Kurus, langsing perlukan kaedah betul - Utusan Malaysia

Kurus, langsing perlukan kaedah betul

Pemakanan dan aktiviti fizikal perlu seimbang dalam mendapatkan berat badan idaman. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, penampilan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bertubuh langsing dalam persalinan kurung Pahang, mencipta kekaguman dalam kalangan warganet. Maka ramai menyimpan niat tampil anggun seperti Rina.

Namun, realitinya proses penurunan berat badan, bukanlah terlalu mudah dan boleh dibuat sambil lewa. Ketua Jabatan Diet dan Dietetik Hospital KPJ, Nor Lizawati Che’ Lah menjelaskan, pemakanan seimbang mengikut piramid makanan membantu mendapatkan tubuh ideal.

Nor Lizawati Che’ Lah.

“Untuk mendapatkan berat badan tersebut, seseorang itu bukan sahaja perlu mengawal pemakanan tetapi juga perlu keseimbangan dengan aktiviti fizikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berat badan ideal ialah julat indeks jisim tubuh normal iaitu 18.5 hingga 24.9kg/m2.

Walaupun piramid makanan boleh dijadikan panduan, ada juga pihak menyarankan cara pemakanan khusus seperti diet puasa (intermitten fasting) dan diet karbohidrat.

DIET PUASA
Pengamal diet puasa mendakwa berjaya menurunkan berat badan namun mengakui ada kesan sampingan seperti perubahan mood yang ketara dan mengidap gangguan psiko sosial.

Perubahan itu berlaku berikutan ada sesetengah cuba mengelakkan makan bersama keluarga dan sebagainya. Ada juga berdepan dengan kelesuan atau keletihan melampau kerana peningkatan aktiviti fizikal tidak seimbang. Dengan kata mudah tidak kena waktu.

Ada juga individu berdepan masalah pencernaan jika makan dalam kuantiti banyak dalam satu masa.

Mereka berkemungkinan mengalami peningkatan berat badan mendadak jika berhenti mengamalkan diet tersebut. Perubahan mendadak pada sistem dan proses badan yang normal, akan mendatangkan kesan kepada badan.

DIET KARBOHIDRAT
Kebanyakan diet jika pengambilan kalori lebih rendah daripada digunakan, boleh menyebabkan penurunan berat badan termasuk diet rendah karbohidrat iaitu kalori diambil rendah.

Tetapi jika individu makan jumlah kalori sama, ia tidak akan menurunkan berat badan.

Apabila individu mengehadkan pengambilan karbohidrat, terutama buah, sayur dan bijirin, ia boleh mengakibatkan kekurangan mikro nutrien seperti fiber, vitamin, mineral dan antioksidan.

BARIATRIK
Pembedahan bariatrik biasanya disarankan untuk individu yang gagal menurunkan berat badan selepas mengikuti program penurunan berat badan secara semulajadi iaitu pengawalan makanan dan senaman secara rutin.

Pembedahan umumnya disarankan kepada individu mempunyai BMI (IJT) melebihi 40kgm-2 atau mempunyai masalah perubatan seperti obesiti.

Berat badan ideal ialah julat indeks jisim tubuh normal iaitu 18.5 hingga 24.9kg.

Nor Lizawati berkata, ramai mahukan berat badan ideal namun gagal kerana cara diikuti salah atau tidak konsisten dalam pengawalan makanan dan melakukan senaman atau aktiviti fizikal.

“Usah meniru cara individu lain menurunkan berat badan. Setiap orang berbeza dan unik. Sebaiknya jumpa jurulatih kecergasan, pakar diet atau pemakanan, bincang cara terbaik tentang program penurunan berat badan sesuai,” katanya.

Keperluan senaman teratur
Orang ramai perlu tahu bahawa tidak ada jalan mudah untuk mengurangkan berat badan. Itu pesanan Perunding Kecergasan Giant Active, Hisamuddin Abdul Jalil. Beliau mendedahkan, ada pendapat mengatakan penurunan berat badan hanya melibatkan 20 peratus aspek senaman manakala 80 peratus pengawalan pemakanan.

Namun, konsep itu katanya, sering diguna pakai pengusaha produk.

Tegasnya, diet seimbang dan bersenam merupakan salah satu cara mendapatkan fizikal sihat.

Hisamuddin Abdul Jalil.

“Jika keadaan fizikal sihat dan cergas, anda boleh melakukan apa sahaja pekerjaan dengan maksimum,” katanya.

Ujarnya, bersenam tidak sama dengan bersukan.

Senaman satu bentuk aktiviti fizikal atau rekreasi menyeronokkan dirancang dan diulang-ulang, dilakukan untuk meningkatkan status kesihatan dan tahap kecergasan.

Sementara kecergasan adalah keadaan fizikal individu yang membolehkan ia melakukan aktiviti harian dengan efektif, mengambil bahagian dalam sukan atau aktiviti riadah tetapi masih mempunyai tenaga mencukupi ketika waktu kecemasan.

Katanya kecergasan boleh ditingkatkan dengan senaman bersesuaian.

“Sejujurnya, jika anda ingin menguruskan atau mengurangkan berat sekitar 20 kilogram contohnya, ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun.

“Justeru penurunan berat badan sihat dan realistik memang mengambil masa.

“Ada individu yang melakukan pembedahan bariatrik untuk kurus dan kesannya mungkin lebih pantas tetapi golongan ini masih memerlukan gaya hidup sihat,” katanya.

Tegasnya, paling mustahak adalah disiplin dan konsisten dengan mengamalkan keseimbangan pemakanan sihat.
Selain itu, lakukan senaman secara teratur dan bersesuaian dalam merealiasikan berat badan idaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN