Kisah Nabi Isa al-Masih - Utusan Malaysia

Kisah Nabi Isa al-Masih

ANTARA keistimewaan Nabi Isa adalah boleh berkata-kata semasa masih bayi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita baru sahaja memasuki tahun baharu Masihi 2021. Kiraan kalendar ini menunjukkan bahawa Nabi Isa al-Masih yang merupakan putera Saidatina Maryam dilahirkan sejak 2021 tahun lalu. Hari kelahiran baginda adalah hari yang diberkati Allah SWT.

Ia sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT menerusi sabda Nabi Isa al-Masih yang bermaksud: Kesejahteraan buatku pada hari daku telah dilahirkan, pada hari yang daku bakal wafat dan pada hari daku bakal dibangkitkan sebagai seorang yang hidup (semula). (Maryam: 33)

SEKILAS MENGENAI NABI ISA

Nabi Isa a.s ialah seorang rasul yang diutuskan Allah SWT kepada golongan Yahudi yang berketurunan Nabi Allah Yaakub a.s.

Allah telah mentakdirkan bahawa tidak ada seorang nabi pun yang diutuskan di antara zaman kenabian Nabi Isa a.s dengan Nabi Muhammad SAW. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis yang bermaksud: Saya adalah yang paling berhak terhadap Isa putera Maryam di dunia dan akhirat”. Para sahabat bertanya kepada Baginda: Bagaimana wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Para Nabi adalah adik-beradik dari ayah yang sama manakala ibu-ibu mereka pula adalah berbeza-beza. Agama mereka semua adalah satu. Maka tidak ada di antara kami (berdua) sebarang Nabi (yang diutuskan). (Riwayat Muslim)

Ahli sejarah menyatakan jarak waktu antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad adalah 572 tahun. Ini bermakna moyang Rasulullah SAW yang bernama ‘Adnan adalah sezaman dengan Nabi Allah Isa a.s.

Nabi Isa al-Masih juga ialah salah seorang rasul Ulul Azmi iaitu para rasul yang menerima ujian paling berat berbanding rasul yang lain.

KELAHIRAN YANG MENAKJUBKAN

Allah telah menjadikan kelahiran Nabi Isa a.s sebagai satu penciptaan yang menakjubkan sebagaimana Allah menciptakan Nabi Adam a.s dengan penuh keajaiban.

Hal ini Allah jelaskan menerusi firman-Nya di dalam Surah Ali Imran ayat ke-59 yang bermaksud: Sesungguhnya perumpamaan Isa di sisi Allah adalah seperti perumpamaan Adam. Dia (Allah) telah menciptakan Baginda (Adam) daripada tanah. Kemudian Dia telah berfirman kepada Baginda: Jadilah. Lalu Baginda menjadi (seorang manusia).

Allah ingin menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya yang tidak terbatas dengan cara Allah SWT menciptakan Nabi Adam a.s tanpa ayah dan ibu manakala Nabi Isa a.s pula diciptakan oleh Allah SWT beribu tidak berbapa.

SANG IBU YANG DITOHMAH

Saidatina Maryam, sang gadis perawan yang suci iaitu Nabi Isa a.s ditohmah sebagai penzina oleh masyarakat Bani Israel kerana si ibu melahirkan anak tanpa bapa.

Ini bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana golongan Yahudi sangat terkenal dengan sikap berprasangka buruk kepada para nabi dan orang soleh dalam kalangan mereka.

Allah SWT telah membela Saidatina Maryam yang suci di dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan Maryam anak perempuan Imran yang telah memelihara bukaan bajunya. Lalu Kami telah meniupkan padanya akan ruh [ciptaan] Kami. Beliau (iaitu Mayyam) telah membenarkan kalimah-kalimah tuhannya dan (beliau juga telah membenarkan) kitab-kitab (yang telah diturunkan oleh) Dia. Beliau (iaitu Maryam) adalah (termasuk) daripada orang-orang yang mentaati (Allah). (al-Tahrim: 12)

Ketika Bani Israel memaksa Saidatina Maryam menjelaskan siapakah bapa kepada Nabi Isa yang baru sahaja lahir ketika itu, beliau tidak menjawab sama sekali desakan mereka kerana beliau diperintahkan oleh Allah SWT agar tidak berbuat demikian.

Sebaliknya sang ibu yang mulia ini hanya memberi isyarat agar mereka bertanya langsung kepada sang bayi.

Kaum Bani Israel tercengang dan menganggap bahawa Saidatina Maryam ingin mempermain-mainkan mereka. Mereka berkata: “Bagaimanakah kami mahu berbicara dengan seorang bayi”? Akhirnya Allah menjadikan Nabi Isa a.s yang masih bayi bersabda kepada mereka dengan begitu fasih.

Ia seperti yang termaktub di dalam firman Allah yang bermaksud: Baginda telah bersabda: Sesungguhnya daku adalah hamba Allah. Dia telah memberikan kitab kepadaku dan Dia telah menjadikanku seorang Nabi. Dia telah menjadikanku seorang yang diberkati di mana sahaja daku telah berada dan Dia telah mewasiatkanku dengan solat dan zakat selagi daku masih hidup. (Dia juga telah menjadikanku) seorang yang berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikanku seorang yang berlagak sombong lagi seorang yang celaka. Kesejahteraan buatku pada hari daku telah dilahirkan, pada hari yang daku bakal wafat dan pada hari daku bakal dibangkitkan sebagai seorang yang hidup (semula). (Maryam: 30-33)

BUKTI KUASA ALLAH

Para malaikat sebelum kelahiran Nabi Isa a.s telah memberi khabar gembira kepada Saidatina Maryam tentang kelahiran puteranya yang penuh dengan keajaiban.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Tatkala para malaikat telah berkata: Wahai Maryam. Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepada anda dengan satu kalimah daripada-Nya. Nama Baginda adalah al-Masih Isa putera Maryam dalam keadaan Baginda adalah seorang yang punya kedudukan di dunia dan akhirat dan baginda adalah (termasuk) daripada mereka yang didekatkan (dengan Allah). Baginda akan berbicara dengan manusia ketika (Baginda masih dibaringkan) di katil bayi dan (Baginda juga akan berbicara dengan manusia) dalam keadaan Baginda sudah dewasa. Baginda adalah (termasuk) daripada (kalangan) orang-orang yang salih. (ali-Imran: 45-46)

Ayat di atas ingin menyatakan kekuasaan Allah SWT yang menyalahi adat kebiasaan yang berlaku kepada Nabi Isa a.s iaitu kemampuan bercakap semasa baginda masih bayi dan baginda akan berbicara semasa berusia dewasa.

Kebiasaannya, orang dewasa yang boleh bercakap bukanlah satu perkara yang menghairankan. Namun apabila ayat surah ali-Imran di atas ingin menyatakan satu kelainan yang berlaku kepada Nabi Isa a.s sewaktu baginda berbicara setelah dewasa.

Ayat ini sebenarnya ingin menyatakan bahawa Nabi Isa setelah diangkat ke langit akan turun semula ke bumi dan akan berbicara dengan manusia apabila baginda turun semula di akhir zaman.
Penurunan semula Nabi Isa ke bumi suatu hari nanti turut dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis baginda.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi (Allah) yang diriku di dalam (genggaman) tangan (kekuasaan-Nya). Sudah hampir (masanya untuk) putera Maryam turun (dari langit) kepada kamu semua sebagai seorang pemimpin yang adil. Lalu Baginda akan mematahkan palang salib, akan membunuh babi dan akan menghapuskan jizyah. Harta akan melimpah-ruah sehingga tidak ada seorang pun yang (mahu) menerimanya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×