu adalah integrasi dusun buah-buahan dengan elemen rekreasi seperti trek joging, trek berbasikal, kolam, trek aktiviti lasak (Palape), gazebo dan sebagainya yang akan dinaik taraf oleh Unit Ko-kurikulum UiTM Melaka.
“Antara pokok yang bakal ditanam di kawasan seluas lebih dua ekar ini ialah durian Musang King, pokok manggis, pokok rambutan, cempedak, kelapa pandan dan lain-lain.
“Keluasan tapak projek yang menelan belanja hampir RM150,000 ini merupakan sebahagian dari peruntukan 20 ekar tanah yang telah dibersihkan untuk tujuan penanaman nanas MD2,” katanya.
Pengenalan projek itu antara lain bagi menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi agar universiti awam berusaha menjana pendapatan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.
Selain itu, projek ini juga sebagai usaha menjadikan UiTM kampus Alor Gajah sebuah institusi pendidikan yang indah, ceria dan kondusif.
Sementara itu, Koordinator Unit Zakat, Wakaf dan Sedekah (EL-WAZIF) UiTM Cawangan Melaka, Muaz Mohd. Noor berkata, proses penanaman 140 lebih anak pokok ini bermula awal Februari lalu.
Katanya, dijangka ia mengambil masa tiga ke lima tahun sebelum hasil tanaman ini dapat dituai.
Dianggarkan pokok-pokok ini akan mengeluarkan hasil pada tahun kelima dengan nilai anggaran RM227,800 semusim.
“Hasil jualan buah-buahan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti dan masyarakat setempat. Ini termasuk menubuhkan kumpulan keusahawanan pelajar, bantuan kepada pelajar kategori asnaf miskin dan lain-lain.
“Hasil tanaman ini juga akan dibekalkan kepada warga kampus dan masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, UiTM Melaka menerima sumbangan wakaf anak pokok pertama bagi projek wakaf iaitu kira-kira 40 anak pokok kelapa jenis Mataq. Ia hasil sumbangan para pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Melaka.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pusat ACIS, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno kepada Dr. Abd Halim.
Dalam majlis ringkas itu, Dr. Abd. Halim mengetuai aktiviti menanam anak pokok pertama di tapak projek WaDI.
Ia sebagai simbolik bermulanya fasa penanaman pokok buah-buahan pelbagai jenis di tapak projek itu.
Mereka yang ingin berwakaf boleh menyumbang ke akaun Wakaf Dusun Ilmu UiTM Melaka, melalui aplikasi QR Code, potongan gaji, menyertai skim Saham Wakaf atau pembelian lot-lot kecil WaDI.
Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam nombor 0402-4010-0176-52 (rujukan ‘Wakaf Dusun Ilmu’).










