
SEWAKTU saya di bangku sekolah dulu, cikgu, polis dan doktor antara cita-cita glamor setiap kali ditanya guru.
Waktu itu gambaran kehidupan berkisar pada televisyen dan pendedahan diberikan guru dalam bilik darjah mengenai kehebatan kerjaya glamor itu.
Hari ini kalau soalan cita-cita diajukan kepada anak-anak kita, barangkali instafamous, gamer dan banyak lagi bentuk pekerjaan asing pada pendengaran saya menjadi impian mereka.
Bertanya kepada rakan seangkatan usia, pandangan mereka sama dengan saya. Pandangan tidak selari dengan generasi sekarang, lantas kami menyimpulkan ia bukanlah suatu bentuk ‘pekerjaan’. Benarkah?
Hakikatnya, manusia adalah makhluk unik lantaran gaya hidup mereka seiring modernisasi, namun sebenarnya menggambarkan kelompok manusia berdasarkan tahun kelahiran.
Justeru pandangan generasi X dan Z (1995-2010) tentulah bagai langit dengan bumi terhadap teknologi. Lebih-lebih lagi ada kajian menunjukkan 44 peratus daripada golongan Generasi Z memeriksa media sosial setiap jam sekali. Generasi X sebaliknya.
Saya tidak menyalahkan mereka 100 peratus kerana kitalah juga sebenarnya membentuk siapa mereka kala ini.
Seri berkongsi kisah lulusan perubatan dari Mesir, Andriyana Mohamed Ghazali menjadi gamer, selepas menamatkan pengajian di Universiti Mansoura, Mesir.
Walaupun luluh hati keluarga dengan keputusan anak tersayang tetapi mana mungkin darah daging diabaikan begitu sahaja, hanya kerana ibu bapa memiliki perspektif berbeza dengan anak-anak.
Teknologi dan Generasi Z bagaikan isi dengan kuku. Teknologi bagi mereka bukan sekadar hiburan mengisi masa senggang seperti mana kita fikirkan.
Sebaliknya teknologi hampir segala-galanya kepada mereka, termasuk menjadikan ia ruang mencari penghasilan rezeki seperti membangunkan perniagaan atas talian, menjadi influencer atau instafamous.
Perkongsian Andriyana sebegini sudah pasti dekat di hati kita sebagai ibu dalam memahami dan menyelami apa ada dalam hati anak-anak.
Pada saya apa bentuk pekerjaan pun kalau bersulam amanah dan disiplin, sudah pasti dapat memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara. Lebih utama ikhlaskan hati menerima ketentuan-Nya walaupun saya berpandangan ia bukan bentuk ‘pekerjaan’.
Generasi sekarang berfikiran luas. Bimbingan, sokongan dan doa keluarga membantu mereka menyerlah. Bak kata pepatah, “tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak”.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia










