HTC pintu usahawan teroka produk tradisional - Utusan Malaysia

HTC pintu usahawan teroka produk tradisional

Kerja-kerja pembersihan dan pengasingan bahan mentah herba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Potensi industri herba di negara ini amat tinggi. Berdasarkan statistik Kementerian Pembangunan Usahawan, nilai pasaran industri herba tempatan dianggarkan mencapai angka RM32 bilion pada tahun lalu dengan kadar pertumbuhan antara lapan hingga 15 peratus setahun.

Pertumbuhan pesat tersebut adalah berdasarkan kepada peningkatan penerimaan produk herba dalam pelbagai bentuk seperti produk ubatan tradisional, makanan fungsian, makanan kesihatan tambahan, produk penjagaan diri semula jadi serta kosmetik dalam kalangan masyarakat yang semakin peka terhadap penjagaan kesihatan diri mereka.

Berikutan permintaan tinggi terhadap herba, ramai usahawan terutama pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mula ingin menceburi industri herba untuk menghasilkan produk bermutu tinggi bagi memudahkan pengguna membelinya.

Walaubagaimana pun, tidak semua produk herba boleh dihasilkan dan dipasarkan dengan mudah tanpa perlu mematuhi peraturan pihak berautoriti. Ini kerana industri ini juga tertakluk kepada peraturan dan undang undang tertentu.

Ini disebabkan produk herba walaupun berkhasiat tetapi juga boleh mendatangkan mudarat jika disalah guna atau disediakan dalam persekitaran yang tidak terkawal dan kotor.

Sebagai contoh, berdasarkan Peraturan Kawalan dadah dan Kosmetik 1984, semua produk herba yang diklasifikasi di bawah produk tradisional, wajib mendapat kelulusan dan berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan.

Pendaftaran tersebut dapat memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk yang dipasarkan adalah selamat dan berkualiti kerana telah menjalani beberapa siri ujian keselamatan seperti ujian kandungan mikroorganisma, ujian tahap kandungan logam berat dan ujian tahap kestabilan produk.

Selain itu produk tradisional juga perlu diproses dan dibangunkan di premis atau fasiliti yang mendapat pengiktirafan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk membolehkan ia didaftarkan di NPRA sebelum dipasarkan.

Meskipun peraturan ini dapat melindungi pengguna namun menjadi cabaran kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk menghasil dan memasarkan produk kerana melibatkan kos pengeluaran yang tinggi dalam menyedia fasiliti berstatus GMP serta mematuhi peraturan pasaran tempatan dan antarabangsa yang ketat.

Justeru, sehingga kini masih banyak lagi produk tradisional yang tidak berdaftar dan dijual secara meluas di pasaran tempatan. Ia dibuktikan dengan nilai rampasan menjangkau RM2.55 juta oleh Kementerian Kesihatan pada awal tahun lalu.

Justeru bagi meningkatkan keyakinan pengguna dan industri herba lebih dipercayai, ada keperluan untuk memastikan produk herba yang dihasilkan benar benar berkualiti, selamat digunakan dan khasiatnya dipastikan berdasarkan kepada analisis atau bukti saintifik.

Berdasarkan kepada faktor tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menubuhkan Pusat Teknologi Herba (HTC), FRIM yang pada 2005.

Penubuhannya bertujuan membantu usahawan mengatasi isu keyakinan dalam kalangan pengguna supaya dapat menepis tanggapan khasiat yang ada dalam produk yang dinyatakan bukanlah dakwaan semata-mata HTC yang dilengkapi dengan fasiliti dan peralatan pemprosesan herba bersatus GMP yang berkeupayaan menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat.

Menurut Ketua Pusat HTC FRIM, Dr. Zamree Md. Shah, produk yang dibangunkan melalui HTC layak untuk didaftarkan di NPRA dan dengan itu membuka pintu kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka di pasaran tempatan dan luar negara.

Dr. Zamree Md. Shah menunjukkn antara produk yang dihasilkan menerusi pengilangan di HTC FRIM.

“HTC telah menerima Lesen Pengilang Produk Tradisional daripada NPRA sejak 2011 membolehkannya memyediakan perkhidmatan pengilangan produk tradisional kepada usahawan herba khususnya PKS yang masih belum mempunyai fasiliti pemprosesan berstatus GMP.

