Kesihatan mental kanak-kanak perlu dapat perhatian serius - Utusan Malaysia

Kesihatan mental kanak-kanak perlu dapat perhatian serius

KANAK-KANAK generasi masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI salah satu persediaan dan perancangan untuk tahun 2021, saya telah membuka ruang pertanyaan di laman Instagram untuk pengikut saya mencadangkan aspek kesihatan mental patut saya fokuskan tahun hadapan. Kira-kira 80 peratus maklum balas diterima lebih mengutamakan aspek kesihatan mental dalam kanak-kanak.

Perkara tersebut merupakan saat pahit manis untuk saya, kerana ini menunjukkan bahawa isu yang saya minati turut dirasai oleh masyarakat. Namun begitu, isu ini juga menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

TENGKU PUTERI RAJA TENGKU PUTERI IMAN AFZAN Al-SULTAN ABDULLAH

Beberapa kondisi kesihatan mental seperti anxiety, juga dikenali sebagai kegelisahan, bermula dari zaman kanak-kanak dan belia. Kebanyakan orang dewasa sedar dan faham akan keadaan tersebut namun, kanak-kanak mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami masalah kesihatan mental.

HANYA 20 PAKAR
Statistik sejak beberapa tahun lepas melakarkan gambaran suram. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS) menyatakan bahawa 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental.

Sementara itu, Malaysian Medics International dan CodeBlue menyatakan bahawa Malaysia hanya mempunyai 20 pakar psikiatri berdaftar dan kebanyakannya di Selangor. Saya percaya dan yakin bahawa pencegahan lebih baik daripada merawat. Lantaran itu pendidikan kesihatan mental perlulah di ketengahkan untuk menangani dan mencapai matlamat pencegahan tersebut.

PELABURAN
Saya ingin melihat lebih banyak pelaburan dan usaha dalam aspek kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia dilakukan. Ini termasuk ketahanan dan ketabahan mental dalam pendidikan awal supaya kanak-kanak boleh belajar mengurus tindak balas emosi negatif. Antaranya pengasingan dan penghinaan sosial. Malah pengalaman negatif seperti kejadian buli. Ini kerana kejadian tersebut bukan hanya membawa kecederaan fizikal, sebaliknya kecederaan psikologi mendalam juga.

Saya risau dengan peningkatan kes buli yang membimbangkan, berlaku di halaman siber dan media sosial. Pembulian siber menyebabkan mangsa kurang sifat keyakinan diri. Mereka turut berisiko mengalami trauma psikologi dalam jangka masa panjang.

BERMULA SEKARANG
Bagaimanapun, ini tidak bermaksud kita harus melakukan perubahan dari awal. Sebaliknya, kita boleh bermula dengan apa yang sedia ada. Sebagai contoh, selain ibu bapa, guru-guru sekolah juga boleh dilatih mengesan tanda awal tekanan psikologi dalam kalangan pelajar. Ini kerana mereka merupakan titik perhubungan pertama bagi kanak-kanak berdepan masalah kesihatan mental pada usia yang muda.

Selain itu, pertubuhan kumpulan sokongan untuk ibu bapa, sama ada di sekolah atau di tempat lain juga boleh dilaksanakan. Dari segi silibus sekolah pula, pelbagai cara mendorong perbincangan tentang kesihatan mental boleh di- laksanakan. Ia seperti melakukan permainan di luar bilik darjah dan permainan khayalan, atau outdoor and imaginative play.

PERMAINAN
Syarikat Lego contohnya melancarkan Small builds for big conversations: Cyberbullying, yang bermaksud ‘Binaan kecil untuk perbualan besar: Pembulian siber’, November lepas. Watak seperti The Oversharer dan The Meanie dibina untuk mendorong perbualan tentang kesihatan mental.

Ibu bapa juga diberi beberapa nasihat dan petua dalam kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk membantu mereka dan anak-anak mereka mengenali dan mencegah pembulian siber.

Petua ini termasuk mengetahui perbezaan antara bergurau dan buli, mendorong nilai sosial positif antara rakan sebaya, dan menyokong rakan dengan cara baik.
Keadaan dunia selepas wabak Covid-19 sudah terang lagi bersuluh berbeza daripada norma masa lalu.

Mungkin, keadaan dunia akan menjadi tempat lebih sepi apabila manusia beralih dari halaman fizikal ke digital.

Oleh itu, permainan luar dan permainan khayalan atau outdoor and imaginative play perlu ditekankan untuk membantu dalam keseimbangan interaksi dan komunikasi antara masyarakat.
Kanak-kanak perlu mengetahui kepentingan memiliki hati baik dan keberanian, suatu kualiti tidak boleh diajar dan dijumpai melalui alat elektronik.

PENTING
Penjagaan diri, keyakinan diri, pengurusan emosi dan kesedaran diri, sama pentingnya dengan pengetahuan literasi dan numerasi. Kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak perlulah diberi keutamaan, terutamanya di rumah, sekolah, dan komuniti.

Kesedaran mengenai kesihatan mental, harus ditingkatkan lebih awal untuk membetulkan persepsi bahawa perbincangan tentang kesihatan mental dengan kanak-kanak boleh memberi tanggapan bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan mental.

Sebaliknya, kesedaran tentang kesihatan mental akan memberi peluang untuk menjana dan menimbulkan persefahaman dan perasaan hormat antara orang dewasa dan kanak-kanak.
Kita haruslah berfikir secara terbuka dan menyokong pemahaman tentang masalah kesihatan mental untuk menjana perbualan yang jujur dengan kanak-kanak daripada meremehkan masalah kesihatan mental.

Sebagai ibu bapa, ini bermaksud kita dapat menunjukkan keprihatinan terhadap keadaan dan perasaan mereka serta menyakinkan kanak-kanak bahawa mereka sentiasa disokong dan disayangi.
Bagi kanak-kanak pula, ini membawa harapan agar mereka akan merasa kurang malu dengan pengalaman masalah mental sebaliknya merasa lebih selesa berkongsi masalah mereka.

Kesimpulannya, kesedaran kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak amat penting. Kesejahteraan mental dan pendidikan awal adalah suatu langkah maju untuk memecahkan stigma mengenai kesihatan mental dan membina norma baharu. Ia untuk mengadakan perbualan terbuka tentang kesihatan mental untuk generasi akan datang.
————————–
Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al Sultan Abdullah ialah Penaung Diraja Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental dan Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN