“SIA-SIA emak ayah hantar ke Mesir nak jadi doktor, tapi akhirnya jadi gamer (seseorang yang menjadikan permainan video sebagai sebahagian hidupnya)”.
Itu antara kata-kata bisa yang dilemparkan kepada Andriyana Mohamed Ghazali apabila gadis kelahiran Raub, Pahang itu nekad untuk ‘terjun’ ke bidang elektronik sukan (e-sukan) selepas menamatkan pengajian di Universiti Mansoura, Mesir tiga tahun lalu.
Sudah dilentur untuk menjadi doktor sedari kecil, Andriyana yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik memberitahu, dia menjadi harapan besar kepada keluarga apabila bakal menjadi ahli perubatan.
“Keluarga saya bukanlah orang senang, namun ibu saya (Habsah Mat Tasar), yang juga guru disiplin, sangat tegas dalam hal pendidikan anak-anak.
“Saya memang berhasrat menjadi doktor pada ketika itu sebab abang saya (anak sulung), yang kini telah meninggal dunia, mengidap kanser limfoma (2007-2012) manakala kakak saya (anak kedua) pula sindrom down.
“Penyakit kanser memerlukan kos rawatan paling tinggi. Baik moden atau tradisional, kesemuanya telah kami cuba.
“Ketika zaman persekolahan, jadual harian saya juga padat. Bangun seawal pagi, masak, urus rumah dan keluarga, petang pula pergi kebun, pasar manakala malam, saya akan uruskan kelas tuisyen kendalian emak saya.
“Jadi perjalanan saya ini kuat mengatakan suatu hari nanti saya mampu menyara keluarga berbekalkan profesion kedoktoran selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya yang pernah mendapat tontonan tertinggi sebanyak 3,000 apabila membuat live streaming.
TERJEBAK
Mengulas berhubung bagaimana dia boleh terjebak dalam arena e-sukan, Andriyana atau nama panggilannya Chuchu berkata, segalanya bermula selepas dia mengenali permainan video Defense of the Ancients (Dota) ketika menuntut di Mesir selama lapan tahun.
“Masa di sana memang saya main Dota juga, sebagai satu ‘riadah minda’ untuk melepaskan tekanan setelah seharian menelaah pelajaran. Diikuti permainan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) kira-kira setahun sebelum tamat pengajian,” ujar pemilik Facebook Page ChuChu Gaming itu yang mengumpul hampir 200,000 pengikut.
Tambahnya, biarpun dia mendapat tawaran sebagai doktor pelatih selepas menamatkan pengajian pada hujung 2017, namun hatinya berkeras memilih e-sukan sebagai kerjaya sepenuh masa.
“Sebenarnya, e-sukan menerusi gamers membuka peluang pekerjaan baru kepada anak-anak muda seperti pengulas, streamer, pemerhati, marshall, perancang majlis dan banyak lagi bukan setakat main game buang masa semata-mata,” ujarnya.
Berkebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Arab, beliau turut mendapat tajaan daripada syarikat komputer terkemuka Acer Predator.
AMBIL MASA SETAHUN
Terlalu banyak peristiwa yang sukar dilupakan Chuchu ketika di Mesir terutama ketika negara Arab di benua Afrika itu bergolak ekoran rampasan kuasa pada 2013, sekali gus kenangan tersebut menguatkan impiannya untuk menjadi seorang doktor.
“Waktu itu nyawa manusia sangat murah. Ada yang mati ditembak depan mata. Balai polis kena bom, udara kotor, mata rasa pedih, rasa takut dan tak selamat pada masa itu.
“Saya adalah salah seorang palajar yang dibawa keluar dari kawasan bergolak ke tempat selamat dengan menaiki pesawat C-130 TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), sebelum pulang ke tanah air menaiki Mas (Malaysia Airlines),” katanya. Mengulas berhubung penerimaan keluarga, Chuchu berkata, ibu bapanya mengambil masa lebih setahun sebelum akur dengan keputusannya berhijrah ke bidang e-sukan.
“Ada hikmah di sebalik pandemik Covid-19. Dari situlah ibu bapa saya perlahan-lahan dapat menerima dengan baik keputusan saya.
“Kata mereka nasib baik tak jadi doktor, kalau tak tentu tengah sibuk menjadi barisan hadapan, potensi untuk mendapat jangkitan Covid-19 juga tinggi,” kata Chuchu berseloroh.
Dalam masa sama, Chuchu turut menasihatkan agar setiap wanita yang ingin mengikut jejak langkah sepertinya perlu bijak membahagikan masa, malah jangan sesekali berhenti sekerat jalan daripada institut pengajian tinggi (IPT).
“Habiskan belajar dahulu di IPT. Bagi saya melanjutkan pelajaran sangat penting kerana alam pengajian tinggi akan mematangkan anda dan boleh berfikiran jauh.
“Cuba seimbangkan masa belajar dengan bermain game. Anda kena tahu yang mana menjadi keutamaan. Game ini akan ada sampai bila-bila, manakala pendidikan pada usia muda pula ia lebih mudah untuk ‘diserap’,” katanya.
Ditanya sama ada perlu berterus terang atau ibu bapa perlu berfikiran terbuka dalam hal itu, Chuchu yang mengambil 13 mata pelajaran SPM memberitahu, kedua-duanya sangat penting. – UTUSAN