“Terkini di bawah projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) HTC telah mempertingkatkan peupayaan dan kapasiti pemprosesannya dalam menghasilkan produk separa siap berbentuk ekstrak terpiawai dan produk siap kapsul pada skala komersial.

“Ini selaras dengan hasrat dan inspirasi kerajaan untuk memperkasa industri herba sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Beliau berkata, HTC mempunyai kelebihan kerana ia menjadi pilihan utama usahawan herba untuk mendapatkan perkhidmatan teknikal berbanding syarikat lain.

Ini termasuk integriti sebagai sebuah agensi kerajaan yang dapat menjaga hak intelek produk pelanggan, fasiliti yang lengkap dan mematuhi keperluan pasaran, perkhidmatan nilai tambah dengan khidmat nasihat dan penyelidikan dan pembanguna (R&D) dan caj perkhidmatan yang berpatutan.

Kerjasama lebih 500 organisasi
Menurut Zamree Md. Shah, setakat ini sebanyak 508 organisasi terdiri daripada syarikat dan individu telah mendapatkan perkhidmatan Pusat Teknologi Herba (HTC) sejak 2006 hingga kini.

Perkhidmatan yang diperoleh adalah menerusi aktiviti pengilangan kontrak yang disediakan

Dari 2016 hingga 2019, sebanyak 19 syarikat telah melantik HTC sebagai pengilang kontrak produk berdaftar mereka, Daripada itu sebanyak 25 jenis produk tradisional berbagai jenama dalam bentuk kapsul dihasilkan.

Beliau berkata, perkhidmatan pengilangan kontrak produk tradisional tersebut mula ditawarkan di HTC pada 2014 dan FRIM akan terus komited menyokong usahawan-usahawan herba dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Proses penghasilan produk kapsul herba.

Katanya, secara kumulatif, HTC menghasilkan 17,069 unit produk kapsul dari tahun 2016 hingga 2019, Berdasarkan harga jualan pula, anggaran nilai produk yang dihasilkan di HTC untuk syarikat-syarikat terbabit bernilai RM10 juta dengan purata peningkatan sebanyak 35 peratus setahun.

“Nilai ini diunjurkan untuk meningkat kepada RM25 juta pada tahun 2022,” ujarnya.

Beliau berkata, perkhidmatan yang ditawarkan oleh HTC disasarkan terutama kepada industri herba seperti pengusaha kecil dan sederhana, agensi penyelidikan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan syarikat farmaseutikal.

HTC katanya, juga menerima Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi mengeluarkan produk ubatan tradisional dalam bentuk kapsul dan tablet pada 2007 dan memperoleh Natural Product Development oleh Biotech Corp. pada 2011.

Selain itu, pusat tersebut juga menerima lesen pengilang bagi mengeluarkan produk ubatan tradisional dalam bentuk kapsul dan tablet pada 2011 serta Sijil Pengesahan Halal daripada

Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) pada 2016 untuk memastikan produk yang dihasilkan adalah bersih dan halal serta dapat menambah nilai kualiti produk
Setakat ini HTC mempunyai 13 tenaga yang pakar dalam bidang masing-masing.

Bahan yang digunakan
• Bahan herba kering akan melalui ujian kualiti dan keselamatan di makmal terpilih.

• Bahan herba yang telah lulus ujian makmal akan melalui proses pengekstrakan menggunakan air suling sebagai bahan pelarut dan kemudian dipanaskan atau direbus mengikut tahap darjah kepanasan dan tempoh masa tertentu.

• Air rebusan herba atau ekstrak herba dalam bentuk cecair yang diperoleh selepas proses pengekstrakan akan menerusi proses pemekatan dan pengeringan untuk menghasilkan esktrak kering dalam bentuk serbuk.

• R&D formulasi dijalankan untuk menentukan dos produk akhir dengan mencampurkan ekstrak serbuk kering dan bahan tambahan (excipient) tertentu.

• Formulasi ekstrak yang diperoleh akan melalui proses pengkapsulan produk siap sama ada dalam bentuk botol atau pek lepuh, pelabelan dan pembungkusan.

• Produk siap akan menjalani ujian kualiti dan keselamatan di makmal terpilih.

• Pendaftaran produk siap di NPRA.

• Produk siap yang lulus pendaftaran akan diberikan no. pendaftaran MAL dan pelekat hologram oleh NPRA.

• Proses pengilangan produk berdaftar secara komersial.

• Pemasaran dan penjualan produk oleh pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×