BAHARU seminggu 2021 menyingkap hari, bagaimana dengan azam yang di tanamkan penghujung 2020? Masih terlalu awal untuk menilainya atau bagaimana? Memastikan azam on track, ini jawapan Pensyarah Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Prof. Madya Dr. Siti Norlina Muhamad. Beliau juga Ahli Lembaga Pelawat Hospital Psikiatris, Hospital Permai, Johor.
Seri: Sejauh mana azam kita on track?
Sebelum berbincang lebih lanjut tentang azam, wajar kita semak semula, adakah azam kita realistik atau hanya angan-angan.
Ada segelintir individu gemar menyenaraikan banyak azam pada awal tahun, hingga akhirnya hilang fokus. Sebelum terlambat, pastikan semula azam anda adalah berfokus dan tidak terlalu banyak.
Satu azam yang berfokus dan realistik lebih baik berbanding tiga azam yang tidak berfokus. Sebab azam lebih mudah dicapai jika dikecilkan skop, berfokus dan jelas.
Yang penting semaikan tekad yang jitu untuk memperbaiki diri dan berazam menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya dalam semua aspek kehidupan.
Perlukah kita mencatat perkembangan setiap bulan?
Tidak semestinya. Yang penting perlu fokus kepada satu matlamat pada satu masa.
Catatan adalah sekadar mengingatkan diri terhadap azam kita. Melakukan catatan bulanan dikhuatiri sampai satu tahap, ia dirasakan menjadi satu bebanan. Lebih baik azam disusun mengikut skop tertentu.
Contohnya, azam untuk meningkatkan amal ibadah, azam untuk pemantapan keluarga, azam peningkatan kerjaya, azam penambahbaikan sumbangan kepada masyarakat dan sebagainya.
Apa yang penting, jangan bertangguh melakukan yang terbaik dalam kehidupan seharian, sementara peluang masih ada. Tahun bersilih ganti menunjukkan usia kita makin bertambah, kian menghampiri hari tua dan saat kematian.
Siapakah yang patut pantau kejayaan kita membina azam? Wajarkah ia dikongsi di media sosial?
Azam adalah matlamat dan perancangan hidup yang kita ingin kejar tahun ini. Lebih baik kita sendiri memantaunya, supaya masalah dan halangan yang berlaku dapat kita fahami dengan baik.
Ia turut membantu kita melakukan penambahbaikan dalam memastikan azam tahun baru ini dapat dicapai. Walau bagaimanapun tidak salah meminta bantuan orang yang rapat dengan kita untuk memantau kejayaan merealisasikan azam tersebut.
Kalau gagal melakukan sebarang pencapaian dalam minggu pertama ini, apakah langkah perlu lakukan?
Kegagalan melakukan sebarang pencapaian, bukan bermakna azam tersebut sudah berkubur. Kajian menunjukkan 75 peratus individu mencipta azam tahun baharu akan tergelincir selepas dua bulan pertama. Oleh itu bantu diri untuk kembali fokus menggapainya.
Tips memastikan individu kekal dengan azam dicipta?
Pastikan dulu azam yang kita letakkan itu adalah sederhana, bukan terlalu rumit dan sukar.
Azam sederhana, lebih mudah dicapai dan menjadikan kita bersemangat melaksanakannya. Sebagai contoh, azam menabung RM200 setiap bulan lebih senang untuk direalisasi berbanding azam menyasarkan tabungan RM10,000 setahun.
Niat mencapai azam mesti disusuli usaha bersungguh-sungguh, sebelum menyerahkan kepada takdir.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. (ali-Imran: 159)










