Pelajar cipta sensor kesan kualiti air - Utusan Malaysia

Pelajar cipta sensor kesan kualiti air

PEMENANG Pertandingan Solve for Tomorrow 2020 bergambar ceria selepas menerima keputusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IDEA mencipta sensor pencemaran air dan gangguan bekalan air dengan memantau kualiti air pada masa sebenar menjadikan Kumpulan AIR dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara muncul juara pertandingan Solve for Tomorrow 2020.

Ketua Kumpulan AIR, Hafiy Addin Hizamel dalam reaksi kemenangan itu berkata, melalui penyelesaian berasaskan kaedah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sensor dapat memantau dan memindahkan data mengenai kualiti air menggunakan aplikasi Internet of Things (IOT) dan memantaunya dalam masa sebenar.

Inovasi itu membolehkan operator air menguruskan bekalan air dengan lebih baik dan meminimumkan isu gangguan bekalan air.

Katanya, idea itu diperoleh selepas gangguan bekalan air kerap berlaku terutamanya di Lembah Klang.

“Oleh kerana kualiti air dipantau secara manual oleh operator bekalan air, menyebabkan pengesanan lewat sekiranya berlaku sebarang pencemaran. Ia seterusnya membawa kepada penutupan loji rawatan air.

“Gangguan air dapat dielakkan sekiranya operator bekalan air menerima isyarat amaran awal apabila sungai tercemar melebihi had yang dibenarkan, ini akan membolehkan mereka menutup pam dan menyelamatkan loji rawatan,” katanya.

PROTOTAIP kumpulan AIR yang berjaya merangkul gelaran juara.

Selain Hafiy Addin, kumpulan itu terdiri daripada Nur Auni Faqihah Fakhrurrazi dan Ayuni Illya Azmy.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah produk Samsung bernilai sehingga RM16,900 kepada sekolah manakala setiap pelajar menerima produk jenama itu sehingga RM7,000.

Bagi Ayuni Illya pula, beliau berterima kasih kepada guru pembimbing, Noraini Mohd. Zain.

“Tanpa bimbingan cikgu, kumpulan kami tidak akan muncul sebagai juara dalam membangunkan penyelesaian mengesan pencemaran dan mengelakkan gangguan bekalan air,” katanya.
Solve for Tomorrow 2020 berlangsung 16 Disember lalu secara pembentangan maya.

Pertandingan anjuran bersama Samsung Malaysia dan Pusat STEM Universiti Malaya (UM) itu bertujuan merangsang sifat ingin tahu pelajar dan menanam minat mereka terhadap STEM. Antara penal juri pertandingan ialah Ketua Pusat STEM UM, Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Samsung Malaysia Electronics, Datuk Roh Jae Yeol, Naib Canselor Bersekutu (Rangkaian Industri dan Komuniti), UM, Prof. Dr. Rofina Yasmin Othman, dan Kumpulan Kepentingan Biodiversiti, Akademi Sains Malaysia, Professor Dato Dr. Mohamed Shariff Mohamed Din.

INOVATIF
Jae Yeol berkata pihaknya kagum dengan pemikiran inovatif di luar kotak dipamerkan peserta.

“Mereka berupaya membangunkan penyelesaian bermakna kepada masalah dihadapi masyarakat, bertepatan dengan matlamat pertandingan antara lain memupuk pemikiran inovatif, penyelesaian masalah kreatif dan kerja berpasukan,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan EUNOIA dari SMK (P) Sri Aman. Mereka tampil dengan idea BreatheWall iaitu dinding hijau untuk kehidupan pintar bagi mengurangkan pencemaran udara dan bunyi bising.

Kumpulan STEM dari SMK Sri Utama yang mencipta aplikasi pengecaman wajah dilengkapi data individu sebagai alternatif Kod QR digunakan untuk pengesanan Covid-19 muncul tempat ketiga. Masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM13,500 dan RM10,000.

Sementara itu, Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar percaya pertandingan sedemikian membantu mengukuhkan pengetahuan STEM dalam kalangan pelajar pada masa sama menggalakkan golongan muda berfikir secara kreatif, mengenal pasti masalah seterusnya menanganinya melalui idea baharu untuk membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Idea dan penyelesaian kami terima daripada peserta, praktikal dan berkesan dalam menyelesaikan masalah kita hadapi hari ini. Saya harap pertandingan ini akan terus memupuk inovasi dan pemimpin STEM masa depan di negara kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×